Skip to main content

Singapura

Firma Amerika kekal komited kepada SG, namun kenaikan kos boleh jejas pelaburan masa depan

Anggaran Waktu Membaca:
  Firma Amerika kekal komited kepada SG, namun kenaikan kos boleh jejas pelaburan masa depan

CEO AmCham Lei Hsien-Hsien dalam wawancara bersama Mediacorp.

Diterbitkan : 07 Jul 2026 04:16PM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 04:17PM
SINGAPURA:Syarikat-syarikat Amerika tetap komited kepada Singapura walaupun kos perniagaan semakin meningkat, namun lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk memastikan negara ini terus menarik pelaburan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Perniagaan Amerika di Singapura (AmCham).

Dalam satu temu bual bersama Mediacorp, Dr Lei Hsien-Hsien berkata kos operasi yang tinggi, cabaran pengambilan pekerja dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang pesat mendorong syarikat-syarikat untuk berfikir semula tentang lokasi pelaburan dan penempatan pasukan mereka di seluruh rantau ini.

Dr Lei menambah: "Saya rasa kos menjalankan perniagaan (di Singapura) agak mencabar dalam beberapa aspek; walaupun bakat di sini sangat hebat, mereka menuntut gaji yang lebih tinggi, yang bermaksud beberapa pekerjaan berpindah ke luar negara ke negara-negara lain."

Menurut Tinjauan Tenaga Manusia AmCham 2025, para majikan yang mengambil bakat peringkat permulaan mendapati sukar untuk merekrut calon tempatan yang mempunyai kemahiran teknikal yang diperlukan, serta jangkaan gaji dan kenaikan pangkat yang realistik.

Namun Dr Lei menarik perhatian bahawa perniagaan terus mengimbangi kos operasi di sini dengan faedah yang ditawarkan, termasuk ketersambungan negara ini dengan rantau sekitarnya.

"Komitmen terhadap Singapura masih ada. Saya rasa ada beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan ia menjimatkan kos, cekap dan produktif untuk terus membawa syarikat anda ke Singapura dan menganggap Singapura juga sebagai pintu masuk ke seluruh rantau ini."

KETIDAKPASTIAN YANG MAKIN MENINGKAT TERHADAP AI

Dr Lei berkata AI mendorong syarikat-syarikat untuk memberi tumpuan yang lebih dekat kepada produktiviti dan kecekapan, manakala amalan kerja hibrid dan jarak jauh juga mempengaruhi keputusan tentang di mana kakitangan harus ditempatkan.

"Berapa ramai orang yang mereka mahu letakkan di Singapura? Berapa ramai orang yang akan mereka pindahkan ke lokasi lain? Di situlah jumlah pelaburan berubah, dan pengagihan pelaburan juga berubah," katanya.

Walaupun AI menjanjikan peningkatan produktiviti, ia juga mewujudkan ketidakpastian baharu bagi perniagaan.

Pemerintah di pelbagai negara mengambil pendekatan berbeza untuk mengawal selia teknologi tersebut, daripada memperkenalkan peraturan baharu yang mengawal penggunaannya hinggalah mengetatkan kawalan eksport ke atas teknologi AI yang maju.

Sebagai contoh, Kesatuan Eropah (EU) sudah mula melaksanakan Akta AI mereka - undang-undang menyeluruh pertama di dunia yang mengawal selia AI - manakala Amerika Syarikat pula mengetatkan kawalan eksport ke atas cip AI maju atas dasar keselamatan negara.

Encik Steven Okun, CEO agensi perunding hal ehwal awam APAC Advisors, berkata syarikat-syarikat kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan hasil yang bakal berlaku.

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dengan AI dari perspektif senario risiko. Anda mungkin melihat satu dunia di mana AI kekal seperti hari ini - boleh didapati dan mampu milik," katanya.

"Anda juga boleh melihat AI di bawah senario yang berbeza - di mana ia menjadi jauh lebih mahal dan terhad. Ini mungkin disebabkan oleh tindak balas politik, di mana kerajaan perlu bertindak kerana terlalu ramai rakyat mereka kehilangan pekerjaan, atau jurang ketidaksamaan semakin meningkat."

"Anda menghadapi risiko kedaulatan terhadap AI. Adakah negara-negara tidak akan membenarkan AI digunakan di luar sempadan mereka? Itu boleh menjadi risiko yang besar," tambahnya.

SINGAPURA TETAP JADI HUB RANTAU PILIHAN

Di sebalik pelbagai cabaran ini, Dr Lei berkata AmCham tidak melihat syarikat-syarikat berpindah keluar dari Singapura disebabkan oleh kos perniagaan yang lebih tinggi.

Dr Lei berkata sokongan negara ini terhadap inovasi dan ketersambungan serantau terus menjadikannya sebuah hab perniagaan yang menarik. Beliau menambah bahawa banyak syarikat juga menyatakan bahawa daya tarikan Singapura kepada eksekutif kanan menjadi faktor utama untuk mengekalkan ibu pejabat serantau mereka di sini.

Encik Okun pula berkata kelebihan daya saing Singapura terletak pada kepastian (jaminan) yang ditawarkannya kepada perniagaan, dan bukannya pada kos yang lebih rendah.

"Singapura bersaing atas dasar kepastian; ia tidak bersaing atas dasar murah. Ia tidak bersaing atas dasar kos; ia bersaing atas kekuatannya.

"Apakah yang ada di Singapura yang tidak dimiliki oleh banyak negara pesaingnya? Kedaulatan undang-undang, kontrak yang boleh dikuatkuasakan, tiada rasuah. Anda mempunyai prasarana yang berfungsi dengan baik.

"Perniagaan amat menyedari perkara ini dan mereka sanggup membayar lebih untuk berada di tempat seperti Singapura," tambahnya.

TINJAUAN PELABURAN JANGKA PANJANG

Selain faktor kos, syarikat-syarikat juga sedang mengemudi persekitaran perniagaan global yang semakin tidak menentu, termasuk perubahan peraturan dan ketegangan geopolitik.

"Ia akan menjadi jauh lebih mudah untuk menjalankan perniagaan merentasi sempadan jika kita mempunyai cara untuk meramal peraturan yang mengelilingi industri tertentu," kata Dr Lei.

Beliau berkata syarikat-syarikat juga sedang mempertimbangkan bagaimana perjanjian perdagangan dan perkembangan dasar lain mempengaruhi keputusan pelaburan.

"Kita mempunyai perjanjian perdagangan yang sama ada berfungsi atau tidak berfungsi, serta perbincangan tentang negara mana yang patut syarikat tubuhkan perniagaan mereka. Bagaimana mereka menetapkan keutamaan?" katanya.

"Secara keseluruhan, syarikat-syarikat ahli kami memberitahu kami bahawa mereka tetap berada di sini di Singapura. Mereka percaya kepada rantau ini. Mereka akan terus melabur. Persoalannya ialah, adakah mereka akan melabur sebanyak yang mereka fikirkan beberapa tahun lalu?"
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita