Firma Belanda cipta 400 pekerjaan baharu di kemudahan SG
Kemudahan VDL Enabling Technologies Group yang akan diperluaskan akan mencipta 400 jawatan baharu dalam bidang-bidang seperti pengilangan lanjutan dan pengurusan rantaian dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kemudahan firma itu yang terletak di Singapura membekalkan bahagian peralatan penting kepada para pemain semikonduktor utama.
Meskipun terdapat ketidaktentuan tarif, firma itu dijangka menjana hasil sehingga S$1 bilion dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.
Firma pengilangan yang berpangkalan di Belanda itu akan menyuntik pelaburan sebanyak S$100 juta untuk mengembangkan operasinya di Singapura buat lima tahun seterusnya.
Dengan bangunan yang serba baharu dan lebih luas, ia dapat meningkatkan pengeluaran sehingga 30 peratus berbanding sekarang.
Firma itu juga membawa masuk produk-produk baharu dari Eropah, dengan disokong oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), bagi mengukuhkan ekosistem setempat.
"Produk yang akan kami bawa masuk umumnya adalah produk berteknologi tinggi, sesuatu yang memerlukan kejituan tinggi, ketepatan tinggi dan oleh itu, kami juga perlukan teknologi tahap tinggi daripada rantaian bekalan kami," kata Pengarah Urusan VDL Enabling Technologies Group (SG) Chiam Sing Chung.
"Ada dua perkara yang kami boleh lakukan dengan rantaian bekalan tempatan. Pertama adalah meningkatkan perniagaan. Kedua, mereka perlu melabur dalam teknologi juga, supaya dapat menyertai program," tambah beliau.
Di samping itu, EDB turut menarik perhatian bahawa sektor semikonduktor membentuk sekitar 7 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara dan menggajikan sekitar 35,000 pekerja.
Untuk memastikan bakat tempatan maju seiring perubahan industri, peluang-peluang latihan juga akan dibuka untuk golongan pelajar.
"Kami sudah membina sebuah ekosistem semikonduktor yang menyeluruh, semuanya disokong oleh sebuah rangkaian syarikat peralatan dan bahan semikonduktor yang kukuh. Ia adalah sebuah ekosistem komprehensif, dijana oleh kerjasama kukuh antara sektor awam dengan privet.
"Kami akan terus mengukuhkan ekosistem ini, memberdaya rakan-rakan seperti VDL ETG untuk berkembang maju sedang permintaan global bagi semikonduktor meningkat dan industri ini berubah," kata Pengarah Urusan EDB, Jermaine Loy.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.