Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firma-firma buat penyesuaian terima lebih ramai pekerja kembali di pejabat

Lebih ramai pekerja kini kembali ke pejabat sejak pemerintah membenarkan sehingga 50% kakitangan berbuat demikian bermula 1 Januari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai pekerja kini kembali ke pejabat sejak pemerintah membenarkan sehingga 50 peratus kakitangan berbuat demikian bermula 1 Januari lalu.

Di Yayasan Mendaki, sehingga 70 kakitangan kembali ke tempat kerja hari ini, berbanding hanya 10 kakitangan yang mengisi ruang pejabat tersebut sebelum ini.

Selain memastikan kesemua hampir 180 kakitangan Mendaki di sembilan pusat satelit dan ibu pejabatnya sudah divaksin sepenuhnya, Mendaki juga memastikan langkah-langkah pengurusan selamat terus dipatuhi.

"Kakitangan Mendaki mula bekerja dalam dua pasukan berasingan, iaitu pasukan A dan pasukan B. Kesemua pejabat kami termasuk pusat-pusat satelit kami juga telah dibersihkan. Kami menjalani satu proses pembersihan minggu lalu jadi proses kembali ke tempat kerja menjadi selamat dan lancar," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki Cik Zulaiha Yusuf.

Kakitangan Mendaki juga perlu melakukan ujian pantas antigen (ART) sebelum kembali ke pejabat selain diberikan notis untuk mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga penjarakan sosial dan kebersihan diri.

Walau bagaimanapun, kelonggaran untuk membolehkan lebih ramai pekerja kembali bekerja turut bermakna interaksi secara bersemuka dapat dijalinkan semula setelah sekian lama.

"Kami juga ada sekumpulan pekerja-pekerja yang baru menyertai Mendaki sebagai kakitangan dan selama berbulan-bulan mereka menjadi kakitangan Mendaki tapi kami belum pernah bersemuka dengan mereka. Jadi ini adalah satu peluang untuk kami merapatkan silaturrahim antara kami di tempat kerja." tambah Cik Zulaiha.

TANGGUH PELAKSANAAN, BERI PEKERJA MASA BUAT PENYESUAIAN

Walaupun sehingga 50 peratus pekerja dibenarkan untuk kembali ke pejabat kini, syarikat latihan SSA Group memilih untuk memberi kakitangannya dua minggu lagi untuk menyesuaikan diri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SSA Group, Suhaimi Salleh, ia bagi membolehkan kakitangannya membuat penyesuaian dengan rutin harian mereka semasa mereka bekerja di rumah sebelum beralih ke pejabat.

"Kelewatan ini juga memberi peluang kepada syarikat kami untuk membuat persediaan dan peraturan yang sesuai untuk menjaga keselamatan dan kesihatan warga kerja kami."kata Encik Suhaimi.

Sebagai persiapan, ia juga sudah memastikan hampir kesemua 80 kakitangannya sudah divaksin sepenuhnya kecuali seorang kakitangan yang sedang hamil, dengan mengumpulkan perincian mengenai status vaksinasi mereka lebih awal.

Selain mempunyai jadual kerja yang berbeza-beza untuk pekerjanya bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, syarikat itu juga mengubah cara penggunaan ruang pejabat agar dapat digunakan dengan lebih optimum dengan melaksanakan sistem "hotdesking".

"Dalam pelan "hotdesking" kami, selain susunan meja yang akan diubahsuai serta susunan-susunan lain, kami akan juga mengadakan ruang di mana warga kerja kami yang berada di pejabat dapat berdiskusi dan bermesyuarat dalam keadaan yang lebih santai. Insya-Allah dengan cara begini, kami harapkan idea-idea bernas dapat dijana," tambahnya lagi.

98% TENAGA KERJA SINGAPURA SUDAH DIVAKSIN SEPENUHNYA

Menurut data terkini Kementerian Tenaga Manusia, 98 peratus tenaga kerja Singapura sudah divaksin sepenuhnya dan 80 peratus firma mempunyai kakitangan yang kesemuanya sudah divaksin sepenuhnya.

Hanya mereka yang sudah divaksin serta yang dikecualikan daripada mendapatkan vaksinasi atas sebab-sebab kesihatan dan mereka yang baru pulih daripada COVID-19 dalam masa enam bulan yang lalu boleh kembali ke tempat kerja mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan