Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Rock dan Indie (RIF) 2023 Kolej Seni LASALLE lebih gah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Edisi keenam Festival Rock dan Indie (RIF) 2023 di Kolej Seni LASALLE selama dua malam yang bermula malam ini (10 Feb) dan esok (11 Feb), menjanjikan persembahan yang memukau dan menghiburkan.

Persembahan-persembahan akan diadakan di dua lokasi di Kampus McNally LASALLE iaitu di Campus Green dan Flexible Performance Space.



Festival pada tahun ini lebih gah dengan kedua-dua lokasi dapat menampung sehingga 600 penonton.

RIF merupakan satu inisiatif pelajar, dan dipersembahkan Sekolah Kontemporari Muzik LASALLE.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

"Dengan adanya platform khusus sebegini lagi-lagi untuk dua genre ini, kami berharap dapat menampilkan bermacam-macam pemuzik baru setiap tahun jadi mereka ada platform untuk menonjolkan muzik baru mereka, sepanjang tahun, atau jika mereka sedang mengalami kesusahan, mereka juga dapat menggunakan platform untuk muzik mereka secara umum," kongsi Ketua Festival, Nadhra Hasri, 22 tahun.

"Anda boleh jangkakan pelbagai jenis muzik yang dimainkan, yang anda mungkin tidak pernah dengar. Walaupun anda pernah menghadiri RIF dalam tahun-tahun sebelumnya, pengalaman kali ini tentu sekali berbeza daripada apa yang anda pernah lihat," tambahnya.

RIF BANTU PEMUZIK TEMPATAN SEPERTI MRTNS TAMPILKAN MUZIK MEREKA SELEPAS PANDEMIK


(Gambar: MRTNS) 

Antara yang bakal membuat persembahan termasuk kumpulan Aggresive Raisin Cat, Krunkle the Band dan MRTNS.

"Selama dua tahun, kita tidak boleh membuat persembahan jadi kami tidak mengeluarkan lagu baru. Kami keluarkan lagu secara online dan sebagainya tetapi susah untuk mempromosikannya kalau tidak ada persembahan-persembahan secara langsung," menurut vokalis MRTNS, Iskandar Mazlan.

"Jadi apabila peluang-peluang sebegini datang, ia amat membantu kami untuk menampilkan muzik kita buat orang ramai," tambahnya.


Iskandar berkata sukar untuk mengumpulkan kesemua lima anggota band itu untuk berlatih kerana komitmen kerja.

Namun MRTNS tetap menjanjikan persembahan yang mantap dan menghiburkan.



"Kami selalu menanti-nantikan acara-acara sebegini yang ada sebab hanya menerusi ini, kita dapat menunjukkan kemahiran dan lagu-lagu kita secara langsung dan ia biasanya pengalaman yang berbeza daripada mendengar lagu di Spotify," ujar Iskandar, 27 tahun.

MRTNS bakal membuat persembahan esok (11 Feb) di Campus Green.

KUMPULAN INSTRUMENTAL MONDA(E) GEMBIRA DAPAT BUAT PERSEMBAHAN DEPAN PENONTON SELEPAS SEKIAN LAMA


(Gambar: monda(e))

Satu lagi kumpulan yang akan membuat persembahan ialah kumpulan muzik instrumental monda(e)seramai empat anggota.

Muzik mereka menggabungkan unsur-unsur rock dan ambien.

"Sejak pandemik COVID-19, ia amat sukar untuk pemain muzik atau band untuk membuat persembahan secara langsung jadi peluang ini amat menggembirakan untuk band kami," kongsi pemain bass monda(e), Muhammad Syafiq Kasim.

Kumpulan monda(e) dipilih untuk membuat persembahan dalam RIF menerusi satu uji bakat terbuka yang diadakan.



"Kami mencari masa untuk berlatih dan untuk mencari inspirasi, kami akan ke persembahan-persembahan yang lain di Singapura seperti di Esplanade," kongsi Syafiq kepada BERITAmediacorp.

Tiada bayaran dikenakan tetapi tiket boleh ditempah di https://lasallerif.peatix.com

Persembahan-persembahan tersebut akan juga disiarkan di laman YouTube Kolej Seni LASALLE.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan