Skip to main content

Singapura

Firma keselamatan alu-alukan bekalan polis tambahan dari pelbagai negara, pekerja tempatan tetap diberi keutamaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Syarikat keselamatan tempatan akan terus menarik dan melatih pegawai polis tambahan (APO) tempatan. Dalam masa yang sama ia mengalu-alukan rancangan pemerintah untuk mendapatkanbekalan tenaga kerja dari sumber yang lebih pelbagai.

Sektor tersebut sedang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja disebabkan lebih banyak acara besar-besaran yang dijadualkan dengan konsert dan festival kembali rancak selepas pandemik COVID-19.

"Dengan ekonomi Singapura semakin berkembang, permintaan bagi khidmat keselamatan oleh sektor komersil dan pemerintah turut meningkat,” kata Cik Elaine Ong, pengarah komunikasi strategik dan pemasaran AETOS.

Syarikat keselamatan itu menyaksikan permintaan bagi khidmatnya naik sekitar 20 hingga 30 peratus sejak pandemik reda.

Meskipun demikian, pertumbuhan tenaga kerja tidak mampu memenuhi permintaan, dan usaha untuk mengekalkan jumlah pegawai yang diperlukan terbukti amat mencabar.

Ini disebabkan jumlah tenaga kerja tempatan yang berkurangan serta syarat kelayakan yang ketat.

LEBIH BANYAK SUMBER TENAGA KERJA

Untuk memenuhi kekurangan tersebut, usaha untuk meluaskan senarai negara di mana pegawai keselamatan dapat diambil bekerja sedang dikaji.

Setakat November tahun lalu, rakyat Singapura membentuk 68 peratus jumlah keseluruhan pegawai keselamatan tambahan di sini, dengan bakinya dari Malaysia dan Taiwan.

Minggu lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata pemerintah sedang menimbangkan untuk mengambil pekerja dari China, India, Filipina dan Myanmar.
 
PEKERJA TEMPATAN DIBERI KEUTAMAAN

Syarikat keselamatan menyatakan meskipun pengambilan pekerja diluaskan ke negara lain, pihak syarikat akan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.

"Kami akan terus mengambil langkah untuk menarik rakyat Singapura, dan menawarkan mereka kerjaya yang baik dan stabil," kata Cik Ong.

Syarikat tersebut menyatakan ia sudah menetapkan pakej gaji dan faedah yang kompetitif, bonus dan insentif, serta program latihan dan pembangunan untuk menarik lebih ramai rakyat Singapura.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita