Skip to main content

Singapura

Festival Filem Palestin Singapura 2024 berjaya kumpul S$50,000 bagi penduduk Gaza

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Jan 2024 07:30PM Dikemas Kini : 14 Jan 2024 09:54AM


SINGAPURA: Festival Filem Palestin Singapura 2024 berjaya mengumpulkan sekitar S$50,000 bagi para penduduk Gaza setakat ini.

Lebih 300 orang menyaksikan tayangan filem 'Omar' dan filem pendek 'Nightmare of Gaza' di Golden Village X The Projector di Cineleisure pada Jumaat (12 Jan).

Dana terkumpul akan disalurkan sepenuhnya kepada Persatuan Palang Merah Singapura bagi bantuan kemanusiaan dan pemulihan yang dijalankan oleh rakan-rakan gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Gaza.

Festival Filem Palestin Singapura 2024 ini adalah cetusan ilham empat individu yang mahu meningkatkan kesedaran tentang keadaan di Gaza dan mengumpul dana bagi bantuan kemanusiaan yang diperlukan.

Salah seorang penganjurnya, Cik Nuridayu Chuni, 43 tahun, berharap para penonton akan lebih memahami keadaan yang sedang berlaku di Gaza.

--

"Kami rasakan filem-filem dari sana dapat memberikan gambaran yang jelas tentang kehidupan mereka. Jadi ini adalah satu cara bagi kami untuk beri peluang kepada warga Singapura untuk meluahkan sokongan mereka untuk Palestin," kata Cik Nuridayu kepada wartawan kami Nur Arina Ahmad Anis.

PROSES DAPAT LAMPU HIJAU DARIPADA IMDA

Beliau juga memberitahu BERITA Mediacorp bahawa mereka sudah mula mengusahakan festival filem itu sejak Oktober 2023, sebelum akhirnya mendapat lampu hijau daripada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Rancangan asal adalah menganjurkan filem festival itu pada Disember lalu, namun terpaksa ditunda sehingga Januari.

Menurut Cik Idayu: "Setakat ini S$50,000 telah dikumpulkan dan pada hari pertama tayangan filem-filem ini, tiket sudah habis dijual. Semua tiket habis dijual dan kami telah menambah dua lagi tayangan pada 2 hari terakhir pada 20 dan 21 Januari.

"Harapan kami agar semua slot untuk tayangan akan habis dijual. Semua hasil kutipan akan ke SRC dan kemudian ke Gaza. Juga dengan adanya filem-filem yang ditayangkan ini, ia dapat memberi gambaran juga bahawa rakyat Palestin juga seperti kami. Mereka ada kehidupan, keluarga dan impian. Jadi sedikit-sebanyak mengingatkan kita tentang sifat perikemanusiaan."

Antara yang hadir pada malam tayangan pertama semalam (12 Jan), ialah Nur Fitri Shazwina.

"Saya mahu memberi sokongan. Walaupun kami di Singapura, saya ingin juga membantu warga Palestin," kata beliau.

Cik Nur Hazimah Mohamed Nor, 33 tahun pula berkata:
"Saya berasa simpati terhadap warga Palestin dan saya rasa ini satu cara untuk membantu dan menyokong mereka di sana."

18 GERAI SERTAI FESTIVAL FILEM PALESTIN SINGAPURA

Sebanyak 18 gerai turut menyertai acara mengumpul dana itu, termasuk Beads and Peace(s) yang menjual tasbih.

--

"Sebenarnya sebab kami menyertai acara ini kerana kami ingin memberikan sokongan dan juga dengan adanya produk-produk kami, kami dapat lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita di luar negara kita dan juga sama-sama mendoakan kesejahteraan mereka yang di Palestin," kata Pengasas Beads & Peace(s), Cik Nur'Ain Chuni.

Menurut Cik Idayu, setiap gerai menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil penjualan mereka kepada Persatuan Palang Merah Singapura.

Namun beberapa pemilik gerai yang bersikap murah hati dan akan mendermakan seluruh hasil penjualan mereka itu.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan, pihak penganjur telah menambah dua lagi tayangan pada 20 dan 21 Januari ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita