Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firma pertukaran mata wang kripto di SG diingatkan supaya patuhi sekatan terhadap Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Firma pertukaran mata wang kripto yang diberikan lesen untuk beroperasi di Singapura harus mematuhi sekatan kewangan terhadap Rusia.

Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Isnin (31 Okt) selepas penyelidik mendapati kumpulan penyokong Rusia mengumpulkan dana berjumlah jutaan dolar dalam mata wang kripto untuk menyokong peperangan Mosko di Ukraine.

Pada Mac, menyusuli pencerobohan Rusia ke Ukraine, MAS memperkenalkan langkah kewangan yang disasarkan kepada bank, entiti dan aktiviti di Rusia serta aktiviti pengumpulan dana yang memanfaatkan pemerintah Rusia.

"Langkah-langkah tersebut digunakan untuk semua institusi kewangan di Singapura, termasuk penyedia khidmat token pembayaran digital (DPTSP) yang diberikan lesen untuk beroperasi di Singapura".

Demikian menurut MAS semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

MAS bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada mereka menerima laporan operasi pertukaran mata wang kripto di Singapura untuk menyalurkan derma kepada kumpulan penyokong Rusia.

Namun, bank pusat itu menekankan bahawa DPTSP harus mempunyai "kawalan kukuh" untuk mengelak daripada urus niaga dengan bank yang disekat serta aktiviti yang dilarang.

Singapura mengalu-alukan penggunaan mata wang kripto kerana ia memainkan peranan sokongan dalam ekosistem aset digital yang lebih meluas.

Namun, negara ini mengetatkan peraturan selepas menyatakan bahawa perdagangan aset berkenaan "sangat berisiko".
Pada Julai, firma pengesan mata wang kripto, Chainalysis mengeluarkan laporan dan mendedahkan syarikat itu sudah mengenal pasti 54 pertubuhan yang secara bersama menerima mata wang kripto bernilai lebih AS$2.2 juta (S$3.1 juta), terutamanya daripada derma Bitcoin dan Ether untuk menyokong peperangan di Ukraine.

Ia termasuk menyalurkan dana kepada propaganda yang menyokong Rusia dan pembelian barangan tentera seperti dron, senjata, jaket kalis peluru dan alat komunikasi, menurut laporan berkenaan.

Encik Andrew Fierman, Ketua Strategi Sekatan di Chainalysis, memberitahu Mediacorp bahawa derma yang dikumpul mencecah AS$4.8 juta (S$6.7 juta).

Jumlah berkenaan semakin meningkat sedang konflik berlarutan.
APA YANG DILAKUKAN SYARIKAT PERTUKARAN MATA WANG KRIPTO

Sparrow, firma mata wang kripto yang beroperasi di Singapura menyatakan ia tidak inginkan hubungan perniagaan dan melarang urus niaga yang melibatkan entiti dan individu dari negara yang disekat, termasuk Rusia.

"Kami menganalisis sumber, kawasan dana ataupun dompet kripto untuk memastikan ia bukan daripada ataupun untuk Rusia, kata Ketua Pegawai Risiko dan pematuhan firma Sparrow, Mak Chung Yee.

Cik Mak berkata syarikat itu bekerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dan menambah beliau tidak boleh memberikan perincian lanjut.

MAS menyatakan institusi kewangan yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti terlarang harus memaklumkan bank pusat dengan segera.

"MAS akan mengambil tindakan kawal selia yang sewajarnya terhadap institusi kewangan jika mereka didapati melanggar Notis Langkah Kewangan."

Di bawah Akta MAS, institusi kewangan yang didapati bersalah melanggar mana-mana peraturan MAS boleh didenda sehingga S$1 juta.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan