Skip to main content

Singapura

Firma logistik percepat peralihan ke EV ketika harga diesel tinggi, tetapi lori berat masih ketinggalan

Sektor logistik sedang mempercepat peralihannya ke kenderaan elektrik (EV), dengan permintaan dipacu oleh harga diesel yang melonjak dan tekanan yang meningkat daripada para pelanggan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Anggaran Waktu Membaca:
Firma logistik percepat peralihan ke EV ketika harga diesel tinggi, tetapi lori berat masih ketinggalan

Harga diesel yang meningkat dan tidak menentu - dipacu oleh gangguan terkini dalam pasaran tenaga global - menjejas margin operasi, mendorong lebih banyak syarikat untuk meneroka kenderaan elektrik sebagai alternatif.

Diterbitkan : 24 Jun 2026 08:02PM Dikemas Kini : 24 Jun 2026 08:03PM
  • Syarikat logistik di Singapura seperti Hong Seh Group dan Call Lade Enterprises mempercepat penggunaan kenderaan elektrik, terutamanya van dan lori ringan, didorong oleh harga diesel yang tinggi dan permintaan pelanggan untuk operasi lebih hijau.
  • Data LTA menunjukkan peningkatan ketara pendaftaran EV, dengan insentif pemerintah membantu mengurangkan kos pembelian kenderaan elektrik.
  • Namun, peralihan untuk kenderaan barangan berat masih perlahan kerana kekurangan infrastruktur pengecasan yang sesuai dan masa mengecas yang lama.
  • Beberapa syarikat sedang merancang untuk memasang lebih banyak kemudahan pengecasan sendiri dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi menyokong peralihan ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sektor logistik sedang mempercepat peralihannya ke kenderaan elektrik (EV), dengan permintaan dipacu oleh harga diesel yang melonjak dan tekanan yang meningkat daripada para pelanggan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Walaupun penggunaan EV telah meningkat bagi van dan lori, peralihannya masih perlahan bagi kenderaan barangan berat.

Sesetengah syarikat logistik menyatakan mereka menangguhkan keputusan menukar seluruh armada kenderaan barangan berat kepada kenderaan elektrik kerana kemudahan pengecasan untuk kenderaan besar masih terhad.

PERALIHAN KEPADA KENDERAAN ELEKTRIK

Harga minyak diesel yang meningkat dan tidak menentu - didorong oleh gangguan baru-baru ini dalam pasaran tenaga global - menjejas keuntungan operasi, sekali gus mendorong lebih banyak syarikat untuk meneroka kenderaan elektrik sebagai alternatif.

Pembekal kenderaan elektrik Hong Seh Group memberitahu Mediacorp bahawa permintaan bagi EV seperti van, bas mini dan lori ringan berkembang dengan mantap.

Berdasarkan data Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), syarikat itu menyatakan kenderaan sedemikian merangkumi sekitar 25 peratus daripada semua pendaftaran kenderaan pada tahun lalu.

Hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, perangkaan itu mencecah 33 peratus.

"Kenderaan-kenderaan ini semakin baik," kata Encik Edward Tan, pengarah eksekutif Hong Seh Group.

"(Terdapat) lebih banyak teknologi di dalamnya... Ciri-ciri keselamatan, yang disediakan dalam kenderaan untuk melindungi bukan sahaja para penumpang tetapi juga aset kenderaan itu, juga telah meningkat."

Syarikat itu menyatakan para pelanggan tertarik oleh kos operasi yang lebih rendah, dengan penjimatan bahan api bantu mengurangkan perbelanjaan operasi sehingga separuh.

"Dengan kenderaan elektrik, ia menjimatkan wang," kata Encik Tan, sambil menarik perhatian bahawa pemerintah menawarkan insentif bagi menyokong perniagaan yang membuat peralihan itu.

"Ini membantu kami mengurangkan kos pembelian kenderaan sehingga setara (kenderaan enjin pembakaran dalaman), dan kadangkala membuatnya lebih murah."

Bagi penyedia logistik Call Lade Enterprises, penjimatan kos adalah faktor utama di sebalik keputusannya untuk mula menukar kenderaannya kepada kenderaan elektrik.

Ketua pegawai kemampanan syarikat itu Ryan Hoo berkata harga diesel yang sentiasa tinggi, didorong oleh konflik Timur Tengah yang meletus pada lewat Februari, menyukarkan perancangan jangka panjang.

"Kami benar-benar tidak tahu bila ia akan berakhir, dan kami tidak tahu bila harga akan turun," kata Encik Hoo.

"Bagi pengendali seperti kami, terutamanya dalam keadaan hari ini, harga bahan api yang meningkat menjejas perancangan kos, margin operasi kami juga."

Namun, faktor ekonomi hanyalah sebahagian daripada perhitungan itu.

Encik Hoo berkata lebih ramai pelanggan memohon rantaian bekalan lebih hijau dan pelepasan karbon lebih rendah daripada rakan-rakan kongsi logistik.

Syarikat-syarikat yang gagal memenuhi jangkaan itu berisiko kehilangan peluang dan kontrak perniagaan.

Sejauh ini, sekitar separuh daripada van milik Call Lade Enterprises menggunakan tenaga elektrik.

KEKURANGAN INFRASTRUKTUR PENGECAS YANG SESUAI

Peralihan itu bertambah sukar apabila ia melibatkan kenderaan barangan berat.

Para pemain industri berkata hambatan terbesar tetap adalah kekurangan infrastruktur pengecas yang sesuai.

Pada masa ini, hanya terdapat bilangan kemudahan pengecasan yang terhad yang dapat menyokong lori-lori besar yang membawa muatan lebih 50 tan, dan masa mengecas boleh mencecah sehingga enam jam.

"Kami tidak mampu tunggu lama begitu," kata Encik Hoo.

"Kami tidak mampu membiarkan lori-lori kita beratur untuk mengecas, tunggu sehingga ia dicas sepenuhnya sebelum kita memulakan operasi sekali lagi."

Selagi infrastruktur pengecasan di nadi logistik utama belum ditawarkan secara lebih meluas dan boleh dipercayai, syarikat itu menyatakan ia tidak dapat mewajarkan risiko operasi dalam membuat peralihan kepada kenderaan elektrik bagi kenderaan muatannya.

Untuk menjadi lebih berdikari, ia sedang meneroka rancangan untuk memasang lebih banyak tempat pengecasan di tempat letak kenderaan berat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita