Skip to main content

Singapura

Firma pengurusan hidupan liar lapor kenaikan jumlah kes haiwan 'tersesat' di kawasan bandar pada 2024

Encik Cheong Boo Wee sekeluarga yang sudah lama menetap di Bedok, kerap berdepan dengan masalah gangguan musang.

Anggaran Waktu Membaca:
Firma pengurusan hidupan liar lapor kenaikan jumlah kes haiwan 'tersesat' di kawasan bandar pada 2024
Diterbitkan : 23 Jan 2025 10:19PM Dikemas Kini : 23 Jan 2025 10:20PM
SINGAPURA: Encik Cheong Boo Wee sekeluarga yang sudah lama menetap di Bedok, kerap berdepan dengan masalah gangguan musang.

Salah seekor burung peliharaan mereka bahkan mati akibat diserang musang beberapa tahun lalu.

"Sebenarnya mereka 'penyibuk' sahaja kerana ia kadangkala masuk ke dalam dapur jiran saya - mereka menyelerakkan dapur. Mereka menyerang ayam, burung peliharaan," kata Encik Cheong yang merupakan seorang pesara berusia 69 tahun.

Beliau yang juga pengerusi persatuan penduduk di estetnya, bukan seorang sahaja yang menghadapi masalah dengan haiwan mamalia sebesar kucing itu.

Penduduk rumah privet lain di kawasan itu juga berkata haiwan itu akan berkeliaran atas dinding rumah mereka pada waktu malam dan menganggu tidur mereka.

Kehadiran musang di kawasan itu bukan sesuatu yang baharu, malah ia sudah pun wujud sebelum kawasan perumahan itu dibangunkan.

Sebelum ini, musang itu makan buah-buahan yang ditanam, termasuk buah mangga dan pisang serta beberapa haiwan mamalia dan serangga kecil.

LEBIH BANYAK KESEDARAN

Walaupun konflik antara manusia dengan hidupan liar bukan sesuatu yang jarang berlaku di hutan bandar Singapura, jumlah kejadian haiwan yang menceroboh masuk ke dalam kawasan didiami manusia telah meningkat sekitar 65 peratus tahun lalu berbanding dengan 2023, menurut sesetengah syarikat pengurusan haiwan.

Ini tidak termasuk kes menyelamatkan hidupan liar atau pengerahan kakitangan dari Lembaga Taman Negara (NParks), ACRES atau Mandai Wildlife Group.

Menurut kumpulan itu, salah satu sebab jumlah itu meningkat adalah kerana lebih ramai orang mempunyai kesedaran untuk menghubungi bantuan profesional, terutama sekali apabila mereka 'terserempak' dengan musang dan monyet, di mana kes-kes sedemikian membentuk sebahagian besar panggilan yang diterima oleh kumpulan bantuan.

Para pakar juga prihatin lebih banyak kes 'terserempak dengan haiwan' akan berlaku pada masa hadapan dengan lebih banyak projek-projek pembangunan dilaksanakan pada tahun ini.

Ini termasuk projek-projek perumahan di kawasan hutan di Sembawang North dan Woodlands, yang dijadual untuk dibersihkan.

Penilaian turut menunjukkan bahawa kawasan itu adalah rumah kepada beberapa spesis haiwan yang terancam.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita