Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Filem pendek Pesta Filem Geylang Serai imbas kembali sejarah dan warisan Geylang Serai

Dari pengalaman tidak dapat pulang sambut Hari Raya bersama keluarga hinggalah ke isu demensia dan kenangan silam membesar di Lorong Engku Aman. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dari pengalaman tidak dapat pulang sambut Hari Raya bersama keluarga hinggalah ke isu demensia dan kenangan silam membesar di Lorong Engku Aman.

Itulah antara kisah yang dipaparkan dalam filem-filem pendek terbaik Pesta Filem Geylang Serai (GSFF) tahun ini.

Acara yang dianjurkan buat julung-julung kalinya itu bertujuan mendekati masyarakat menerusi filem dan merakam gambar dan kenangan di kawasan itu sedang masyarakat menanti perkembangan baru dan perubahan pada kawasan di timur Singapura itu.

Tahun ini, filem pendek berjudul "Samad Hari Raya" hasil garapan Shafiq Affandi dan Aidil Muhaimin, dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam acara penyampaian hadiah yang berlangsung pada Khamsi (21 Okt).

Keunikan dan keberkesanan dalam menyampaikan mesej utama filem pendek ini menerusi watak patung bernama 'Samad' ternyata berjaya menawan hati para pengadil GSFF.

"Saya ingin memperkenalkan unsur-unsur watak patung kepada industri tempatan lagi sebab saya melihat unsur watak patung ini semakin pupus dalam konteks tempatan," kongsi Encik Aidil, pengarah dan penulis skrip filem tersebut.

Filem pendek itu mengisahkan tentang watak Samad yang tidak boleh pulang untuk Hari Raya atas kesilapan yang dilakukannya.

Antara isu lain yang disentuh dalam filem ini termasuk semangat dermawan dan Zakat dalam bulan Ramadan yang ditonjolkan melalui watak Danial, rakan kerja Samad yang sudi menghulurkan bantuan.

Selain memaparkan watak Samad secara kreatif, pembuat filem itu juga ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa sesiapa sahaja boleh menghasilkan video dan filem di mana-mana sahaja.

"Saya banyak menyunting video bagi cerita ini menggunakan telefon bimbit sahaja jadi saya 'edit' pun menggunakan telefon bimbit," menurut Encik Aidil.

Lebih bermakna lagi buat pengarah dan penulis skrip yang berusia 34 tahun ini, beliau terpilih sebagai penerima anugerah bagi kategori Pengarah Terbaik.

BUAT KAJIAN DAHULU TENTANG LORONG ENGKU AMAN

Dalam pertandingan yang dimulakan pada Mac lalu juga, para pembuat filem dicabar untuk menghasilkan filem pendek sepanjang lima minit dan mesti menyertakan bait-bait kata "Pak Dollah Beca" atau "Lorong Engku Aman" dalam skrip mereka.

Ini tidak sukar bagi peserta Husin Saaban yang menghasilkan filem berkisahkan tentang seorang pesakit demensia yang cuba mengimbau kenangan membesar di kawasan Lorong Engku Aman.

Filem bertajuk "No.242 Lorong Engku Aman", yang diarah, diterbitkan dan ditulis sendiri oleh Encik Husin sendiri itu berjaya menyandang tempat kedua.

"Bagi generasi muda, mereka kurang tahu tentang Geylang Serai dulu jadi sebab itu dalam cerita saya, saya membuat kajian dengan bertanya beberapa orang yang pernah tinggal di kawasan Lorong Engku Aman di Geylang Serai apa yang dahulu terkenal, namun sekarang sudah tidak ada lagi," kongsi Encik Husin.

Bagi Encik Husin juga, Geylang Serai memang satu kawasan yang akan tetap menjadi tumpuan orang ramai meski dengan peredaran zaman.

"Geylang ini bagi saya adalah satu nadi kepada Singapura terutama sekali masyarakat Melayu Singapura yang tak akan pupus dan akan sentiasa segar walaupun sudah dibarukan dan sudah berubah mengikut keadaan sekarang," ujar Encik Husin yang sudah menginjak usia 68 tahun.

FILEM PENDEK IMBAS KEMBALI SEJARAH & WARISAN GEYLANG SERAI

Turut hadir bagi menyampaikan hadiah adalah Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai, Dr Mohamad Maliki Osman.

Menurut Dr Maliki, penerbitan filem-filem pendek sebegini merupakan antara usaha untuk mengimbas kembali sejarah serta warisan Geylang Serai.

Ini juga adalah satu cara bagi pihak WGS untuk mengetengahkan sejarah dan warisan Geylang Serai menerusi wadah-wadah berbeza selain daripada penerbitan buku dan acara-acara kemasyarakatan dan budaya, menurutnya lagi.

"Kita harapkan dapat mencungkil aspirasi daripada para penerbit filem kita dan bagaimana mereka boleh membawa atau menyemarakkan sejarah dan warisan Geylang Serai menerusi cerita-cerita mereka," kata Dr Maliki.

"Apa yang kita inginkan adalah supaya masyarakat muda kita memahami dan mengetahui apakah keunikan Geylang Serai di masa silam," tambahnya lagi.

Dua pemenang hadiah utama dijemput untuk menghasilkan lagi dua filem pendek bertajuk Nyatu dan Hijrah, yang ditayangkan khas semasa GSFF pada 21 Okt.

Orang ramai boleh menonton dua filem sepanjang 30 minit ini di laman Facebook WGS mulai esok (23 Okt).

Selain mereka, tiga lagi karya iaitu "Budak VI", "Filem Untuk Anakku" dan "Kurma Badam Kerepek Sukun" turut diiktiraf daripada 12 penyertaan yang diterima WGS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan