Festival Muslim SG kembali, beri pengunjung pengalaman imersif 'tunai haji dan umrah'
SINGAPURA: Menunaikan ibadah Haji dan Umrah merupakan impian bagi ramai umat Islam.
Lebih daripada sekadar persiapan fizikal dan logistik, perjalanan ke Tanah Suci itu juga memerlukan persediaan dari segi "hati, minda, dan jiwa" - untuk meraih pemahaman, refleksi serta kesediaan rohani.
Itulah yang cuba diketengahkan Jamiyah Singapura dalam Festival Muslim Singapura 2026 (SMF 2026) yang kembali dengan tema "Hajj & Umrah: Prepare Your Heart, Mind & Soul".
Menerusi pelbagai pengalaman imersif berlandaskan teknologi dan inovasi digital canggih, edisi kelima festival dan pameran Islamik mega itu berharap dapat memberi para pengunjung peluang untuk berhubung secara emosi dan rohani di tempat-tempat tanah suci sebelum mereka menjejakkan kaki ke sana.
"Haji dan Umrah ini impian ramai umat Islam. Ada yang sedang merancang dan masih menyimpan hasrat untuk pergi satu hari nanti, Insya-Allah. Tetapi bila kita bercakap tentang persediaan, selalunya kita fikirkan tentang tiket, hotel, dan pakej perjalanan. Itu penting, tetapi bagaimana dengan persediaan hati dan rohani? Itulah yang kami ingin bawa melalui festival ini," kongsi Naib Presiden II Jamiyah, Encik Mohamad Hafidz Abdul Malik kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Untuk tahun ini, kami ada beberapa pembaharuan yang menarik. Pengalaman imersif kami telah dinaiktaraf. Tahun lepas, kami ada dinding LED sepanjang 90 meter. Tahun ini, kami mengembangkannya kepada konsep "cave experience." Visualnya bukan hanya dipaparkan di dinding, tetapi juga di lantai dan siling. Bila pengunjung masuk, mereka akan rasa seperti benar-benar berada di sana," tambahnya.
PENGALAMAN IMERSIF DI "GUA" BAWA PENGUNJUNG MENYUSURI SEJARAH KAABAH
Pengalaman lebih imersif di gua, yang dipanggil "Kaabah - Ancient House" itu juga bakal membawa pengunjung menyusuri sejarah Kaabah sejak zaman Nabi Ibrahim hingga ke hari ini.
Bagi menjadikan warisan dan sejarah Islam lebih mudah diakses bagi masyarakat berbilang generasi, dan agama, para pengunjung juga boleh menjangkakan Kaabah Digital LED yang ditampilkan buat pertama kalinya, serta Pameran Antarabangsa Seerah yang menampilkan 16 artifak dari Makkah dan Madinah.
Ini termasuk batu dinding Kaabah asli, replika-replika pintu Kaabah dan Hajar al-Aswad (atau batu hitam di Kaabah), serta karpet Raudah.
Zon Realiti Maya (VR) juga kembali, kali ini menghidupkan lagi pengalaman Haji dan Umrah di mana pengunjung dibawa daripada bertawaf di sekeliling Kaabah, melakukan Sa'i antara Safa dan Marwah, sehingga berdiri di Arafah.
Zon metaverse pula akan membolehkan pengunjung meneroka tapak-tapak suci secara maya seperti di Kaabah, rumah Nabi Muhammad, Masjid Al-Aqsa dan Masjid An-Nabawi.
ZON INTERAKTIF JAM+, KERJASAMA DENGAN PELAJAR APSN TANGLIN SCHOOL
Di sini juga, Jamiyah bekerjasama dengan APSN Tanglin School, satu daripada empat sekolah Pendidikan Khas (SPED) di bawah APSN, dalam usahanya menjadi lebih inklusif.
Para pelajar dari APSN Tanglin School akan mengendalikan sebuah kafe bersama sukarelawan dan belia Jamiyah di festival itu.
"Ini adalah kali pertama kami berkolaborasi dengan Jamiyah Singapura. Untuk acara ini, para pelajar terpilih dari sekolah kami akan menguruskan kafe JAM+ bersama sukarelawan dari Jamiyah Singapura. Ini merupakan wadah yang baik untuk para pelajar kami berinteraksi dengan para pengunjung serta mempamerkan permainan-permainan yang mereka bina dan sediakan," kongsi Ketua Subjek, 'Daily Living Skills' (DLS) dari APSN Tanglin School, Cik Syafiqah Mohamed Salleh.
"Penyertaan ini memberikan para pelajar kami pengalaman yang luas dan penuh bermakna. Ia juga membuka ruang untuk mereka membina keyakinan diri, kemahiran sosial dan juga komunikasi dan meraikan kebolehan mereka apabila mereka berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat di SMF," tambah beliau.
"Saya rasa gembira kerana dapat mewakili sekolah saya dan menyumbang kembali kepada masyarakat," kongsi pelajar Putera Dani Muhammad Fairus.
"Saya ingin membuat orang ramai bahagia," kongsi seorang lagi pelajar, Mohammed Danish Izwan Abdullah.
LEBIH 150 VENDOR MENANTI PENGUNJUNG, SERTA KONSERT GEGAR NASYID
Bagi memeriahkan lagi SMF 2026, sebuah Konsert Gegar Nasyid juga boleh dijangkakan, menampilkan empat kumpulan nasyid dari Singapura, Malaysia dan Indonesia, termasuk kumpulan Raihan dan Al-Jawaher.
Lebih 150 vendor makanan halal, pakaian, produk gaya hidup dan khidmat pelancongan juga menanti pengunjung.
Festival Muslim Singapura akan berlangsung dari 13 hingga 15 Februari ini, di Expo Dewan 6.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.