Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Rock dan Indie (RIF) Kolej Seni LASALLE 'jalan terus'

Dengan Singapura menuju fasa endemik lebih banyak konsert dijangka muncul. Antara yang sudahpun muncul termasuklah Festival Rock dan Indie (RIF) di Kolej Seni LASALLE.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan Singapura menuju fasa endemik lebih banyak konsert dijangka muncul. Antara yang sudahpun muncul termasuklah Festival Rock dan Indie (RIF) di Kolej Seni LASALLE.

Acara dua hari itu berlangsung pada 17 dan 18 Sep menampilkan 14 penyanyi solo dan band tempatan.

Jika pada tahun lalu Festival Rock dan Indie itu hanya mampu ditonton secara maya, tahun ini para penonton dapat hadir secara fizikal bagi menonton persembahan secara langsung.

Namun demikian, dua lokasi yang ditetapkan hanya dapat menampung antara 20 hingga 50 penonton sahaja bagi mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19.

Atas sebab itu juga, pihak penganjur mengadakan festival tersebut secara hibrid, dengan membuka lokasi ketiga di kampus Maktab Seni LASALLE bagi tambahan sekitar 25 penonton menyaksikan penstriman secara langsung.

Hakikatnya, mematuhi langkah-langkah keselamatan antara cabaran terbesar dalam menganjurkan festival tersebut.

Salah seorang anggota penganjur konsert itu, Nur Shafinah Azman berkata semua ini menjadikannya sebuah festival yang hibrid lagi amat berbeza daripada festival sebelum COVID-19.

"Tapi kami cuba untuk memberi yang terbaik supaya para penonton sama sekali persembahan kami dapat merasakan keseronokan seperti festival ini sebelum ini," katanya.

Seorang lagi pelajar kolej itu yang menjadi anggota penganjur Jasmin Khaliesah Yuraimi berkata, walau apapun, ini suatu "pertunjukan live yang kami tidak boleh saksikan sepanjang dua tahun dan tenaga yang dibawa ke atas pentas itulah satu faktor yang banyak penonton mahu tengok".

Meskipun festival dua hari itu bukan suatu acara berbayar, pendaftaran tetap dimestikan bagi memastikan had perhimpunan dipatuhi.

Edisi kelima RIF ini antara lain menyaksikan penyanyi Kitty Purrnaz dan band rock Spacedays beraksi.

Yang pasti, meskipun jumlah penonton yang hadir agak kecil bagi sesebuah festival muzik, ini tetap sesuatu yang memberangsangkan. Itulah luahan pemain gitar bernama Muhammad Ridzuan Razali.

"Sekarang dapat lebih 'rasa' bila ada penonton. Itu yang menyeronokkan. Saya rasa macam ia suatu perkara dua hala - kita membuat persembahan, kemudian penonton memberi reaksi kepada persembahan kami.

"Ia beri kita semangat bila kita nak membuat persembahan, jadi kita boleh membuat persembahan dengan lebih jujur," ujar Ridzuan.

Yang pasti, para pemuzik dan penganjur melahirkan harapan agar lebih banyak hiburan secara langsung dapat dijalankan pada masa depan - meskipun dalam bentuk hibrid.

Pendeknya konsert-konsert masih boleh 'jalan terus'. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan