Finalis Bahas 4PM bijak atur masa buat persiapan di tengah-tengah peperiksaan 'prelim'
(Gambar: Facebook/Malay Youth Literary Association 4PM)
SINGAPURA: Para pendebat Raffles Institution (RI) dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bakal beradu kebolehan dalam pusingan akhir bagi merebut gelaran juara Bahas 4PM 2024 peringkat posmenengah .
Kali terakhir Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah layak ke pusingan akhir adalah lebih sedekad lalu manakala Raffles Institution (RI) tiga tahun lalu.
Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Kamal Ashraff, berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman bahawa prestasi kedua-dua pasukan sepanjang peraduan sangat memuaskan kerana mereka mempamerkan kehandalan dari segi bahasa, gaya dan daya kritis.
"Pada tahun 2023, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah layak ke peringkat separuh akhir dengan kedudukan keempat selepas peringkat saringan, tetapi telah ditewaskan oleh Politeknik Ngee Ann. Institusi Raffles pula mengambil bahagian dalam peringkat saringan, dengan kedudukan kelima," kongsi Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Kamal Ashraff.
Para finalis diberikan kira-kira dua minggu untuk membuat persiapan bagi perdebatan dalam pusingan akhir.
Mereka akan beraksi dalam pentas akhir yang diadakan di Teater Mediacorp pada Sabtu (17 Ogos).
"Kami membuat perbincangan selepas waktu sekolah, walaupun terpaksa pulang lewat hampir setiap hari. Pada hujung minggu pula, kami membuat bacaan dan kajian tambahan bagi membantu memahami mauduk dengan lebih baik," kata pembahas Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Saqina Qamilia Suwandi.
Grace Abigail dari pasukan RI pula berkongsi bahawa mereka perlu melakukan kajian yang meluas tentang mauduk yang akan dibahaskan.
"Kami berbincang dengan guru-guru untuk mendapat pandangan dan perspektif yang berbeza. Kami juga membuat latihan walaupun waktu agak terhad dan saling membantu dan menyokong ahli pasukan untuk mengukuhkan hujah dan memperbaiki penyampaian kami," kata Abigail.
MAUDUK - 'SISTEM MERITOKRASI BERJAYA MENGURANGKAN KETIDAKSAMAAN DALAM MASYARAKAT'
Selaku pihak pencadang, para pembahas Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah akan cuba mendirikan mauduk 'Sistem Meritokrasi Berjaya Mengurangkan Ketidaksamaan dalam Masyarakat'.
"Kami berasa amat teruja apabila mendapat tahu topik peringkat akhir menyentuh tentang sistem meritokrasi, disebabkan ia merupakan perkara yg sangat berkait rapat dgn kehidupan kami sebagai rakyat Singapura. Lebih-lebih lagi hasil daripada sistem meritokrasi dapat dilihat oleh kami pada hari ini," kata pembahas Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Solihin Zainal.
Pasukan RI pula akan cuba meruntuhkan mauduk tersebut selaku pihak penyanggah.
Bagi para pembahas, ini bukan sekadar pertandingan tapi peluang untuk mengasah kemahiran mereka untuk berfikir secara kritis.
"Perkara yang paling menonjol ialah kepelbagaian dalam aspek-aspek meritokrasi yang boleh dikaji dan digunakan sebagai hujahan. Tambahan pula, meritokrasi merupakan suatu sistem yang digunakan oleh negara kita. Justeru, topik ini telah memberi kami peluang untuk membuat kajian dan berfikir secara kritikal tentang sistem yang diterapkan di Singapura," kata pembahas dari RI, Haziqah.
PARA PEMBAHAS BERDEPAN DENGAN CABARAN
Pun begitu, perjalanan untuk merebut takhta juara BAHAS 4PM bukanlah mudah.
Para pembahas harus bijak membahagikan masa antara tugasan sekolah, persiapan bagi pertandingan dan tanggungjawab lain.
"Kami perlu membahagikan masa antara pembelajaran, aktiviti kokurikular, persiapan bagi peringkat akhir Bahas 4PM dan tanggungjawab-tanggungjawab yang lain. Bagi mauduk pula, kami perlu menetapkan kayu ukur yang sesuai untuk membolehkan kami berbahas dengan berkesan dan menyampaikan hujah-hujah yang relevan dan meyakinkan," kata lagi seorang pembahas dari RI, Megan.
Namun bagi mengatasi cabaran itu, pasukan RI memanfaatkan masa antara kelas sepenuhnya dengan melakukan kajian serta berkongsi dapatan bersama ahli pasukan.
Pembahas Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Nur Syafiqah Nordin pula berkongsi bahawa selain cabaran untuk membahagikan masa dengan sebaiknya, pasukannya memastikan bahawa mereka tidak terlepas untuk berjumpa setiap hari untuk bincangkan mauduk yang diberi.
"Kami perlu mengimbangi masa dengan baik, memandangkan 3 daripada 4 pembahas kami sedang menduduki peperiksaan 'prelim'. Sebagai persiapan, kami membuat banyak pembacaan berkenaan dengan mauduk. Selain itu, kami turut memikirkan sudut pandang pihak lawan supaya dapat memahami mauduk secara menyeluruh," kata pembahas Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Aiman Hazeeq Rohaizad.
Keputusan pusingan akhir BAHAS 4PM akan diumumkan dalam tayangan di saluran Mediacorp Suria dan meWATCH pada 1 September, 8.30 malam.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.