Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fesyen batik lelaki kontemporari, berdaya inovasi dipamerkan di Muzium Tamadun Asia

Fashioning Batik berlangsung dari 5 Ogos hingga 2 Oktober 2022 di Aras 2 ACM.

Anggaran Waktu Membaca:
Fesyen batik lelaki kontemporari, berdaya inovasi dipamerkan di Muzium Tamadun Asia

Pameran 'Fashioning Batik' di Muzium Tamadun Asia. (Gambar: ACM)

Diterbitkan : 05 Aug 2022 05:58PM Dikemas Kini : 05 Aug 2022 05:59PM
SINGAPURA: Orang ramai boleh melihat pelbagai fesyen batik hasil sentuhan kreatif Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dan syarikat terkemuka batik dari Indonesia BINhouse di Muzium Tamadun Asia (ACM) bermula pada Jumaat (5 Ogos).

Diberi nama Fashioning Batik, ia sebuah pameran fesyen kontemporari yang meneroka ekspresi moden berdaya inovasi bagi pakaian batik lelaki antara pembuat berpengalaman dengan pereka yang baru mahu berjinak-jinak.

Koleksi Batik Lelaki NAFA-BINhouse itu juga menampilkan dunia batik yang versatil dan sesuai bagi semua acara - dari pakaian santai hingga ke pakaian pejabat.

32 CORAK BATIK LELAKI KONTEMPORARI DIPAMERKAN

Sebanyak 32 corak pakaian batik lelaki kontemporari yang dipamerkan itu mengambil inspirasi daripada siluet dan amalan batik tradisional, namun tetap cuba tampil berbeza dari yang asli, menurut kenyataan medianya hari ini.
(Gambar: ACM)
Diilhamkan para penuntut dan graduan NAFA, fabrik buatan tangan yang disediakan dengan banyak oleh BINhouse, diubah menjadi pelbagai interpretasi fesyen baru.

Malah hasilnya juga merupakan pameran yang memberi definisi semula rekaan batik bagi lelaki biasa dan kumpulan penggemar dengan minat kontemporari.

Secara keseluruhannya, Fashioning Batik menawarkan peluang kepada pengunjung menikmati inovasi dalam tradisi, sedang mereka meneroka tekstur, bahan dan motif baru yang berbeza daripada tekstil batik tradisional.

Juga lanjutan daripada pameran khas 'Batik Kita: Dressing in Port Cities' yang sedang berlangsung di ACM, Fashioning Batik memperluaskan minda orang ramai kepada dunia fesyen batik dan apa yang dapat dijangka bagi peminat di Singapura dan Asia Tenggara.

REKAAN BAKAT TEMPATAN DENGAN PERSPEKTIF UNIK

Memberi tumpuan khusus kepada bakat tempatan, pameran tersebut menampilkan koleksi kapsul yang menawarkan sudut pandangan unik ke dalam batik, dengan kelebihan dan stail setiap pereka yang datang dari pelbagai latar belakang.
"Chapalang Camp" oleh Tan Cheryl. (Gambar: ACM)
Pameran tersebut menampilkan corak-corak hasil ilham dan sentuhan kreatif penuntut program Diploma dalam jurusan Pengajian Fesyen NAFA serta rekaan unik pereka fesyen Max Tan, artis tekstil Tan Cheryl, pereka kulit (leathersmith) Chin Shiying dan pereka pakaian lelaki Fedri.

Para pereka itu bukan sahaja berani dalam penggunaan fabrik batik dan memberi kejutan stail, mereka juga antara lain menggabungkan bahan seperti spandeks 'lycra' dan kulit anak lembu bagi mencipta penampilan harian yang semegah fesyen pentas peragaan.

SELAMI WARISAN KAYA, KOSMOPOLITAN S'PURA DAN RANTAU INI

Fashioning Batik adalah pameran terbaru ACM yang menyokong corak silang budaya dengan gabungan masyarakat fesyen meluas bagi menceritakan warisan kaya, kosmopolitan Singapura dan rantau ini melalui batik.
"Pride Wear" oleh Max Tan. (Gambar: ACM)
Ia juga menandakan kerjasama pertama antara muzium itu dengan NAFA dalam bidang fesyen.

Sempena pelancaran Koleksi Lelaki NAFA-BINhouse juga, ACM akan mengadakan dua sesi panel esok (6 Ogos) yang akan meneroka topik-topik seperti mereka siluet baru dengan batik, cabaran dan prospek fesyen batik.

Fashioning Batik berlangsung dari 5 Ogos hingga 2 Oktober 2022 di Aras 2 ACM. Tiada bayaran masuk dikenakan.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan