Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firma binaan berdepan kekangan tenaga kerja meski sempadan S'pura sudah dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:
Firma binaan berdepan kekangan tenaga kerja meski sempadan S'pura sudah dibuka semula

Gambar: Aaron Low/TODAY

Diterbitkan : 16 May 2022 03:43PM Dikemas Kini : 16 May 2022 03:44PM

SINGAPURA: Semakin ramai pekerja binaan kembali ke Singapura selepas sekatan-sekatan COVID-19 dilonggarkan.

Pada masa yang sama, ramai juga pekerja binaan yang memutuskan untuk pulang ke negara asal masing-masing buat pertama kali dalam tempoh dua tahun, menurut firma-firma binaan yang ditemui Mediacorp.

Ini menjejas industri binaan kerana projek-projek perlu diselesaikan dengan pantas.

Sekalipun dengan kemasukan para pekerja baru, firma-firma binaan memberitahu Mediacorp bahawa para pekerja baru itu biasanya kurang berkemahiran dan perlu dilatih terlebih dahulu. Maka itu, sebahagian besar daripada mereka tidak dapat menyumbang dengan segera kepada projek-projek yang sedang dijalankan.

Membawa masuk pekerja baru juga akan meningkatkan kos berbanding sebelum pandemik melanda disebabkan oleh isu-isu pentadbiran seperti tempoh jangan keluar rumah (SHN) dan ujian COVID-19 yang perlu dijalani sebelum mereka tiba di sini, menurut firma-firma tersebut.

Sektor binaan terjejas teruk disebabkan oleh kekangan tenaga kerja semasa pandemik dan keadaan ini diburukkan lagi dengan sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan bagi mengawal kemasukan pekerja hijrahan ke negara ini.

Ini menyebabkan kelengahan pada usaha untuk menyiapkan projek.

Firma-firma binaan juga terpaksa menaikkan sebut harga masing-masing disebabkan oleh kos buruh yang melambung tinggi angkara kekurangan bekalan tenaga kerja.

Pada 9 Mei, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng mendedahkan di Parlimen bahawa kekurangan tenaga kerja yang menjejas teruk sesetengah sektor dijangka akan beransur pulih dalam masa beberapa bulan akan datang apabila lebih ramai pekerja hijrahan memasuki Singapura setelah sempadan negara dibuka semula.

Bagi mengawal risiko kes import COVID-19 pada permulaan pandemik, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Mac 2020 mewajibkan semua pemegang pas kerja baru dan sedia ada yang merancang untuk memasuki Singapura supaya mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum mereka tiba di sini.

Pada Februari tahun ini, MOM memansuhkan syarat tersebut bagi semua pemegang pas jangka panjang yang lengkap divaksin tetapi syarat yang sama masih dikenakan terhadap pemegang permit kerja.

Pada 1 Mei, MOM memansuhkan syarat tersebut bagi semua pemegang permit kerja bukan warga Malaysia yang lengkap divaksin bagi sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan.

MAKIN RAMAI PEKERJA HIJRAHAN PULANG KE NEGARA ASAL

Encik Akbar Kader, pengarah urusan Nan Guan Construction berkata, sekalipun syarat untuk memasuki negara ini sudah dimansuhkan dan dengan itu beliau boleh mengambil lebih ramai pekerja, ia juga bermakna lebih ramai pekerja hijrahan akan pulang ke negara asal mereka untuk bertemu semula dengan keluarga masing-masing.

Ramai daripada mereka yang memutuskan untuk tidak pulang ke negara asal mereka selama dua tahun kerana bimbang mereka tidak akan dibenarkan untuk memasuki negara ini sekali lagi disebabkan oleh syarat-syarat yang dikuatkuasakan ketika itu.

Menurut beliau, sekitar 20 peratus tenaga kerja hijrahan yang sebahagian besarnya merangkumi pekerja dari Bangladesh dan India mahu pulang ke negara asal masing-masing untuk bertemu dengan keluarga mereka.

Encik Akbar sedang berusaha untuk membawa masuk kira-kira 20 peratus lagi pekerja hijrahan bagi menambah tenaga kerjanya ke paras sebelum COVID-19 melanda dan beliau masih dalam proses untuk berbuat demikian memandangkan langkah-langkah kawalan sudah dilonggarkan.

Sekalipun tenaga kerja sudah kembali ke paras sebelum pandemik, masih banyak lagi kerja yang perlu dibuat berbanding sebelum ini, tegas beliau.

KOS BAWA MASUK PEKERJA MENINGKAT

Kos yang melambung tinggi untuk membawa masuk pekerja hijrahan ke Singapura turut membebankan sesetengah firma binaan, dedah para majikan kepada Mediacorp.

Pengarah Adf Construction, Foong Yu Han berkata kos untuk membawa masuk pekerja baru boleh mencecah S$3,000 setiap seorang.

Sejak Mac tahun ini, proses untuk membawa masuk pekerja hijrahan sudah disingkatkan kepada dua hari. Namun, di bawah program baru ini, firma-firma masih perlu membayar antara S$890 dengan S$1,800 untuk membawa masuk pekerja baru. Ini termasuk tambang penerbangan mereka.

Cik Foong menganggarkan beliau perlu membayar sekurang-kurangnya S$1,400 bagi setiap pekerja di bawah program tersebut yang masih jauh lebih tinggi berbanding kos sebelum berlaku pandemik.

Menurut beliau, kos itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan dan mereka tidak akan diberikan pampasan sekiranya pekerja tersebut memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan