Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Muslim SG 2025 lebih besar, tawar pengalaman metaverse

Anggaran Waktu Membaca:
Festival Muslim SG 2025 lebih besar, tawar pengalaman metaverse

Festival Muslim Singapura 2025 kembali diadakan selama tiga hari di Singapore Expo, Hall 6 dari 7 hingga 9 Februari.

SINGAPURA: Festival Muslim Singapura (SMF) kembali tahun ini dengan lebih banyak video realiti maya (VR) ditayangkan dan metaverse (dunia maya melalui penggunaan teknologi dalam bentuk 3D) memaparkan Kaabah, rumah Nabi Muhammad (SAW), Masjid Al-Aqsa dan Masjid An-Nabawi. 

Buat julung kalinya, festival tahun ini memaparkan detik-detik penting kehidupan Nabi Muhammad (SAW) melalui skrin LED 90 meter. 

Acara tahun ini berlangsung dari 7 hingga 9 Februari di Singapore Expo Hall 6, dengan tambahan Dewan 5 untuk mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran pengunjung dengan lebih baik.

“Alhamdullilah, SMF telah berkembang dari 30,000 pengunjung pada tahun 2023 kepada 100,000  pengunjung tahun lalu”, kongsi Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Korporat Jamiyah Singapura, Muhammad Khair Baharin. 

Naib Presiden Kedua dan Ketua Pegawai Strategi Jamiyah, Encik Mohd Hafiz; Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Korporat Jamiyah, Encik Muhd Khair Baharin; Naib Presiden Ketiga Jamiyah, Encik Siraj Salman; dan Penganalisis, Strategi Perancangan Korporat Jamiyah, Cik Syahirah Abdul Malek.

Tahun ini, penganjur telah mengambil langkah proaktif dengan membuka Hall 5 sebagai kawasan tambahan, membolehkan sistem kawalan barisan yang lebih teratur  bagi keluarga dengan kanak-kanak kecil, warga emas dan orang kurang upaya. 

Seperti tahun lalu, acara Seerah, ‘Pameran Bergerak Antarabangsa’, akan mempamerkan artifak-artifak Nabi Muhammad (SAW), seperti capal, serban, tongkat dan sebagainya. 

Ia turut akan menampilkan artifak dari House of Islamic Arts, Arab Saudi di mana pengunjung boleh menikmati koleksi fotografi di Makkah dari 1880 hingga 1909, manuskrip dari abad ketujuh hingga kelapan hijrah, serta karya seni Islam dari pelbagai zaman.

Hadirin di sidang media Festival Muslim Singapura 2025 pada 24 Januari, 2025 menonton pameran kehidupan Nabi Muhammad (SAW) pada skrin 90 meter.

Seperti tahun sebelumnya, pengalaman metaverse turut diadakan. Kali ini, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman realiti maya ke Masjid Al-Aqsa dan Masjid An-Nabawi, sekali gus dapat merasai sendiri, seolah-olah berada di sana.

Lebih 170 vendor makanan halal, pakaian dan produk gaya hidup turut mengambil bahagian dan Jamiyah Singapura menggalakkan masyarakat Islam dan orang bukan Islam untuk hadir mempelajari tentang sejarah Islam dengan cara menarik.

Sumber : BERITA Mediacorp/ft/FT
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan