Firma pencetakan jangka 'durian runtuh' sedang parti politik bersiap sedia untuk GE2025
Parti-parti politik di Singapura sudah mula membuat persiapan bagi Pilihan Raya Umum tahun ini (GE2025) dengan menyiapkan tempahan untuk risalah dan poster, menurut firma-firma dari sektor itu kepada Mediacorp.
Wajah baharu PAP bagi GRC Sengkang, Bernadette Giam, mengedarkan risalah kepada seorang penduduk di 170A Rivervale Shores pada 1 Feb 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Tempahan boleh mencecah lebih setengah juta risalah di kawasan-kawasan yang persaingannya dijangka sengit, seperti medan pertempuran antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP), kata para pemain industri.
Republic Holdings misalnya, telah mencetak bahan-bahan sedemikian untuk kedua-dua parti pemerintah dan pelbagai parti pembangkang selama lebih 20 tahun, kata pengarah firma itu Ben Ang.
"Semasa tahun pilihan raya, kami biasanya menyaksikan peningkatan pada penjualan kami sehingga sekurang-kurangnya 50 peratus," kata Encik Ang, yang firmanya memberi tumpuan kepada pencetakan risalah.
"Sesetengah parti memandang serius terhadap perkara ini kerana ini kerana ia adalah kaedah yang terbukti berkesan untuk memberitahu penduduk lebih banyak tentang mereka."
Encik Ang berkata parti-parti politik biasanya membuat tempahan sehingga enam bulan lebih awal. Beliau telahpun dimaklumkan oleh pelbagai ahli politik untuk bersiap sedia bagi beberapa tempahan pada tahun ini.
Setiap calon biasanya menempah sekurang-kurangnya 100,000 risalah, yang mengambil masa kira-kira tiga hingga lima hari biasa untuk dihantar, kata Encik Ang.
Harga bermula dari S$45 untuk 100 keping dan berbeza-beza berdasarkan faktor seperti saiz, jumlah dan jenis kertas yang digunakan, menurut laman web firma itu.
Print&Print, firma lain yang telah menjalankan perniagaan itu sejak 1990, kerap mencetak bahan fizikal untuk kedua-dua majlis bandaran PAP dan WP serta untuk keperluan kempen pilihan raya kedua-dua pihak.
Parti-parti politik biasanya memuktamadkan tempahan mereka empat hingga lima hari sebelum rapat pilihan raya bermula, kata pengurusnya Cynthia Oh.
Pada masa tersebut, akan terdapat peningkatan sebanyak 15 peratus pada jumlah tempahan untuk sepanduk, poster dan bahan penerbitan lain seperti paket tisu dan kipas, kata Cik Oh.
Sesetengah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) — yang kini terdiri daripada empat atau lima kerusi — malah boleh menempah lebih setengah juta risalah, kata Encik Ang.
“Secara tradisi, apabila GRC menjadi rebutan PAP dan WP, kami mungkin menyaksikan lebih banyak tempahan,” jelas Encik Ang. Pada GE2020, kedua-dua parti itu bertarung di GRC Aljunied, Marine Parade, Sengkang dan East Coast.
SENTUHAN PERIBADI
Pada 2020, lebih 85 peratus daripada perbelanjaan kesemua calon digunakan untuk pengiklanan, menurut rekod Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Daripada jumlah itu, pengiklanan bagi bahan cetak pilihan raya membentuk jumlah utama, berjumlah S$5.6 juta.
Encik Ang berkata risalah amat penting apabila para calon melakukan lawatan dari rumah ke rumah.
“Jika tiada sesiapa di rumah, risalah itu boleh dimasukkan di dalam rumah. Lawatan anda tidak akan sia-sia,” katanya.
Profesor adjung media dan komunikasi Universiti Murdoch Terence Lee memberitahu Mediacorp bahawa penyelidikan menunjukkan kepada bentuk komunikasi secara bersemuka atau fizikal secara umumnya lebih meyakinkan daripada bentuk digital.
“Dalam cara yang sama konsert muzik 'live' menjana sokongan 'peminat', perkara yang sama untuk kempen pilihan raya fizikal.
Dan ini termasuk mengetuk pintu untuk bertemu penduduk dan mengedarkan risalah, tidak kira sama ada ia dibaca ataupun tidak, kata Prof Adjung Lee.
Sementara itu, sepanduk, panji-panji atau poster hanya boleh dipamerkan secara terbuka semasa tempoh berkempen – yang bermula serta-merta selepas prosiding penamaan calon berakhir pada Hari Penamaan Calon dan sehingga sebelum bermulanya Hari Bertenang – dan hanya di lokasi yang ditetapkan.
Visual sebegitu lebih diperlukan oleh pencabar baharu di sesebuah kawasan undi berbanding penyandang jawatan Anggota Parlimen, dalam soal pengiktirafan calon, kata Prof Adjung Lee.
Bahan fizikal juga merupakan perlindungan yang lebih diyakini daripada maklumat yang salah, kata Penolong Profesor Saifuddin Ahmed dari Sekolah Komunikasi dan Maklumat Wee Kim Wee, Universiti Teknologi Nanyang.
Bahan cetak dilihat lebih sahih berbanding kandungan digital, yang boleh dimanipulasi atau diabaikan,” katanya.
Ia juga lebih mudah untuk melangkau atau terlepas iklan digital manakala poster fizikal boleh memberikan tahap keterlihatan yang lebih tinggi kepada seseorang calon, terutamanya di kawasan-kawasan trafik tinggi atau ramai penduduk, kata Penolong Prof Saifuddin.
KELEMAHAN DIGITAL
Para pemerhati menyatakan bahawa segmen tertentu masyarakat seperti sesetengah individu yang lebih tua mungkin tidak celik teknologi dan lebih suka bahan kempen tradisional.
Profesor Madya Natalie Pang, yang mengetuai jabatan komunikasi dan media baharu di Universiti Nasional Singapura (NUS), menyatakan bahawa persekitaran maklumat digital sudah menjadi sangat padat.
"Malah, mungkin lebih sukar untuk berhubung dengan pengundi yang belum mengikuti sesebuah (parti) di platform sedemikian."
Prof Madya Pang menarik perhatian bahawa walaupun bahan fizikal lebih mahal untuk dicetak dan memerlukan tenaga kerja untuk diedarkan, bahan yang diedarkan melalui saluran digital memerlukan kepakaran yang lebih mendalam dari segi memahami platform online yang berbeza-beza, dan menyederhanakan serta menarik minat pengundi dalam ruang itu.
Bagi pilihan raya umum akan datang, yang mesti diadakan selewat-lewatnya sebelum 23 Nov, mencari gabungan yang betul antara domain fizikal dan digital penting bagi parti-parti politik, katanya.
GE YANG BERBEZA
Sejak pilihan raya yang lalu, terdapat juga perubahan pada perundangan yang mengawal selia domain politik.
Satu perubahan utama, menurut Prof Adjung Lee, ialah undang-undang yang mengharamkan 'deepfake' dan kandungan calon yang dimanipulasi secara digital semasa pilihan raya, yang diluluskan oleh Parlimen Singapura pada Oktober tahun lalu.
Terdapat juga Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) 2021 atau FICA, yang selari dengan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), yang "mencukupi untuk mengekang matlamat salah pilihan raya dalam iklan-iklan politik," kata Prof Adjung Lee.
Bagi para pemain industri, kembali ke pilihan raya tanpa pelaksanaan sekatan-sekatan pandemik pada tahun 2020 akan menawarkan peluang perniagaan bagi mereka.
Cik Oh menjangkakan "kepentingan yang akan meningkat semula bagi bahan pemasaran fizikal", dengan bahan cetak memainkan peranan penting dalam strategi hibrid yang mungkin akan digunakan oleh parti-parti politik untuk memancing pengundi.
Sementara itu, Encik Ang menjangkakan calon-calon akan mendampingi para pengundi secara lebih bebas, mengadakan perhimpunan besar dan menganjurkan acara.
“Ini membuka lebih banyak peluang untuk interaksi langsung dan berkempen di lapangan. Kami menjangkakan sejumlah besar bahan pemasaran turut terlibat.”
“Kami memandang semua parti politik secara sama rata,” kata Encik Ang. "Kami juga mengenakan kadar yang sama bagi setiap parti politik."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.