Skip to main content

Singapura

Firma semikonduktor, pusat data SG pergiat usaha kurangkan penggunaan air

Anggaran Waktu Membaca:
Firma semikonduktor, pusat data SG pergiat usaha kurangkan penggunaan air

Di kemudahan fabrikasi wafer United Microelectronics Corporation (UMC) di Pasir Ris, kira-kira 10,000 meter padu NEWater digunakan setiap hari.

Diterbitkan : 18 Jun 2026 06:44PM
SINGAPURA: Beberapa syarikat semikonduktor dan pusat data di Singapura sedang melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan air.

Langkah ini diambil kerana industri pusat data dan pengilangan cip sangat memerlukan air, memerlukan jumlah yang besar untuk operasi pembuatan dan penyejukan cip.

MENGURANGKAN PENGGUNAAN AIR

Pengilangan wafer semikonduktor melibatkan kira-kira 1,000 langkah pembuatan, yang sebahagiannya memerlukan air ultra-tulen untuk mengelakkan daripada mencemari proses tersebut.

Di kemudahan fabrikasi wafer United Microelectronics Corporation (UMC) di Pasir Ris, kira-kira 10,000 meter padu NEWater digunakan setiap hari.

Air tersebut dirawat menjadi air ultra-tulen untuk pengilangan cip sebelum dikumpulkan, dirawat dan digunakan semula.

Pengarah kanan fabrikasi UMC Singapura, Thomas Tey berkata: “Jika kita dapat mengoptimumkan dan mengurangkan penggunaan air untuk langkah proses, kita dapat menjimatkan banyak air.”

Dengan mengasingkan aliran air sisa yang berbeza, kilang wafer ini dapat memperolehi semula hampir 70 peratus air yang digunakannya.

Inisiatif kecekapan dan kitar semula airnya memperolehi semula 3.9 juta meter padu air setiap tahun – cukup untuk mengisi kira-kira 1,560 kolam renang bersaiz Olimpik.

Syarikat itu sedang meneroka teknologi rawatan berasaskan membran, termasuk osmosis songsang, yang menyingkirkan bahan cemar, dan penyahionan elektro, yang menggunakan elektrik untuk menyingkirkan bendasing terlarut.

Ia menambah menggabungkan teknologi penapisan dan penggilapan canggih boleh meningkatkan lagi jumlah air yang boleh digunakan semula pada piawaian kualiti yang lebih tinggi.

SISTEM PENYEJUKAN YANG LEBIH PINTAR

Pusat data, yang menyokong perkhidmatan daripada penstriman video hingga kecerdasan buatan, juga sangat bergantung kepada air untuk memastikan pelayan sejuk.

Daripada menyejukkan seluruh bilik dengan penghawa dingin, firma pengkomputeran awan OVHcloud mengedarkan air sejuk terus ke pemprosesnya.

Syarikat itu berkata penyejukan yang disasarkan adalah lebih cekap kerana komponen menjana sejumlah besar haba.

Ia menambah bahawa sistem itu memastikan penggunaan air berada di bawah norma industri.

Firma itu sedang meneroka sensor pintar dan analitik berasaskan AI, yang dikatakan boleh mengurangkan penggunaan air sehingga 30 peratus.

Ia juga berupaya mengurangkan penggunaan kuasa sehingga 50 peratus, kata Encik Thiru Prakassh, ketua pusat data serantau OVHcloud untuk Asia Pasifik.

Syarikat itu juga sedang mempertimbangkan untuk menggunakan data daripada stesen cuaca tempatan untuk memperhalusi keperluan air sejuk untuk penyejukan masa nyata.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita