Skip to main content

Singapura

Firma farmaseutikal SG mungkin tidak terkesan serta-merta tarif Amerika

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Sep 2025 06:27PM Dikemas Kini : 27 Sep 2025 09:48PM
SINGAPURA: Banyak syarikat farmaseutikal di Singapura sudah mempunyai rancangan untuk melabur di Amerika Syarikat dan sedang memohon penjelasan daripada pentadbiran Amerika Syarikat sama ada ia akan dikecualikan daripada tarif, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Sabtu (27 Sep).

“Tarif mungkin tidak memberi kesan serta-merta ke atas eksport mereka memandangkan mereka sudah mempunyai rancangan untuk membina keupayaan di Amerika Syarikat,” tambahnya.

Syarikat yang sedang membina gudang pengilangan di Amerika akan dikecualikan daripada tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Khamis (25 Sep).

Pada Khamis, Presiden Trump berkata Amerika akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas mana-mana produk farmaseutikal berjenama atau berpaten "kecuali sesebuah syarikat itu sedang membina gudang pengilangan farmaseutikalnya di Amerika".

Tarif baharu ke atas farmaseutikal, trak pelantar besar, barangan ubai suai rumah serta perabot akan berkuat kuasa mulai 1 Oktober.

Menyusuli pengumuman Presiden Trump, pemerintah Singapura menghubungi syarikat-syarikat farmaseutikal di sini dan mengesahkan bahawa banyak syarikat sudah mempunyai rancangan untuk melabur di Amerika Syarikat dan membina keupayaan baharu di sana, kata DPM Gan.

Oleh itu, kesan ke atas eksport mereka ke Amerika Syarikat mungkin terhad, tambahnya.

Sebaliknya, kebimbangan pemerintah adalah kesan jangka panjang terhadap iklim pelaburan keseluruhan, kata Encik Gan, yang mengetuai Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura.

Eksport farmaseutikal Singapura bernilai kira-kira S$4 bilion (AS$3.1 bilion), membentuk 13 peratus daripada eksport domestiknya ke Amerika Syarikat, kata beliau.

KESAN JANGKA PENDEK

Eksport farmaseutikal Singapura ke Amerika sebahagian besarnya adalah produk yang berpaten dan berjenama. Namun, ada juga produk atau komponen lain yang tidak berjenama yang tidak akan dikenakan tarif, kata DPM Gan.

Syarikat-syarikat itu sedang mohon penjelasan daripada pentadbiran Amerika untuk lebih memahami syarat-syarat, dan mengesahkan sama ada rancangan bagi kilangnya di Amerika Syarikat akan membolehkan syarikat-syarikat itu layak mendapat pengecualian tarif, kata DPM Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Semasa ditanya sama ada pemerintah Singapura sedang berunding dengan pentadbiran Amerika dan sama ada setiap syarikat farmaseutikal juga akan mengadakan rundingan masing-masing, beliau mengesahkan bahawa perbincangan akan diadakan di kedua-dua peringkat.

"Di peringkat pemerintah, kita perlu mempunyai beberapa perjanjian antara Singapura dengan Amerika Syarikat berkenaan dengan tarif," kata DPM Gan.

Namun bagi setiap syarikat, situasinya juga bergantung kepada rancangan pelaburan masing-masing di Amerika, yang tidak tertakluk kepada keputusan pemerintah, tambahnya.

"Syarikat itu kemudian perlu berbincang dengan pentadbiran Amerika sama ada rancangan sedia ada syarikat itu layak. Jika benar, maka ia bukan satu isu. Jika tidak, bagaimana mereka boleh ubah suai rancangan mereka supaya syarikat itu layak," tambah DPM Gan.

DPM Gan juga menekankan beberapa inisiatif yang diumumkan bagi membantu syarikat-syarikat menyesuaikan diri dengan sekitaran baharu.

Ini termasuk geran menyesuaikan perniagaan yang akan dilancarkan pada Oktober, yang akan menyaksikan butiran lanjut diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

“Skim ini akan dapat membantu banyak syarikat yang terjejas oleh tarif baharu untuk menyesuaikan rantaian bekalan bagi menyusun semula pangkalan pengeluaran supaya dapat membendung kesan tarif,” katanya.

Pemerintah bersedia untuk berusaha lebih keras jika perlu untuk membantu syarikat-syarikat itu lakukan perubahan, tambahnya.

Program Pelatih Industri bagi Graduan (GRIT) juga akan membantu membuka lebih banyak peluang kepada graduan-graduan baharu di tengah-tengah ketidaktentuan sekarang ini dan pada masa hadapan, kata DPM Gan.

Pada Khamis (25 Sep), Presiden Trump juga menyasarkan bahan-bahan ubah suai rumah - tarif 50 peratus dikenakan ke atas semua kabinet dapur, kabinet bilik mandi dan produk-produk berkaitan, serta tarif 30 peratus ke atas perabot berkusyen.

Menjawab soalan tentang bagaimana ini akan menjejas perniagaan Singapura, DPM Gan berkata pemerintah sedang menghubungi para "pemain utama" di Singapura yang mengeksport ke Amerika Syarikat atau sedang merancang untuk berbuat demikian.

Pemerintah sedang menilai kesan tarif itu terhadap eksport perabot ke Amerika Syarikat, kata DPM Gan.

"Banyak syarikat ini juga mempunyai pasaran serantau, yang sebenarnya di mana mereka bermula.

"Inilah syarikat-syarikat yang kami akan jalin kerjasama untuk melihat bagaimana kami boleh bantu mereka bagi terus berdaya saing," tambah DPM Gan.

KESAN JANGKA PANJANG

Semasa mengetengahkan kesan jangka panjang ke atas pelaburan di Singapura, DPM Gan berkata bahawa banyak negara yang memeterai perjanjian dengan Amerika sudah membuat komitmen pelaburan di luar industri farmaseutikal.

“Sesetengah daripada pelaburan ini, seperti sumber, dana mungkin disasarkan untuk melabur di Singapura dan rantau ini, tetapi kini ia perlu dialihkan ke Amerika Syarikat… Jadi saya fikir ini, dalam jangka masa yang lebih panjang akan mengubah corak pelaburan,” katanya, sambil menambah bahawa ia akan menjadi lebih berdaya saing.

Itulah sebabnya Singapura perlu meningkatkan pemasaran pelaburan dan mengekalkan daya saing negara untuk menarik pelaburan, tambahnya.

"Semua saling bersangkut-paut, semuanya ada kaitan. Dan ini melibatkan daya tahan dan daya saing jangka panjang," jelasnya.

Bagi syarikat farmaseutikal, Amerika bukan satu-satunya pasarannya kerana sesebuah syarikat-syarikat itu mengeksport "banyak" ke negara lain.

Pemerintah boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang tidak layak mendapat pengecualian tarif untuk melihat sama ada syarikat itu boleh berpindah ke pasaran lain atau baharu dan menarik pelaburan dari luar Amerika, katanya.

Pada masa yang sama, jika Singapura masih boleh berdaya saing walaupun dikenakan tarif, ia mungkin masih "mendapat sebahagian daripada pasaran" bagi syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di sini, tambahnya.

Akhir sekali, Singapura mengharapkan autran yang membolehkannya terus berdaya saing di pasaran Amerika, dan bagi syarikat farmaseutikal terus mengeksport barangan ke sana, kata DPM Gan.

"Mengenai sama ada kadar tarifnya 15 peratus atau mana-mana tarif lain adalah sebahagian daripada rundingan. Namun kami berharap dapat menerima beberapa layanan yang diutamakan berbanding tarif sedia asa yang dikenakan oleh Amerika," tambahnya.

Semasa ditanya sama ada Singapura sedang menimbangkan pilihan lain, termasuk insentif cukai, bagi menggalakkan syarikat farmaseutikal meneruskan pelaburan di Singapura, DPM Gan berkata adalah tidak mungkin bagi pemerintah untuk memberikan subsidi jangka panjang disebabkan tarif.

"Ini kerana perniagaan itu sendiri mungkin tidak berdaya maju," katanya, sambil menambah bahawa perniagaan itu mungkin perlu disusun semula untuk menjadi berdaya maju.

Pemerintah boleh menyokong dan memberi insentif kepada perniagaan sepanjang proses susunan semula ini, katanya.

"Anda perlu agak realistik. Jika perniagaan asas tidak berdaya maju, kami tidak mungkin memberi subsidi ... bagi jangka panjang."
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita