Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Filem tempatan #LookAtMe dilarang tayang di S'pura

Filem tempatan #LookAtMe dilarang ditayang di Singapura kerana ia memburuk-burukkan sebuah masyarakat beragama, menurut pihak berkuasa pada Isnin (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Filem tempatan #LookAtMe dilarang tayang di S'pura

Petikan skrin sedutan filem #LookAtMe arahan Ken Kwek.

SINGAPURA: Filem tempatan #LookAtMe dilarang ditayang di Singapura kerana ia memburuk-burukkan sebuah masyarakat beragama, menurut pihak berkuasa pada Isnin (17 Okt).

Filem itu "tidak diberi klasifikasi" kerana ia berpotensi "mencetuskan kebencian dan perpecahan sosial dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama Singapura".

Demikian menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (17 Okt).

Filem itu, yang berlatar belakangkan Singapura dan diarahkan oleh sutradara tempatan, Ken Kwek, dalam pembukaannya menyatakan cerita "diilhamkan daripada kisah sebenar".

Watak protagonis dalam filem itu tersinggung dengan pendirian seorang paderi berhubung golongan homoseksual, bagi pihak abangnya dan memuat naik catatan yang "mengapi-apikan" tentang paderi berkenaan, peranan yang didukung pelakon Adrian Pang.

Catatan tersebut tular dan ia membawa kepada beberapa siri peristiwa yang menyebabkan keluarga tersebut dalam keadaan hiba.

"Beberapa gambaran tentang paderi itu (termasuk gelaran yang berbunyi serupa) memberi bayangan kepada seorang paderi sebenar di Singapura. Orang ramai di Singapura boleh membuat kaitan tersebut. Konteksnya mungkin dilihat sebagai membayangkan seolah-olah atau menggalak keganasan terhadap paderi itu," menurut kenyataan tersebut.

Watak utama filem itu juga merancang satu serangan untuk membalas dendam terhadap paderi berkenaan. Menurut pihak-pihak berkuasa lagi, paderi itu dilihat terlibat dalam satu tindakan "yang dilarang oleh kepercayaan agamanya".

Pihak berkuasa menyatakan filem itu berpotensi mencetuskan kebencian dan perpecahan sosial di Singapura kerana paderi tersebut berdakwah menentang homoseksual, namun tingkah lakunya sendiri bercanggah dengan ajaran agama yang disampaikannya.

Rujukan kepada "kisah sebenar" mencadangkan bahawa pemimpin-pemimpin agama di Singapura terlibat dalam tingkah laku seumpama itu, tambahnya.

Satu lagi keprihatinan adalah watak protagonis tersebut meluahkan hasratnya dan membuat persediaan untuk menyerang seorang tokoh agama secara kejam, menurut kenyataan pihak berkuasa itu lagi.

“Dakwaan itu boleh dianggap sebagai menyinggungkan perasaan, memfitnah dan bercanggah dengan (Akta Mengekalkan Keharmonian Agama) kerana ia boleh dilihat sebagai menyerang tokoh agama itu secara tidak adil serta menyinggung kepercayaan agama.”

IMDA sudahpun mendapatkan pandangan jawatankuasa penasihat dan berpandukan garis panduan Klasifikasi Filem, tambah kenyataan itu.

Garis panduan Klasifikasi Filem menetapkankan "klasifikasi seharusnya peka terhadap keprihatinan kumpulan-kumpulan kaum atau agam yang berbeza serta perlu menjaga keharmonian kaum dan agama:. Ia juga menyatakan "filem-filem yang berkemungkinan memburuk-burukkan mana-mana kumpulan kaum atau agama harus tidak akan diberi klasifikasi".

Tahun ini, filem kontroversi berbahasa Hindi 'The Kashmir Files', tidak diberi klasifikasi.

Ia menceritakan penghijrahan orang Hindu dari Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam pada 1990-an, dan plotnya mengikuti kisah fiksyen seorang pelajar universiti yang mendapati ibu bapanya dibunuh oleh golongan militan.

Sebuah antologi filem pendek arahan Kwek, Sex.Violence.FamilyValues, juga dibelit masalah 10 tahun lalu.

Keluaran filem itu ditarik daripada ditayangkan kerana mengandungi dialog yang disifatkan sebagai berbaur perkauman. Ia kemudian disunting dan diklasifikasikan semula, sebelum ditayangkan semula beberapa bulan kemudian.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan