Skip to main content

Singapura

Firma Apeiron Bioenergy gesa orang ramai jangan buang sampah ke dalam tong kitar semula minyak masak terpakai

Anggaran Waktu Membaca:
Firma Apeiron Bioenergy gesa orang ramai jangan buang sampah ke dalam tong kitar semula minyak masak terpakai

(Gambar: TikTok/apeiron.bioenergy)

SINGAPURA: Syarikat biobahan api Apeiron Bioenergy merayu kepada rakyat Singapura supaya berhenti membuang sampah ke dalam tongnya yang bertujuan untuk mengumpul minyak masak terpakai.

Dalam usaha untuk menangani masalah itu yang semakin meningkat, ia menggunakan akaun TikToknya baru-baru ini untuk mempertingkatkan kesedaran dan menggesa orang ramai supaya membuang sisa dan sampah dengan betul bagi memastikan minyak masak yang dikumpul kekal tidak tercemar dan sesuai untuk dikitar semula.

Klip sepanjang 25 saat itu, dengan kapsyen "Sila berhenti membuang sampah ke tempat kitar semula minyak masak terpakai kami", memaparkan seorang pekerja syarikat sedang menapis sampah di dalam tong, yang mengandungi bahan-bahan seperti botol plastik, tin minuman kosong dan beg plastik.

Video itu telah ditonton lebih 250,000 kali dan menerima lebih 190 komen, dengan ramai orang memuji usaha syarikat itu.

Sesetengah penonton turut mencadangkan cara untuk mengurangkan masalah tersebut, seperti menukar reka bentuk tong supaya orang ramai tidak tersalah anggap sebagai tong kitar semula sisa am.

90 PERATUS TONG DIISI SAMPAH

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Jumaat (26 Julai), syarikat itu turut mendedahkan bahawa ia memulakan apa yang dipanggil inisiatif "Kitaran Minyak" pada 2022 untuk mengumpul minyak masak terpakai daripada isi rumah.

Inisiatif itu melibatkan penyediaan tong kitar semula dalam masyarakat, dan menjalankan usaha pendampingan untuk menggalakkan penduduk menyimpan minyak masak terpakai dalam tong yang diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

Memandangkan minyak masak terpakai adalah "barangan kitar semula yang khusus dan kotor" yang tidak mendapat sumber dan perhatian yang secukupnya, syarikat itu mengambil masa selama beberapa bulan untuk mendapatkan sokongan dan kelulusan daripada rakan kongsinya untuk menyediakan tempat kitar semula.

Sejak empat bulan lalu, syarikat itu telah melancarkan empat pusat pengumpulan minyak masak terpakai di merata Singapura.

Laman web Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan bahawa terdapat 23 pengumpul berlesen bagi minyak masak terpakai di Singapura.

Apeiron Bioenergy sendiri menyatakan bahawa gris dan minyak membentuk 73 peratus masalah pembetung tersumbat di negara ini.
 
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita