Filem khas Hari Raya, rancangan hiburan dan banyak lagi untuk meriahkan Aidilfitri anda
SINGAPURA: Sempena Hari Raya bulan depan, program khas Mediacorp akan mewarnai kaca televisyen anda dengan pelbagai rancangan hiburan, drama dan filem di Suria dan meWATCH.
Meriahkan sambutan Aidilfitri anda dengan rancangan hiburan Sinar Lebaran 2022 pada malam hari Raya (2 Mei) pada 9.00 malam. Selain menampilkan persembahan muzik oleh bakat seni tempatan seperti Aisyah Aziz, Taufik Batisah, dan Rahimah Rahim, menikmati sama telatah artis seperti Husin Saaban, dan ramai lagi yang pasti membuat anda tidak kering gusi.
Pada Hari Raya pula, anda akan dihiburkan dengan rancangan untuk si cilik - Ra Ra Raya! Drama kanak-kanak selama satu jam itu disiarkan pada 10.00 pagi dan dibintangi Era Farida, Hanie Bella, Mishall Kiara dan Rahman Rahim, dan tidak dilupakan Haizad Imran dan Norfasarie yang akan menyerikan skrin anda sekali lagi.
Tidak kira sama ada anda sedang menikmati juadah Hari Raya yang enak belaka atau meluangkan masa dengan keluarga anda, jangan lupa menyaksikan Konsert Raya Kampung Kledek pada 9.30 malam. Filem mesra keluarga itu akan menampilkan dua lagu asli yang dikarang pemenang Projek Lagu, Yanto Sani serta versi baru lagu klasik Hari Raya, Lebaran oleh M Ramlee.
Kisahnya menyusuri kehidupan penduduk di Kampung Kledek, iaitu kampung terakhir di Singapura, sedang mereka meraikan Hari Raya buat kali terakhir di kampung mereka itu sebelum ia dirobohkan untuk memberi laluan bagi pembangunan bandar.
Bukan itu sahaja! Sepanjang bulan Mei, anda juga boleh mengikuti rancangan-rancangan khas dari seberang tambak, termasuk filem seperti Sangkar, Nak Balik Kampung dan Takbir Semalam, yang dibintangi selebriti popular Malaysia seperti Zul Ariffin, Kilafairy dan Fauziah Nawi.
Selain menonton rancangan-rancangan khas di Suria dan meWATCH, penonton juga boleh menikmati sajian program menarik Aidilfitri menerusi stesen-stesen radio Mediacorp. Nantikan putaran lagu Raya kegemaran anda di Warna 942 dan Ria 897 atau buatlah panggilan untuk mengongsi ucapan Hari Raya anda bersama orang tersayang.
Program-program radio lain yang tidak patut anda lepaskan termasuk Kecoh Kecoh Raya bersama Mariam Mas'od dan RZ di Warna 942 sedang mereka melayani anda pada malam Hari Raya serta Pelangi-Ria Muzik Masih di Ria 897, iaitu program khas selama sejam pada Hari Raya, dengan lagu-lagu dan persembahan penyanyi tempatan Danial Baharin dan penyanyi dari Brunei Nazmo dan Hanif Iqbal.
Jika anda tidak sempat ke bazar Hari Raya, jangan bimbang kerana DJ Warna 942 Noreha Bajuri akan membawa anda menemui peniaga dan pengunjung bazar pada 26 dan 28 April pada 2.00 petang.
Untuk dapatkan lebih maklumat, layari laman web ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.