Festival Muslim SG kembali diadakan, tampilkan teknologi realiti maya & hologram Kaabah
SINGAPURA: Bayangkan anda dapat kembali ke zaman abad ketujuh, 1400 tahun yang lalu untuk menyaksikan suasana kehidupan masyarakat Arab pada ketika itu menerusi kaca mata sendiri.
Dengan teknologi Realiti Maya (VR), para pengguna dapat merasakan seolah-olah berada di dunia Arab ketika Islam mula disebarkan.
Itulah antara pengalaman istimewa yang menanti para pengunjung dalam Festival Muslim Singapura yang kembali diadakan tahun ini.
(Gambar: Jamiyah Singapura)
Festival itu akan berlangsung dari Jumaat (3 Mac) hingga 5 Mac ini di EXPO Singapura.
Selain pengalaman VR yang diperkenalkan buat pertama kali dalam festival itu, terdapat juga Hologram Kaabah yang ditampilkan buat julung-julung kalinya dalam 'Seerah - Pameran Kembara Antarabangsa'.
Demikian dikongsikan Jamiyah Singapura, dalam satu sidang media festival itu yang diadakan hari ini (27 Feb).
(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
"Kami meneroka keupayaan dan penggunaan teknologi realiti maya untuk memberi pengunjung pengalaman yang lebih menyeluruh dan realistik akan peristiwa penting yang berlaku semasa hayat Nabi Muhammad. Para penonton akan dibawa merentasi waktu untuk kembali ke suasana dunia Arab pada abad ketujuh serta menyaksikan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa hayat Nabi Muhammad," kongsi Naib Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin.
"Dengan teknologi ini, mereka dapat merasakan seolah-olah mereka benar-benar hidup dalam zaman Baginda Nabi Muhammad tanpa sempadan. Pengalaman yang mengujakan ini bakal membongkar adegan 360 darjah yang menakjubkan dari setiap sudut eksplorasi dan imaginasi," tambahnya.
HOLOGRAM KAABAH, REPLIKA RUMAH NABI MUHAMMAD ANTARA TARIKAN
Menerusi Hologram Kaabah pula, para pengunjung akan disajikan dengan visual-visual menyeluruh antaranya suasana tawaf dan pemandangan dalam Kaabah.
Ia juga dapat memberi gambaran tentang rupa Kaabah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang belum lagi menjejakkan kaki di Masjidil Haram.
(Gambar: Jamiyah Singapura)
Menurut Jamiyah, wadah-wadah teknologi seperti VR dan Hologram itu juga merupakan antara cara menarik minat golongan belia dan anak muda serta menyediakan platform pendidikan alternatif tentang Islam bagi mereka.
Dalam acara yang sama, orang ramai juga berpeluang melihat replika rumah Nabi Muhammad di Makkah serta pelbagai artifak lain.
"Ini memberi peluang unik kepada para pengunjung untuk mengimbas kembali warisan Nabi Muhammad dan menyaksikan sendiri secara dekat artifak-artifak seperti serban baginda, tongkat, rambut, janggut, cemeti, busur dan anak panah milik Baginda Nabi Muhammad," menurut Encik Jaffar.
LEBIH 150 GERAI DITAWARKAN UNTUK FESTIVAL MUSLIM SINGAPURA
Orang ramai juga bakal dihiburkan dengan persembahan oleh pelbagai artis dari dalam dan luar negara termasuk kumpulan nasyid popular, Raihan dan Al-Jawaher.
Ada juga forum berhubung isu-isu wanita yang disertai selebriti popular seperti Nora Ariffin, Fauziah Latiff dan Wany Hasrita.
Selain persembahan dan forum, para hadirin juga boleh menikmati tawaran produk daripada lebih 150 gerai.
Ia termasuk gerai makanan dan minuman halal serta produk gaya hidup dan fesyen.
(Gambar: Jamiyah Singapura)
Menurut Jamiyah, sehingga 50,000 hadirin dijangka memeriahkan festival Muslim itu.
Kali terakhir ia diadakan adalah pada 2019, sebelum pandemik COVID-19.
Masuk adalah percuma dan lebih banyak maklumat boleh didapatkan di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.