Firma berpangkalan SG intai peluang di Batam, Bintan & Karimun kembang keupayaan dalam bidang baharu
Ini khususnya dalam bidang baharu yang pesat muncul, termasuk ekonomi digital, pengilangan canggih dan tenaga hijau.
Ini didorong dengan hakikat bahawa Indonesia merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
Singapura juga sudahpun sekian lama menjadi pelabur asing terbesar Kepulauan Riau, dan kekal sebagai pelabur asing terbesar Batam.
Pada separuh pertama tahun ini, pelaburan Singapura merangkumi hampir 70 peratus Pelaburan Langsung Asing (FDI) Batam, dengan nilai sebanyak S$632 juta.
Perangkaan itu dikongsi Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Png Cheong Boon dalam sebuah Forum Perniagaan Batam, Bintan dan Karimun (BBK) "Islands of Growth", yang diadakan pada Selasa (18 Nov).
Di forum tersebut, dua sesi perbincangan diadakan - sesi pertama menumpukan kepada perkembangan terkini dalam perundangan perniagaan BBK, manakala sesi kedua memberi fokus kepada peluang kerjasama antara Singapura dan BBK.
TAMAN INDUSTRI KARBON RENDAH DIBANGUNKAN DI BATAM ANTARA TARIKAN BAHARU BAGI PERNIAGAAN BERPANGKALAN SG
Dalam ucapannya, Encik Png menarik perhatian mengenai langkah diambil BBK untuk terus menyediakan perniagaan dengan huraian hijau, khususnya memikat syarikat yang mempunyai agenda kemampanan yang kukuh.
Antaranya menerusi pembangunan salah satu daripada dua taman industri rendah karbon baharu di Batam, iaitu di Tanjung Sauh.
Taman industri seluas kira-kira 840 hektar itu sedang dibangunkan bersama Sembcorp Industries (Sembcorp) dengan Panbil Group dari Indonesia.
Panbil Group (Panbil) ialah sebuah firma pemaju berpangkalan di Batam yang terlibat dalam pembangunan, hartanah industri dan hospitaliti.
Tanjung Sauh sudahpun diiktiraf dengan status Zon Ekonomi Khas (SEZ) bagi pembangunan industri pada 2024.
Di sesi perbincangan kedua forum tersebut, Ketua Pegawai Teknikal Panbil Group, Cik Sherly Tano, yang merupakan salah seorang panelis itu, sempat berkongsi antara daya tarikan Tanjung Sauh bagi bakal pelabur.
"Apabila siap kelak, taman industri itu akan menempatkan tiga hab bersepadu dengan fokus kepada pengilangan, kemampanan dan keandalan bekalan tenaga, serta logistik."
"Saya cadangkan bahawa mereka memberi tumpuan kepada rantaian bekalan. Apakah rantaian bekalan yang tersedia di Batam? Kerana, mewujudkan pasaran baharu tanpa rantaian bekalan yang sesuai di Batam agak mencabar," kongsi Cik Sherly kepada wartawan Syazwani Sanep.
SINGAPURA DAN BBK PERLUAS KERJASAMA EKONOMI DIGITAL MENERUSI TAMAN DIGITAL NONGSA
Singapura dan BBK terus memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital dengan Taman Digital Nongsa di Batam yang dijadual mula beroperasi tahun depan.
Taman tersebut adalah satu-satunya Zon Ekonomi Khas untuk ekonomi digital di Batam.
Ia akan diperluas sehingga kira-kira tiga hektar bagi menampung lebih banyak pusat data pada masa hadapan.
Untuk menarik minat para pelabur, insentif cukai serta hak pemilikan tanah sehingga 80 tahun dihulurkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Taman Digital Nongsa Mike Wiluan, beliau berharap Nongsa akan membuka laluan bagi lebih banyak peluang kerjasama.
"Taman Digital Nongsa adalah satu ekosistem yang sebetulnya ada beberapa kemudahan, bukan hanya ada prasarana, tetapi ada kemahiran insani juga. Sebetulnya, kita sangat mencari bakat dari Singapura, yang boleh mendapat kesempatan untuk kerja di Nongsa, bersama teman-teman, bakat dari Indonesia. Kalau misalnya kita dapat bergabung, dengan perkongsian, bukan sahaja perkongsian, tetapi dapat menjalin kerjasama," kata beliau.
PERJALANAN TANPA VISA KE BBK PERMUDAH RENTAS SEMPADAN, RANCAKKAN LAGI PELABURAN
Memudahkan perjalanan rentas sempadan turut menjadi bidang utama yang diberi tumpuan EDB dan CMEA bagi memperkukuh lagi keterhubungan Singapura dan BBK.
Sejak Oktober 2024, penduduk tetap (PR) Singapura tidak lagi memerlukan visa untuk ke Bintan, Batam dan Kepulauan Karimun.
Bagi melancarkan lagi proses keluar masuk, sistem e-gate — satu kaedah pelepasan automatik — turut diperkenalkan di Terminal Feri Batam Centre dan Harbour Bay.
Di acara yang sama, Menteri Penyelaras Bidang Perekonomian Indonesia Airlangga Hartarto menegaskan komitmen Indonesia dalam terus menyediakan persekitaran yang kondusif bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di BBK.
Di kesempatan itu, Encik Airlangga menarik perhatian bahawa pemerintah Indonesia baru saja memperkenalkan perundangan baharu memperkemaskan proses pelesenan melalui perjanjian tahap perkhidmatan.
Di samping itu, beliau mengumumkan pembentukan satu pasukan bertindak, yang bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan perundangan itu berjalan dengan lancar dan menyelesaikan sebarang halangan dalam sistem pelaburan.
Lebih 200 hadirin telah menghadiri Forum Perniagaan BBK, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec City. Mereka terdiri daripada pemilik perniagaan, rakan kongsi industri, pegawai pemerintah dan bakal pelabur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.