Firefly sambung semula penerbangan ke S'pura sedang pesawat pertama mendarat di Seletar
Penerbangan pertama Firefly, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia ke Lapangan Terbang Seletar mendarat pada jam 10.53 pagi pada Ahad (21 Apr).
SINGAPURA: Penerbangan pertama Firefly, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia ke Lapangan Terbang Seletar mendarat pada jam 10.53 pagi pada Ahad (21 Apr).
Penerbangan FY3126 dari Lapangan Terbang Subang mendarat sedang Firefly menyambung semula khidmat penerbangannya ke Singapura setelah lima bulan penggantungan akibat pertikaian mengenai ruang udara antara Singapura dengan Malaysia.
Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan menyambut ketibaan rakan sejawatannya dari Malaysia, Encik Anthony Loke, yang menaiki pesawat tersebut.
Khidmat penerbangan antara Lapangan-Lapangan Terbang Subang dengan Seletar disediakan dua kali sehari dari 22 hingga 28 April dan kemudian akan ditambah kepada enam penerbangan sehari.
Firefly menggantung penerbangannya ke Singapura pada Disember tahun lalu setelah gagal mendapat kelulusan daripada
pengawal selia penerbangan Malaysia untuk memindahkan operasinya dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar.
Malaysia menolak prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) untuk digunakan di Lapangan Terbang Seletar dengan menyatakan bahawa ia menyekat pembinaan bangunan-bangunan tinggi di Pasir Gudang, Johor.
Bagaimanapun, Singapura menyatakan bahawa ILS setakat mencarta laluan penerbangan sedia ada untuk menjadikan peraturan keselamatan penerbangan lebih jelas dan telus. Kementerian Pengangkutan (MOT) Singapura juga menyatakan prosedur itu tidak akan membawa sebarang kesan tambahan kepada para pengguna ruang udara lain serta perniagaan dan penduduk di Johor.
Setelah rundingan beberapa bulan, Malaysia menggantung Kawasan Larangan tetapnya ke atas Pasir Gudang buat tempoh masa yang tidak ditentukan. Sementara itu, Singapura menarik balik prosedur ILS di Lapangan Terbang Seletar bagi memberi laluan kepada Firefly untuk meneruskan semula operasinya.
Prosedur ILS merujuk kepada kemudahan mengemudi penerbangan dibantu, di lapangan terbang yang menyediakan panduan kepada para juruterbang semasa pesawat sedang mendarat dan menghampiri landasan kapal terbang.
ILS membolehkan para juruterbang untuk mendarat dalam semua keadaan cuaca termasuk ketika jarak penglihatan rendah. Ia dilaksanakan atas permintaan Firefly.
Singapura dan Malaysia sebaliknya akan bekerjasama untuk
menghasilkan prosedur pendekatan alatan berdasarkan GPS bagi Lapangan Terbang Seletar.
Sebelum penggantungannya, Firefly menawarkan 20 penerbangan sehari antara Singapura dengan Subang, Ipoh dan Kelantan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.