Skip to main content

Singapura

Festival Penulis SG 2025 anjurkan 200 program, himpun 300 penyampai tempatan & antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 200 program dianjurkan dan lebih 300 penyampai tempatan serta antarabangsa mengambil bahagian dalam Festival Penulis Singapura (SWF) tahun ini.

Festival yang dilancarkan pada Jumaat (7 Nov) di Panggung Victoria itu mengajak para peserta untuk membincangkan tentang aspek identiti, teknologi serta kewarganegaraan menerusi sastera.

Festival kali ini mengajak orang ramai menyelami dunia cerita, idea dan imaginasi; meneroka Bentuk Masa Depan dan membayangkan-semula dunia yang bersemangat inventif, inklusif dan berperikemanusiaan melalui kuasa transformatif sastera.
The Arts House - lokasi sebahagian program SWF (Gambar: Berita Mediacorp)
BENGKEL MASTERCLASS ANTARA PROGRAM DITAWARKAN

Acara tersebut antara lain memuatkan bengkel Masterclass eksklusif oleh penulis skrip dan pengarah filem, M Raihan Halim.

Satu setengah jam bersamanya membolehkan peserta menyelami proses kreatif beliau - dari cetusan idea hingga ke pelaksanaan.

"Melalui 'La Luna', 'Badak' dan 'Banting', saya telah membuat filem-filem yang unik dari perspektif saya sendiri. Dan saya harap para hadirin mereka dapat membuat filem-filem seperti itu, sebab saya mahu mendengar suara mereka. Itu yang paling penting dan saya hendak mendengar benda yang lebih unik daripada mereka," kongsi Encik Mohamed Raihan Abdul Halim, Pensyarah di Masterclass 'Dari Skrip ke Layar Perak', SWF 2025.
Masterclass eksklusif berjudul 'Dari Skrip ke Layar Perak' oleh penulis skrip dan pembikin filem, M Raihan Halim (Gambar: Berita Mediacorp)
"Saya menghargai penganjuran Festival Penulis Singapura (SWF 2025) pada tahun ini kerana ia mengetengahkan tokoh-tokoh, penulis Melayu Singapura dan juga daripada Malaysia, yang masing-masing berkongsi tentang proses pemikiran mereka. Proses ini amat penting kerana ianya mengetengahkan isu-isu sosial masyarakat Melayu kita," luah peserta, Masterclass 'Dari Skrip ke Layar Perak', SWF 2025, Cik Siti Fatimah Jamalludin.

Lebih dari itu, Encik Raihan berkongsi pandangan berharga hasil pengalaman bertahun-tahun dalam mencipta skrip.

Misinya untuk menggabungkan keaslian dengan inovasi turut terserlah, membolehkan peserta mempelajari cara mengimbangi kehalusan seni dan keperluan praktikal dalam penceritaan.

"Pada saya keaslian dan juga kebudayaan Melayu amat penting untuk menunjukkan konteks dan keaslian kebudayaan kita kepada para penonton di media antarabangsa. Dan harapan saya dengan filem-filem saya dan Masterclass ini ialah untuk para penonton, sesiapa yang datang ke Masterclass saya ini dapat belajar bagaimana hendak mencantumkan cara-cara sinematik dan menunjukkan kebudayaan kita," ujar Encik Raihan.

Di Muzium Tamadun Asia pula, sekumpulan hadirin menyaksikan perbincangan panel mengenai penceritaan, dalam program berjudul #beritahudanceritakan.

Ia menemukan pendidik dan pelopor teater 'devised', Cik Aidli 'Alin' Mosbit, wartawan Ervina Mohd Jamil dan pencipta audio siar atau ‘podcaster’ bersama Bora Mic Check, Encik Isa Jaffar; yang antara lain membincangkan bagaimana cara penceritaan masakini berubah dengan kemunculan media sosial.

"Cara orang bercerita kini lebih spontan, lebih berinteraktif, lebih bersahaja. Dan sekarang, orang lebih suka dengan kandungan ringkas, jujur dan juga cepat sampai.

Podcaster masa depan perlu tahu diri mereka sebenar dan apa yang mesej yang ingin mereka sampaikan. Bukan sekadar menggunakan platform ini untuk hiburan, tetapi juga untuk memberi nilai dan inspirasi kepada semua pendengar," ujar Encik Isa yang juga seorang aktivis Dikir Barat.

"Podcast, 'setting'nya agak kasual, seperti bercakap dengan kawan. Jadi kita dapat memahami dan mendalami kontennya dengan mudah. Isu-isu seperti ehwal semasa juga senang dapat difahamkan, kerana ia menggunakan bentuk ringkas. Dengan menghadiri forum ini, saya dapat tahu macam mana kami boleh menggabungkan sastera Melayu dengan teknologi," kongsi seorang peserta #beritahudanceritakan, SWF 2025, Encik Ammar Zafran Zulkifli.

Berlangsung sehingga Ahad 16 November ini, orang ramai antara lain dapat manfaatkan bagaimana filem dan arkeologi dirakam dalam program berjudul 'Yang Tersurat dan Yang Tersirat'. Hadirin diajak menyertai seorang ahli arkeologi dan pembikin filem meneroka bagaimana bidang masing-masing berkait dengan budaya dan pemikiran Melayu.

SWF 2025 turut menampilkan penulis Farihan Bahron yang mengajak hadirin meneroka transformasi digital dalam kesusasteraan Melayu menerusi penulisan fiksyen sains berjudul 'Mencari Antidot Usia'.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita