FICA tidak akan sentuh perbincangan akademik tentang isu kontroversial, tegas MHA
Kegiatan-kegiatan akademik yang buat masa ini digalakkan, seperti penyertaan dalam projek kajian kolaboratif antarabangsa, tidak akan terjejas oleh undang-undang campur tangan asing yang diusulkan di Singapura. Demikian menurut Pemerintah pada Ahad (3 Okt).

(Gambar fail: Hani Amin)
SINGAPURA: Kegiatan-kegiatan akademik yang buat masa ini digalakkan, seperti penyertaan dalam projek kajian kolaboratif antarabangsa, tidak akan terjejas oleh undang-undang campur tangan asing yang diusulkan di Singapura. Demikian menurut Pemerintah pada Ahad (3 Okt).
Begitu juga bagi perbincangan dalam jurnal, simposium mahupun universiti luar negara - melainkan "akademik rakyat Singapura itu bertindak bagi pihak sebuah agensi asing untuk menjalankan kempen maklumat yang bermusuhan secara online" yang bertujuan menentang kepentingan awam negara.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan demikan dalam kenyataan di Facebook pada Ahad. Ia sebagai respons terhadap rencana yang diterbitkan pada Jumaat di Academia.sg, sebuah laman yang dimulakan pada 2019 untuk mencerminkan keprihatinan para ahli akademik tentang undang-undang yang akan digubal terhadap kepalsuan online.
Selain memberi respons kepada para ahli akademik, MHA juga menyentuh keprihatinan seorang peguam kanan pada Ahad - sehari sebelum parlimen dijangka membahaskan rang undang-undang mengenai campur tangan asing.
Rencana itu ditandatangani oleh empat ahli akademik: Dr Cherian George, seorang profesor pengajian media di Universiti Baptis Hong Kong, Profesor Madya Chong Ja Ian dari Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS), ahli ekonomi Linda Lim dan Profesor Madya Sosiologi Teo You Yenn dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Dalam rencana itu, ahli-ahli akademik tersebut melahirkan keprihatinan terhadap Akta (Langkah-Langkah Tindak Balas) Campur Tangan Asing atau Fica, yang akan secara mendadak mengubah sesetengah kegiatan akademik menjadi "keadaan yang sangat rumit dan penuh masalah atau bahaya yang terselindung".
Menurut mereka, beberapa kegiatan terancam seperti penyertaan dalam projek kajian kolaboratif antarabangsa dan peluang pendanaan antarabangsa. Ini di samping terlibat dalam pertubuhan tertentu, pelantikan sebagai zamil pelawat dan program latihan.
Menangani secara khusus perkara ini, MHA menyatakan: " Izinkan kami untuk menegaskan: Tiada satu pun kegiatan ini akan terjejas oleh Fica.
“Jika para profesor boleh mendapatkan rencana mereka diterima dalam jurnal antarabangsa, buku mereka diterbitkan oleh pertubuhan akademik berprestij luar negara atau sekiranya mereka ditawarkan keahlian dan anugerah daripada mana-mana universiti luar negara, mereka tidak akan menghadapi halangan atau apa-apa sahaja daripada Fica mahupun mana-mana undang-undang lain di Singapura."
AHLI AKADEMIK 'TETAP BEBAS' WALAU POFMA DILULUSKAN
MHA juga menyatakan Fica tidak akan menghalang tiga contoh berikut yang dinyatakan dalam rencana tersebut tentang kajian dan penyelidikan baru-baru ini yang melibatkan kerjasama luar negara serta pengedaran online:
- Seorang pelajar PhD yang mencabar "jenayah seks sesama jenis" dalam satu jurnal kajian budaya online yang diterbitkan oleh pusat penyelidikan yang berpusat di Universiti Osaka
- Artikel jurnal dalam 'Asia Bioethic Review' yang menyorot "pelbagai halangan untuk akses kepada jagaan kesihatan yang dihadapi oleh pekerja hijrahan di Singapura". Salah seorang penulis bersamanya bekerja di sebuah universiti luar negara
- Seorang saintis politik di sebuah webinar yang ditaja oleh Universiti Sydney berucap mengenai "isu politik semasa di Singapura"
MHA menyatakan" "Apakah alasan yang mungkin ada bagi Fica dikenakan bagi mana-mana perkara ini?
"Fica hanya akan dikenakan jika ahli akademik Singapura dalam setiap insiden ini bertindak bagi pihak sebuah agensi luar negara untuk melakukan kempen maklumat bermusuhan secara online yang bertentangan dengan kepentingan awam Singapura - misalnya, untuk menimbulkan perselisihan dan pergolakan dalam kalangan rakyat Singapura.
“Perbincangan tentang mana-mana isu kontroversial - dalam jurnal asing, simposium luar negara, di universiti luar negara - tidak akan disentuh oleh Fica."
MHA menyatakan univerisiti di Singapura tidak akan memperolehi reputasi yang dicemburui di peringkat antarabangsa "jika Pemerintah Singapura bersifat menindas dan kuku besi sebagaimana yang dibayangkan (para ahli akademik)".
Ia juga menarik perhatian profesor-profesor yang sama sebelum ini sudah membangkitkan keprihatinan apabila Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) diluluskan tetapi para ahli akademik di sini "terus bebas untuk meneruskan apa saja penyelidikan yang mereka mahu tentang mana-mana subjek".
“Kami yakin Fica juga akan membolehkan hal yang sama pada masa akan datang," tegas kementerian itu.
SYARAT 'KEPENTINGAN AWAM'
Pada Ahad, MHA juga mengeluarkan satu kenyataan berasingan kepada media sebagai respons terhadap ulasan Peguam Kanan Harpreet Singh Nehal berhubung rang undang-undang campur tangan asing dalam satu catatan Facebook pada Sabtu dengan menyatakan beberapa bahagian dalam ulasan itu "tidak benar".
Encik Singh pertama kali menyatakan dalam satu komentar yang diterbitkan oleh The Straits Times pada 28 September bahawa rang undang-undang itu bermasalah kerana takrifannya yang sangat luas, sekatan terhadap semakan kehakiman dan peraturan prosedur yang boleh dipersoalkan. Ini mencetuskan bantahan oleh diplomat Ong Keng Yong dan Peguam Kanan Stanley Lai.
Dalam satu catatan Facebook pada Sabtu, Encik Singh berhujah bahawa para penulis mengemukakan hujah yang lemah apabila menyatakan terdapat perlindungan yang secukupnya di bawah rang undang-undang tersebut. Ini kerana sebelum menteri menggunakan bidang kuasa luas yang diamanahkan kepadanya, "ia mesti ditentukan bahawa ia juga demi kepentingan awam" untuk melakukan demikian.
Encik Singh berpendapat ini gagal untuk menimbangkan secara adil bahawa takrif Fica "menetapkan aras yang amat rendah untuk syarat kepentingan awam dipenuhi".
Undang-undang yang diusulkan itu, tambah beliau, " hanya setakat memerlukan menteri untuk membentuk pandangan yang demi kepentingan awam berhak untuk menggunakan kuasanya... (dan) tidak mensyaratkan pandangan itu mesti dipertanggungjawabkan secara wajar atau perintah Fica khusus yang dikeluarkan adalah setimpal".
MHA menegaskan Encik Singh seolah-olah bertanggapan bahawa takrif Fica menetapkan "aras yang sangat rendah" dan rang undang-undang tersebut tidak melihat kesepadanannya adalah "tidak benar".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.