Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Muslim SG 2024: Pengalaman 'metaverse' untuk teroka zaman Nabi, tampilkan 16 artifak baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Festival Muslim SG 2024: Pengalaman 'metaverse' untuk teroka zaman Nabi, tampilkan 16 artifak baharu

(Gambar: Jamiyah Singapura)

SINGAPURA: Lebih banyak artifak baharu seperti Kiswah Hijau dalam Kaabah dan kasut milik Imam Syafie boleh disaksikan para pengunjung ke pameran 'Seerah' tahun ini.

16 daripada 21 artifak yang dibawa masuk ke Singapura kali ini merupakan artifak baharu.

Pameran bergerak antarabangsa itu sekali lagi diadakan sempena Festival Muslim SG 2024 anjuran Jamiyah Singapura.

Festival yang menurut badan itu merupakan acara berunsur Islam yang terbesar di negara ini akan berlangsung dari Jumaat (1 Mac) hingga Ahad (3 Mac) di Dewan 6, Singapore EXPO.

"Objektif utama festival kali ini adalah untuk meningkatkan pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap Islam dan memupuk perpaduan dan rasa hormat terhadap semua agama dan budaya dalam masyarakat kita. Ia juga menyediakan wadah kepada para cendekiawan tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi ilmu dan pandangan tentang isu-isu berkaitan Islam," kata Naib Presiden II Jamiyah Singapura, Encik Hafidz Abdul Malik kepada BERITA Mediacorp.

Ini merupakan kali keempat festival itu dianjurkan.

Tahun lalu, pameran itu berjaya menarik 70,000 pengunjung.

Selain membawa artifak-artifak baharu, penganjur juga akan menerapkan penggunaan teknologi dan kesan khas bagi memberikan pengalaman lebih interaktif dan mendalam kepada para pengunjung.

"Pengalaman VR atau realiti maya pula memaparkan detik-detik penting kehidupan Nabi Muhammad saw dengan kesan visual dan audio yang lebih hebat. Lebih dari itu pengunjung dapat meneroka Kaabah dan rumah Nabi Muhammad saw melalui pengalaman 'metaverse' yang kami perkenalkan baharu tahun ini," tambah Encik Hafidz, yang juga Ketua Pegawai Strategi, Jamiyah Singapura.

TAYANGAN EKSLUSIF ANIMASI 'TEAM NOON' DI SG

Tidak melupakan para pengunjung cilik dan ibu bapa mereka, festival kali ini juga akan mengadakan tayangan eksklusif filem animasi 'Team Noon'.

Ini juga merupakan kali pertama ia ditayangkan di Singapura.

"Kanak-kanak dan seisi keluarga pula dapat menikmati filem animasi pendek ‘Team Noon’ tentang keajaiban saintifik dalam Al Quran," jelas Encik Hafidz.
Acara sepanjang tiga hari itu juga padat dengan pelbagai program menarik.

Selain persembahan oleh artis-artis tempatan dan antarabangsa seperti kumpulan nasyid Al Jawaher, terdapat juga forum dan ceramah yang menampilkan para asatizah serta tokoh-tokoh agama.

Dalam pada itu, lebih 175 gerai tempatan dan antarabangsa juga menawarkan pelbagai produk.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding tahun lalu dengan sekitar 150 gerai sahaja.

Menurut Encik Hafidz, "Festival ini juga ingin menggalakkan perniagaan dan perkhidmatan produk yang berteraskan Islam seperti busana Muslimah, pendidikan Islam dan pelbagai jenis makanan halal dan sunah. Pelancongan ke tempat bersejarah Islam dan sebagainya pun ada di festival ini."

Dengan skala yang lebih besar tahun ini, Jamiyah Singapura berharap dapat menarik lebih 100,000 pengunjung ke acara itu.

Festival itu akan dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan