Firma-firma S'pura terus pantau keadaan di Ukraine

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya sebuah firma Singapura sudah menggantung operasinya di Ukraine menyusuli peperangan antara Rusia dengan Ukraine, manakala firma yang lain masih memantau keadaan itu dengan teliti.
Rusia melancarkan serangan pada awal pagi Khamis (24 Feb), sejurus selepas Presiden Vladimir Putin meluluskan 'operasi khas tentera' dalam ucapan beliau di televisyen.
BACA: Tentera Ukraine-Rusia bertempur di luar ibu kota Kyiv
BACA:Sekurang-kurangnya 137 terbunuh di merata Ukraine pada hari pertama serangan Rusia
Beberapa firma antarabangsa yang beroperasi di Ukraine, seperti Carlsberg, Japan Tobacco dan Coca-Cola, sudah mengumumkan penutupan sementara, menurut laporan media.
Gergasi perniagaan pertanian yang berpangkalan di Singapura, Wilmar International memberitahu Mediacorp bahawa usaha samanya di Ukraine, Delta Wilmar, pada Khamis (24 Feb) sudah menggantung operasi di kedua-dua kilang pemprosesannya yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar pelabuhan Odessa.
Delta Wilmar menggajikan kira-kira 600 pekerja, menurut laman syarikat itu. Sumbangannya kepada keuntungan syarikat "tidak besar," kata seorang jurucakap Wilmar, sekali gus firma yang disenaraikan di Singapura itu tidak menjangkakan kesan kewangan ketara terhadap perniagaan secara menyeluruh.
"Keutamaan kami ialah keselamatan pekerja kami dan kami akan terus memantau keadaan dengan teliti," tambah jurucakap itu.
Olam, yang juga merupakan gergasi makanan pertanian yang disenaraikan di Singapura, dengan sebuah pejabat dan kemudahan pemprosesan makanan di Ukraine dan Rusia. Mereka mengumumkan bahawa "keutamaan utama" ialah keselamatan rakyat dan akan terus menilai kesan ke atas operasi mereka.
Pengeluar makanan dan minuman, Food Empire mengumumkan dalam satu kenyataan pendapatan pada Khamis (24 Feb) bahawa jualan yang berdaya tahan dan permintaan yang bertambah baik dalam pasaran utama mereka di Ukraine dan Rusia sudah "dibayangi oleh konflik yang berterusan".
Mereka juga menyatakan bahawa sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Rusia tidak mungkin mempunyai kesan langsung atau serta-merta ke atas prospek perniagaan dalam pasaran itu.
Namun, sekatan itu boleh menyebabkan "kesan buruk ke atas turun naik kadar pertukaran Ruble Rusia dan Hryvnia Ukraine dan seterusnya memberikan tekanan inflasi ke atas harga komoditi dan kos tenaga", menurut firma Singapura itu.
Enterprise Singapore memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya akan "memantau perkembangan di Ukraine dengan penuh kebimbangan".
Pemborong telur, Kai Young Huat, yang mula mengimport telur dari Ukraine pada tahun 2019, berkata beliau sudah menghubungi dua pembekal tempatan.
"Mereka tidak apa-apa, tetapi mereka berkata keadaan di Ukraine masih tidak menentu dan mereka tidak pasti sama ada eksport boleh diteruskan," kata pengarah Lee Siang Hwa.
NTUC FairPrice juga merupakan satu lagi pengimport telur dari Ukraine. Namun, ia membentuk kurang satu peratus daripada jualannya.
Ia mengumumkan bahawa sebahagian besar bekalan telur diperolehi secara tempatan dan dari Malaysia, dengan sumber tambahan dari Australia, New Zealand, Poland, Sepanyol dan Thailand.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memastikan pelanggan kami mempunyai bekalan barangan keperluan yang stabil pada harga yang berpatutan,” kata jurucakap FairPrice.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.