Skip to main content

Singapura

Fika di Arab Street bakal ditutup selepas 17 tahun; hari terakhir 14 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
Fika di Arab Street bakal ditutup selepas 17 tahun; hari terakhir 14 Ogos

Fika Swedish Cafe And Bistro di Arab Street akan beroperasi buat kali terakhir pada 14 Ogos 2026. (Gambar: Instagram/fikacafesg)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 02:34PM

SINGAPURA: Selepas 17 tahun beroperasi, Fika Swedish Cafe And Bistro akan menutup cawangannya di Arab Street pada 14 Ogos.

Restoran popular yang terkenal dengan hidangan Sweden menggunakan bahan-bahan halal itu mengumumkan penutupannya menerusi media sosial pada Selasa (4 Ogos), bertepatan dengan ulang tahunnya yang ke-17 minggu ini.

"Sejak dibuka pada 2009, kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada begitu banyak kenangan. Terima kasih atas setiap kunjungan, setiap hidangan dan segala sokongan selama ini," menurut Fika.

Restoran itu turut mempelawa pelanggan untuk berkunjung buat kali terakhir sebelum ia ditutup.

"Jika anda mahu menikmati sepinggan bebola daging Sweden atau 'fika' buat kali terakhir bersama kami, kami ingin bertemu anda sebelum kami ditutup," tambahnya.

Fika menyatakan, pasukannya kini akan memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan Konditori, kedai bakerinya yang terletak di Bussorah Street.

Fika diasaskan pada 2009 oleh usahawan Singapura Tasneem Noor dan suaminya yang berasal dari Sweden, Joakim Smidhagen.

Restoran itu menyediakan hidangan Sweden yang menggunakan bahan-bahan halal dan terkenal dengan bebola dagingnya.

Dalam wawancara sebelum ini bersama Mediacorp, Cik Tasneem berkata idea membuka Fika tercetus selepas suaminya merindui makanan dari negara asalnya.

"Kami kemudian menyedari bahawa tiada makanan asli Sweden di sini, apatah lagi makanan Sweden yang halal," katanya.

Pasangan itu kemudian memutuskan untuk memperkenalkan hidangan Sweden kepada masyarakat Singapura.

Penutupan Fika menyusuli beberapa perniagaan lain yang menghentikan operasi di kawasan tersebut, termasuk Warong Nasi Pariaman pada Januari lalu.

Sewa di kawasan Kampong Glam juga meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan CNA, beberapa penyewa di Haji Lane berkata sewa mereka meningkat daripada sekitar S$3,000 kepada hampir S$10,000.

Fika bagaimanapun tidak menyatakan sebab penutupannya.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita