Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FFFA sudah agih 500,000 makanan percuma & hingga 12 tan makanan lain setiap bulan

Dalam tempoh kurang empat tahun sahaja badan kebajikan tempatan, Free Food For All (FFFA) sudah mengagihkan sekitar 500,000 bungkus makanan halal percuma kepada para penduduk kurang bernasib baik.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam tempoh kurang empat tahun sahaja badan kebajikan tempatan, Free Food For All (FFFA) sudah mengagihkan sekitar 500,000 bungkus makanan halal percuma kepada para penduduk kurang bernasib baik.

Jumlah itu tidak termasuk bahan-bahan makanan mentah yang diagihkan hampir setiap hari!

Kini, FFFA, yang diasaskan oleh anak Melayu/Islam tempatan, sedang dalam proses meluaskan bantuan-bantuannya ke peringkat global pula.

Dalam bahagian pertama daripada Laporan Khas dua bahagian ini, BERITAmediacorp menyorot perjuangan badan kemanusiaan itu serta meninjau aspirasinya untuk berada di pentas global menerusi wawancara eksklusif dengan pengasasnya, Encik Nizar Mohd Shariff.

DARI 200 NASI LEMAK, KINI MENJADI 10,000 BUNGKUS MAKANAN SEBULAN...

Semasa projeknya yang pertama - ketika itu di Masjid Darul Aman pada November 2014 - FFFA mengagihkan 200 bungkus nasi lemak percuma untuk keluarga berpendapatan rendah di Blok 1 dan 2 Eunos Crescent.

Kini, selang tempoh singkat beberapa tahun sahaja, FFFA sudah berkembang menjadi jauh lebih besar.

Ia sekarang mengagihkan purata 10,000 bungkusan makanan sudah dimasak setiap bulan, selain daripada 10,000 hingga 12,000 kilogram bahan makanan lain seperti sayur, buah-buahan, roti dan dan keperluan dapur lain setiap bulan di merata Singapura.

Semuanya percuma untuk golongan seperti gelandangan yang tiada rumah, warga tua memerlukan, keluarga fakir miskin dan mereka yang mengalami kesempitan secara ekonomi. Semuanya juga diberikan tanpa mengira bangsa dan agama para penerimanya. Begitulah inklusifnya bantuan FFFA.

(Gambar: Free Food For All)

KENAPA KITA TIDAK ADA KONSEP MAKAN PERCUMA...

Encik Nizar, berusia 48 tahun, berkongsi bahawa FFFA beliau bentuk atas kesedaran bahawa belum ada lagi sebuah badan Islam tempatan yang memberi tumpuan khusus kepada bantuan berbentuk makanan.

“Hari ini kalau saya lapar saya pergi ke kuil Sikh, ke kuil Buddha ke atau gereja ke, sentiasa ada makanan. Tetapi sukar untuk saya katakan sedemikian tentang masjid-masjid kita dan saya bertanya kepada diri saya, ‘Kenapa?’. Sedangkan memberi makan adalah satu perbuatan yang sangat disyorkan oleh agama kita tapi kita belum ada lagi konsep sedemikian, di mana orang boleh datang makan percuma tak kira agama atau bangsa,” kata Encik Nizar.

(Gambar: Free Food For All/ Facebook)

Beliau menekankan bahawa makanan adalah keperluan paling asas bagi manusia. Jika seseorang itu lapar kata beliau, kita tidak boleh lakukan apa-apa kerja.

"Jadi kami memenuhi keperluan mendesak itu terlebih dahulu," ujar Encik Nizar, yang seolah-olah menukil teori Maslow tentang keperluan manusia, walaupun beliau tidak menyatakan demikian dalam wawancara ini. Teori tersebut berhujah bahawa keperluan paling asas manusia ialah memenuhi keperluan fisiologinya, sebelum memikirkan tentang keperluan keselamatan, rasa cinta, penghargaan, aspirasi dan sebagainya.

(Gambar: Free Food For All)

BUKAN SETAKAT PERCUMA, TAPI JUGA HALAL & UNTUK SEMUA

Encik Nizar menambah bahawa kebanyakan dapur percuma yang dikendalikan badan-badan agama lain, makanannya mungkin tidak halal. Di sinilah beliau terfikir dan mahu mencipta suatu bidang tukikan - iaitu memberikan makanan percuma, tetapi juga terjamin halal.

"Tapi dia punya konsep kita tidak boleh kata bahawa ini hanya untuk muslim sahaja. Ia untuk semua orang. Semua kaum dan agama. Kami juga tidak akan menahan anda (yang bukan memerlukan) daripada mengambil makanan (percuma itu).

"Tetapi (jika) anda rasa ada orang yang lebih memerlukan, silakan berikan (kepada mereka). Kalau anda rasa anda lapar, perlukan makanan, silakan,” katanya kepada BERITAmediacorp menjelaskan dengan terperinci konsep inklusif Free Food For All.

(Gambar: Free Food For All)

PROJEK TERBARU: MAKANAN SIAP MAKAN UNTUK KAWASAN BENCANA

Sekarang, bukan setakat memberi makanan percuma di Singapura, FFFA malah sedang mengantarabangsakan perkhidmatannya untuk juga memberi makan kepada golongan memerlukan di luar negara.

Encik Nizar mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa pihaknya sedang dalam proses menghasilkan makanan 'khas' untuk pelarian-pelarian Rohingya dan Yaman.

“Insya Allah kita punya projek pertama ini akan dilancarkan pada bulan 12 (Disember). Iaitu makanan itu dimasak, dalam bungkusan dan ada hayat simpanan selama dua tahun. Tak perlu masak lagi, tak perlu dipanaskan dan siap makan. Ini khusus untuk kecemasan kalau macam kita hantar kepada pelarian atau yang tengah ada bencana. Susah untuk mereka makan. Jadi mereka koyakkan dan terus makan,” ujar Encik Nizar.

(Gambar: Free Food For All/ Facebook)

Selain daripada makanan, FFFA juga sudah melangkah setapak lagi dalam bidang kemanusiaan dengan membina sebuah perkampungan yang mempunyai 40 buah rumah untuk para pelarian Rohingya di Cox's Bazaar, Bangladesh. Setiap satu daripadanya boleh memuatkan antara enam dengan lapan orang. Ini bermakna, kampung milik Encik Nizar itu didiami sekitar 300 hingga 350 pelarian Rohingya.

Sebuah madrasah juga akan didirikannya di situ sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan FFFA, untuk memperkasa kanak-kanak di sana.

Beliau sudahpun merancang membina sebuah dapur awam yang membekalkan makanan percuma mulai bulan Oktober ini. Malah, perkampungan itu juga bakal menjadi yang pertama menerima bungkusan siap makan yang diciptanya itu.

(Gambar: Free Food For All)

Dalam pada itu, FFFA turut membiayai sebuah dapur umum di Desa Selebung, Lombok. Beliau memberitahu BERITAmediacorp dapur itu dimulakan pada 3 September lalu setelah beliau menghubungi ketua kampung tersebut. Sebanyak 200 makanan yang sudah dimasak diagihkan setiap hari dari dapur yang dipanggil Dapur Umum FFFA oleh para penduduk kampung.

(Gambar: Free Food For All/Facebook)

ASPIRASI LEBIH TINGGI FFFA DI PENTAS GLOBAL

Kini, setelah semua kejayaan dan pengembangan skala kerja-kerja kemanusiaannya, Encik Nizar menyimpan aspirasi lebih tinggi bagi FFFA di peringkat global.

“Di mana FFFA mungkin dua tahun tiga tahun? Insya Allah saya rasa kita nak menjadi satu badan kemanusiaan yang diiktiraf bahawa misi utama kita adalah makanan. Kita boleh pergi global iaitu kita harap yang makanan halal kami ini dapat keluar daripada Singapura dan akan buat lebih banyak bantuan kemanusiaan,” tambah beliau penuh harapan.

FFFA kini dipercayai badan kemanusiaan kedua terbesar diasaskan masyarakat Melayu/Islam Singapura selepas Mercy Relief.

Usaha Encik Nizar memberikan makanan percuma itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada bulan Ogos lalu. PM Lee memuji individu-individu seperti Encik Nizar, yang merebut peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

(Gambar: Free Food For All)
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan