Firma HSR M'sia buka tender untuk lantik perunding model perniagaan baru
Syarikat Malaysia MyHSR Corp memanggil tender untuk melantik perunding penasihat komersil bagi menyemak semula pelbagai aspek projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura KL-SG HSR).
(Gambar: The Malaysian Insight)
SINGAPURA: Syarikat Malaysia MyHSR Corp memanggil tender untuk melantik perunding penasihat komersil bagi menyemak semula pelbagai aspek projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura KL-SG HSR).
Tender itu diumumkan pada Khamis (9 Mei), lapor The Edge.
Dalam satu kenyataan, syarikat projek berkenaan menyatakan perunding yang dilantik akan perlu membangunkan model perniagaan baru yang akan menghasilkan "kos kitaran hayat projek optimum' selain menyediakan unjuran kadar pengguna yang dikemas kini dan penilaian faedah projek tersebut kepada Malaysia.
Menurut The Edge, tender itu adalah tender kedua dikeluarkan di Malaysia untuk menyemak projek tersebut.
Tender pertama dibuka pada April untuk melantik perunding bagi membantu urusan teknikal projek berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.
Encik Ismal menambah tender terbaru ini "mahu menangani aspek komersil projek."
Beliau berkata apabila kedua-dua perunding sudah dilantik, satu "langkah semakan semula projek secara menyeluruh akan disiapkan dan satu laporan kemudian disediakan dan diserahkan kepada kerajaan sebelum berakhirnya tempoh penggantungan pada Mei 2020".
Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk menggantung pembinaan projek KL-SG HSR pada 5 Sept, 2018 sehingga 31 Mei 2020 untuk mencari kaedah terbaik untuk memastikan daya maju projek itu.
Jika projek tersebut diteruskan pada 2020, khidmat HSR antara Singapura dengan Kuala Lumpur dijangka bermula menjelang 1 Januari 2031 - empat tahun lebih lambat daripada jadual asal 31 Disember 2026.
Penangguhan itu disebabkan masa tambahan yang diperlukan oleh kedua-dua negara untuk mendapatkan projek itu berjalan semula, termasuk membuka tender-tender baru dan menjalankan kerja teknikal tambahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.