Skip to main content

Singapura

Firma binaan SG terjejas dengan pergolakan di Bangladesh

Anggaran Waktu Membaca:
Firma binaan SG terjejas dengan pergolakan di Bangladesh

Pekerja hijrahan bekerja di sebuah tapak binaan di Singapura pada 14 September 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 15 Aug 2024 08:01AM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat binaan di Singapura sudah mula mengalami kesan kemelut politik Bangladesh, sedang lebih ramai pekerja pulang ke tanah air mereka dan kertas kerja untuk membawa masuk pekerja baharu mengalami kelengahan.

Bangladesh telah dibelenggu keganasan sejak bantahan besar-besaran oleh para pelajar meletus pada Julai bagi membantah kuota pekerjaan pemerintah, yang akhirnya menyebabkan Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri dengan helikopter ke negara jiran, India pada 5 Ogos.

Sistem kuota pekerjaan memperuntukkan sejumlah pekerjaan sektor awam untuk veteran perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971 dan ia telah dikritik sebagai memihak kepada sekutu-sekutu parti pemerintah.

Pemerintah sementara, yang diterajui oleh pemenang Hadiah Nobel Muhammad Yunus, telah mengangkat sumpah dengan matlamat untuk mengadakan pilihan raya di negara itu.
CABARAN MENDAPATKAN PEKERJA

Apabila tunjuk perasaan dan pergolakan mencapai paras kemuncak dalam masa beberapa minggu sebelum Cik Hasina meletak jawatan, ramai pekerja Bangladesh di Singapura memohon cuti untuk pulang ke negara mereka dan berada bersama keluarga mereka, menurut Hitomo Construction.

Firma binaan itu menggajikan 19 pekerja warga Bangladesh, yang membentuk 60 peratus daripada tenaga kerja hijrahannya. Kira-kira satu pertiga daripada pekerja Bangladesh memohon cuti.

"Ini tentu sekali menimbulkan kesan (ke atas) jadual projek kami yang sedang berjalan," menurut pengarahnya Serene Pan.

Syarikat itu menjelaskan kepada para pekerja mereka bahawa ia "tidak boleh membenarkan semua orang memohon cuti untuk pulang ke Bangladesh" dan pekerja hanya boleh mengambil cuti secara berperingkat.

Sebagai contoh, sebaik sahaja dua pekerja hijrahan pulang dari cuti mereka, barulah pekerja lain akan dibenarkan mengambil cuti.

"(Tetapi) sesetengah daripada mereka sangat terdesak untuk pulang dan kami tidak mempunyai pilihan selain membenarkan mereka pulang," kata Cik Pan.

Apabila khidmat internet digantung di Bangladesh pada bulan lalu, ia menyulitkan lagi proses untuk menghubungi pekerja hijrahan mereka secara online," katanya.

Khidmat internet digantung setelah para penunjuk perasaan membakar stesen penyiaran negara tersebut. Khidmat internet hanya disambung semula lebih seminggu selepas itu.
Cabaran yang serupa turut dialami oleh SM Singapore, sebuah syarikat perkhidmatan kontraktor yang menggajikan seramai 110 pekerja warga Bangladesh.

Para pekerja yang ke Singapura dari Bangladesh berdepan masalah untuk mendapatkan semula dokumen yang diperlukan secara online, kata Pengurus Besar Mostak Ahmed.

Kertas kerja yang diperlukan untuk membawa mereka masuk juga tidak dikeluarkan tepat pada masanya.

Sungguhpun demikian, syarikat itu "yakin" bahawa keadaan akan menjadi stabil dan "kembali normal" selepas pemerintah baharu ditubuhkan, kata Encik Mostak.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita