Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FFFA tawar makanan dalam paket bagi warga emas; mudah dan tahan lama

Penduduk Singapura boleh dikatakan bersifat dermawan - segala bentuk bantuan dihulurkan kepada mereka yang memerlukan, dari sumbangan wang hinggalah ke agihan barang dapur.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penduduk Singapura boleh dikatakan bersifat dermawan - segala bentuk bantuan dihulurkan kepada mereka yang memerlukan, dari sumbangan wang hinggalah ke agihan barang dapur.

Namun, satu perkara yang menjentik kesedaran pengasas badan amal Free Food For All (FFFA), Encik Nizar Mohd Shariff, selepas bertahun-tahun mengagihkan makanan kepada golongan kurang bernasib baik.

"Ada yang terima barang dapur tetapi tidak boleh memasak kerana tidak boleh bergerak atau sudah uzur sehingga tidak kuat untuk masak," kata Encik Nizar.

Pada bulan Ramadan pula, tambah Encik Nizar, ada dalam kalangan golongan ini yang menerima makanan yang sudah siap dimasak. Namun, dek terima terlalu banyak makanan pada satu-satu masa, semua makanan tidak terlarat dihabiskan. Maka sumbangan orang ramai menjadi sia-sia dan ada pembaziran.

"Soalannya adalah adakah itu yang mereka perlukan? Adakah ia satu pembaziran? Betul, Ramadan aje semua orang nak kasi duit. Tapi bagaimana dengan bulan-bulan lain?" kata Encik Nizar.

Lantaran itu, beliau mencari cara untuk menyediakan makanan siap dimasak yang boleh bertahan lebih setahun. Pelbagai hidangan dibungkus dalam paket-paket kuning, yang boleh dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro.

Mereka yang tidak mempunyai ketuhar gelombang mikro pula boleh mencelur paket tersebut dalam air panas sebelum menikmati hidangan itu.

WARGA EMAS, KURANG UPAYA SAMBUT BAIK INOVASI FFFA

Dalam setiap karton yang diagihkan, ada 36 bungkus makanan yang terdiri daripada menu digemari rakyat tempatan, atau lebih tepat lagi, lapan hidangan berbeza seperti Nasi Goreng Makanan Laut dan Bubur Pulut Hitam.

Paket-paket kuning yang dipanggil 'Ready To Eat Meals' itu adalah hasil daya inovatif FFFA bersama sebuah syarikat di Brunei.

BERITAmediacorp melihat sendiri bagaimana para penerima bantuan mencuba hidangan-hidangan yang boleh disajikan pada bila-bila masa mereka berasa lapar.

Antara yang menerima karton berisi 36 bungkus makanan itu ialah Encik Mansor Abdul Hadi yang berusia 86 tahun.

Beliau sudah sangat uzur dan tinggal bersendirian dalam sebuah flat kecil di Lengkok Bahru.

"Siapa yang nak masak? Masing-masing adik-beradik saya, ada anak-anak saya pun tinggal jauh-jauh. Saya masak air panas sahaja," ceritanya.

Encik Mansor selalunya perlahan-lahan membeli makanan dari kedai makan di bawah bloknya. Namun, kadang-kala, beliau memilih untuk tidak keluar, apa lagi pada waktu malam. Beliau tidak dapat melihat dengan jelas dan takut terjatuh.

Maka itu, selepas ditunjukkan oleh para relawan cara mudah menghidangkan 'Ready To Eat Meals', beliau berasa lega.

'Ready To Eat Meals' mula diagihkan kepada para penerima Muslim mahupun bukan Muslim sejak awal Ramadan. Sejauh ini, lebih 11,000 paket makanan diagihkan kepada lebih 400 orang. Ia akan terus diagihkan walaupun selepas Ramadan.

"Saya tidak perlu tunggu orang menghulurkan bantuan ke rumah. Dan kadang-kala ada bantuan, kadang tidak. Tapi ini baik, bila-bila masa, hari, makan siang atau malam, saya lapar, saya ada makanan," kongsi seorang lagi penerima, Cik Vallyamay anak perempuan Santippan.

PENTING FAHAMI KEPERLUAN MEREKA YANG MEMERLUKAN BANTUAN, INOVASI PERLU

Hakikatnya, inovasi penting walaupun dalam urusan menghulurkan bantuan.

"Sering kali kita memberi sesuatu kerana berfikir itu yang mereka perlukan. Tetapi hakikatnya tidak," kata Encik Nizar.

Beliau juga ingin membantu lebih ramai orang dengan mengurus kos dengan lebih matang.

Hasil kerjasamanya dengan rakan-rakan lain, beliau mampu mendapatkan bekalan makanan pada harga yang jauh lebih rendah.

"Kalau purata satu kilo daging rendang dengan orang lain, mereka jual $35 setiap kilo. Dengan kita mendapatkan bekalan pada harga $20 setiap kilo. Pasal kita dapat menjimatkan dari pembelian pukal. Jadi, penderma akan 'menjimat' sambil menderma. Setiap dolar disumbangkan lebih berbaloi," jelas Encik Nizar.

Kos untuk menghasilkan paket berisi hidangan sudah dimasak kali ini mencecah $76,000. FFFA belum mendapatkan semula jumlah yang dilaburkan dan berharap orang ramai akan terus tampil memberi sumbangan bagi membantu lebih 800 orang memerlukan.

Dengan adanya 'Ready To Eat Meals' juga, makanan tidak perlu kerap dihantar ke rumah para penerima bantuan, sekaligus menjimatkan kos pengangkutan dan logistik.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan