Firma besar perlu ada kakitangan HR bertauliah jelang 2028
Semua pertubuhan yang mempunyai lebih 200 pekerja perlu menggajikan sekurang-kurangnya seorang kakitangan sumber manusia (HR) bertauliah mulai 1 Julai 2028.
- From 1 July 2028, Singapore firms with more than 200 employees must employ at least one IHRP-certified HR professional to raise professionalism and prepare for changes to workplace laws.
- MOM said about 2,000 firms are affected, with more than 900 already meeting the requirement. A S$100 certification subsidy will be available from October 2026 to June 2028.
- The Government accepted recommendations from a MOM, NTUC and SNEF working group, including human-centred AI transformation, AI skills training, funding and NTUC guidance expected to be published in early 2027.
- Other recommendations include part-time HR services for SMEs, using the Singapore Opportunity Index to assess career opportunities, and a human capital leadership programme starting in 2027.
- Mulai 1 Julai 2028, firma Singapura dengan lebih 200 pekerja wajib menggajikan sekurang-kurangnya seorang karyawan HR bertauliah IHRP bagi meningkatkan profesionalisme dan bersedia menghadapi perubahan undang-undang tempat kerja.
- MOM menyatakan sekitar 2,000 firma terlibat, dengan lebih 900 sudah memenuhi syarat, sementara subsidi pensijilan S$100 akan diberi dari Oktober 2026 hingga Jun 2028.
- Pemerintah menerima saranan kumpulan kerja MOM, NTUC dan SNEF, termasuk transformasi AI berteraskan manusia, latihan kemahiran AI, pembiayaan, serta panduan NTUC yang dijangka terbit awal 2027.
- Saranan lain meliputi khidmat HR sambilan untuk SME, penggunaan Indeks Peluang Singapura bagi menilai peluang kerjaya, dan program kepimpinan modal insan yang bermula pada 2027.
SINGAPURA: Semua pertubuhan yang mempunyai lebih 200 pekerja perlu menggajikan sekurang-kurangnya seorang kakitangan sumber manusia (HR) bertauliah mulai 1 Julai 2028.
Karyawan HR itu perlu memiliki sekurang-kurangnya pensijilan IHRP-Certified Professional daripada Institut bagi Karyawan Sumber Manusia (IHRP).
IHRP merupakan badan profesional yang ditubuhkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).
Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme sektor HR dan mempersiapkan firma menghadapi perubahan perundangan tempat kerja, termasuk Akta Keadilan di Tempat Kerja yang dijadual berkuat kuasa pada hujung 2027.
MOM menyatakan terdapat sekitar 2,000 firma di Singapura yang mempunyai lebih 200 pekerja, merangkumi lebih 45 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja.
Lebih 900 daripada firma tersebut sudah mempunyai sekurang-kurangnya seorang karyawan HR bertauliah IHRP.
Keperluan baharu itu dijangka meningkatkan jumlah karyawan HR bertauliah daripada 9,000 sekarang kepada sekitar 18,000, atau 40 peratus tenaga kerja HR, menjelang 2030.
Bagi membantu firma memenuhi syarat tersebut, pemerintah akan menyediakan subsidi tambahan S$100 bagi pensijilan IHRP dari 1 Oktober 2026 hingga 30 Jun 2028. Firma juga boleh menggunakan Kredit Perusahaan SkillsFuture bagi menampung baki kos.
TRANSFORMASI AI BERTERASKAN MANUSIA
Langkah itu antara beberapa saranan Kumpulan Kerja Perikatan Tiga Pihak bagi Pembangunan Keupayaan Modal Insan yang diterima pemerintah.
Kumpulan kerja itu ditubuhkan MOM bersama NTUC dan SNEF bagi meningkatkan keupayaan modal insan dan amalan HR dalam kalangan firma.
Antara saranannya ialah satu inisiatif “transformasi AI berteraskan manusia bagi HR” untuk membantu perniagaan menggunakan AI secara berkesan dan bertanggungjawab tanpa mengetepikan pekerja.
Ia akan menyediakan pakej permulaan yang menggabungkan penyelesaian AI dengan latihan dan pembiayaan bagi membantu syarikat menggunakan teknologi tersebut dalam fungsi HR.
IHRP juga akan bekerjasama dengan rakan latihan bagi memperkenalkan lebih banyak program latihan bertauliah sejajar dengan 12 kemahiran baharu berkaitan kecekapan AI.
NTUC pula akan menghasilkan panduan bagi membantu karyawan HR mengharungi proses transformasi AI, yang dijangka diterbitkan pada suku pertama 2027.
Kumpulan kerja itu menekankan bahawa syarikat yang menggunakan AI perlu mengambil kira kesannya terhadap tenaga kerja sejak peringkat perancangan dan bukan hanya selepas keputusan utama dibuat.
LEBIH SOKONGAN HR BAGI SME
Satu lagi saranan ialah merintis model yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) mendapatkan khidmat karyawan HR berpengalaman secara fleksibel tanpa perlu menggajikan seorang karyawan kanan HR sepenuh masa.
Di bawah projek rintis selama enam bulan yang sedang dijalankan, pemimpin HR berpengalaman ditempatkan di SME yang mengambil bahagian secara sambilan.
Kumpulan kerja itu turut menyarankan penggunaan Indeks Peluang Singapura (SOI) sebagai penanda aras nasional bagi peluang kerjaya yang diwujudkan majikan.
Indeks tersebut menggunakan data pemerintah yang disahkan bagi membantu pekerja membuat keputusan kerjaya dengan lebih bermaklumat dan membolehkan majikan menilai kesan strategi tenaga kerja mereka.
MOM sebelum ini menyatakan SOI menyediakan penanda aras berasaskan data mengenai hasil seperti gaji, kemajuan kerjaya dan pengekalan pekerja.
Satu program pembangunan kepimpinan modal insan peringkat tertinggi turut disarankan bagi membangunkan pemimpin HR masa depan. Program itu akan bermula pada 2027 dan direka oleh Institut Kepimpinan Modal Insan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.