Fiesta Kesantunan Melayu 2024 cipta rekod baharu SG - Tarian Zapin dengan paling ramai penari

Gambar: MLLPC
SINGAPURA: Menghayati nilai dan falsafah kesantunan Melayu boleh memperkayakan lagi pembelajaran bahasa ibunda para pelajar.
Ini lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan di luar bilik darjah dan dikaitkan dengan kehidupan seharian mereka.
Itulah yang dapat dilakukan sekitar seribu pelajar, guru dan ibu bapa dalam Fiesta Kesantunan Melayu 2024 yang diadakan di One Punggol pada Sabtu (13 Jul).
Dengan tema 'Adab Disemai, Budi Dituai', acara anjuran Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) itu diadakan seperti sebuah karnival dengan permainan dan kegiatan interaktif di 15 reruai.
"Setiap reruai membolehkan para pengunjung menghayati aspek-aspek kesantunan. Berdasarkan konteks yang dihadirkan umpamanya, di rumah, dewan serba guna, kolong blok, taman permainan, kedai makanan dan kedai pakaian. Tujuannya agar generasi muda kita khususnya dapat terus menerapkan nilai-nilai kesantunan tidak kira masa dan di mana saja mereka berada," kata anggota Sekretariat MLLPC, Andi Mohd Zulkepli.
Selain aktiviti, pelbagai pertandingan seperti menulis senikata lagu, pantun dan skit drama juga diadakan.

Hadiah-hadiah juga disampaikan oleh tetamu terhormat, Menteri Kedua Pendidikan, Dr Maliki Osman.
"Seperti yang kita tahu bahawa ada pepatah mengatakan 'Bahasa Menunjukkan Bangsa'. Di sinilah kita ingin menggalakkan para penuntut kita memahami bagaimana mereka boleh menggunakan bahasa mempelajari bahasa dan mempraktikkan bahasa dalam mereka, melihat perilaku mereka, kesantunan mereka," kata Dr Maliki yang juga merupakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
Penghayatan aspek budaya dan masyarakat sebegini juga menurutnya, boleh melengkapi pembelajaran bahasa Melayu di sekolah.
"Dalam konsep kurikulum pembelajaran, ia bukan terhad pada dalam bilik darjah saja, menerusi sisi dan bagaimana mereka bergaul dan tingkah laku mereka harus menunjukkan kebudayaan kita menunjukkan kesantunan mereka. Jadi dalam konsep hari ini (13 Jul), kita mahu mereka tahu bahawa kehidupan mereka merupakan sesuatu yang dapat menonjolkan kesantunan masyarakat Melayu kita," jelas Dr Maliki.
CIPTA REKOD BAHARU: TARIAN ZAPIN - PALING RAMAI PENARI
Kesantunan orang Melayu juga dipaparkan menerusi tarian zapin.
Menariknya di acara tersebut, sebuah rekod baharu tercipta bagi Buku Rekod Singapura dengan lebih 300 pelajar dan penari ikut serta dalam segmen tarian zapin.
"Tarian Melayu sendiri sarat dengan elemen-elemen kesantunan yang wajar dikedepankan kepada khalayak ramai. Justeru, kami berusaha untuk mencipta rekod baharu menari zapin beramai-ramai sebagai usaha kami ke arah pembentukan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa dalam segenap bidang kebudayaan dan tamadun Melayu itu sendiri kaya dengan falsafah dan berkait rapat dengan kesantunan," jelas Encik Andi.
Acara dwitahunan itu turut menyajikan persembahan kebudayaan seperti gamelan dan skit drama oleh para pelajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.