Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Filem Palestin SG dianjur 12-21 Jan, usaha kumpul dana untuk Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Festival Filem Palestin SG dianjur 12-21 Jan, usaha kumpul dana untuk Gaza

Festival Filem Palestin Singapura 2024 dianjur dari 12 hingga 21 Januari sebagai usaha kumpul dana. (Gambar: sgpalestinefilmfest/Instagram)

SINGAPURA: Sepuluh filem yang membuka mata dan minda kepada cabaran-cabaran yang dihadapi para penduduk Palestin bakal ditayangkan di pawagam tempatan sempena Festival Filem Palestin Singapura 2024 dari 12 hingga 21 Januari.

Filem-filem yang akan ditayangkan di Golden Village X The Projector di Cineleisure itu adalah sebahagian usaha mengumpul dana untuk Gaza.

Semua hasil yang diperolehi daripada penjualan tiket akan disalurkan langsung kepada Persatuan Palang Merah Singapura bagi bantuan kemanusiaan dan pemulihan yang dijalankan oleh rakan-rakan gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Gaza.

Festival filem ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kebudayaan dan kefahaman kepada keadaan yang sedang berlaku sekarang ini di Gaza dalam kalangan rakyat Singapura.

5 INDIVIDU KERJASAMA DEMI TUJUAN MURNI

Festival Filem Palestin Singapura 2024 ini merupakan cetusan ilham lima individu yang berganding bahu demi tujuan murni - iaitu meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana untuk para penduduk Gaza.

Apabila dihubungi BERITA Mediacorp, aktivis muda bernama Zaris Azira, 30 tahun, berkata idea untuk menganjurkan festival filem ini tercetus apabila beliau ternampak catatan online bagi satu Festival Filem Israel, yang diadakan di Singapura dalam bulan Oktober.

"Saya terfikir kalau festival filem Israel boleh diadakan di Singapura, bermakna Festival Filem Palestin juga boleh. Jadi saya hubungi The Projector," kata Cik Azira, merujuk kepada lokasi pawagam bagi filem-filem 'indie'.

Selang sehari dua, Cik Azira dihubungi oleh seorang individu bernama Erduan Sofhian Jaafar, 45 tahun, yang juga mempunyai idea yang serupa.

Bermula dari situ, Cik Azira dan Encik Sofhian bersama lagi tiga individu lain bekerjasama untuk menjayakan festival filem ini.

Mereka ialah Zaris Sofia, 32 tahun, yang merupakan kakak Cik Azira; Isnor Dzulkarnain Jaafar, 42 tahun, iaitu adik Encik Sofhian; dan seorang rakan mereka Nuridayu Chuni, 43 tahun.

Cik Azira memberitahu BERITA Mediacorp mereka sudah mula mengusahakan festival filem ini sejak 21 Oktober, sebelum akhirnya mendapat lampu hijau daripada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

"Prosesnya agak panjang - kami perlu mendapatkan lokasi dan perlu menyenarai pendek filem-filem dan menghubungi pengedar.

"Kemudian kami perlu menghantar filem-filem yang dipilih kepada IMDA untuk diklasifikasikan, dan ini adalah proses paling memakan masa. Kami perlu menjelaskan banyak soalan untuk mereka namun syukur mereka membantu kami untuk mempercepat prosesnya dan membolehkan kami teruskan dengan festival filem ini," kata Cik Azira.
PERNAH ADA FESTIVAL FILEM PALESTIN DIBATALKAN

Sebenarnya, ini bukan kali pertama festival filem Palestin seumpama ini dianjurkan.

Dua edisi festival filem Palestin pernah dianjurkan oleh Singapore Palestinian Film Festival (SPFF) pada 2017 dan 2018. Ini kumpulan berlainan daripada kumpulan Cik Azira.

Pada edisi 2018, salah satu filem yang dijadual ditayangkan dibatalkan dan tidak dibenarkan ditayangkan kepada umum disebabkan "naratif tidak seimbang".

BERITA Mediacorp difahamkan menerusi laman IMDA, di bawah Garis Panduan Klasifikasi Filem, filem-filem yang kandungannya dinilai boleh menjejas keselamatan negara akan diklasifikasikan sebagai 'Not Allowed for All Ratings' atau Tidak Dibenarkan bagi Semua Rating' (NAR).

Menjawab pertanyaan tentang lampu hijau yang diterima daripada IMDA, Cik Azira berkata filem-filem yang dipilih bagi festival filem Palestin kali ini semuanya sudah diklasifikasikan sebagai minimum NC16 oleh IMDA.

Ini bermakna semuanya dibenarkan bagi tayangan umum.

APA YANG BOLEH PENONTON JANGKAKAN?

Menurut Cik Azira, mereka mendapatkan saranan orang ramai bagi pelbagai tajuk filem berkaitan Palestin selain meneliti filem-filem yang pernah ditayangkan di Singapura sebelum ini.

Mereka kemudian menyenarai pendek 15 filem yang memaparkan kesan pendudukan ke atas Palestin serta menyorot keadaan kehidupan seharian warga Palestin.

"Senarai itu kemudian dikurangkan kepada lima filem utama dan lima filem pendek. Setiap filem utama akan dipasangkan dengan satu filem pendek supaya ada lima tayangan kesemuanya," kata beliau, sambil menambah ia akan ditayangkan berbilang kali sepanjang 10 hari.

Cik Azira turut berkongsi dengan BERITA Mediacorp tajuk bagi tiga pasangan filem yang mereka pilih.

Ia adalah 5 Broken Cameras, digandingkan dengan filem pendek - Today They Took My Son. The Tower dipasangkan dengan filem pendek - Lovesick in the West Bank. When I Saw You dipasangkan dengan filem pendek - The Present.

Senarai penuh filem akan dikeluarkan di akaun Instagram @sgpalestinefilmfest pada minggu depan, kata Cik Azira.

Pada setiap hari biasa, akan ada satu tayangan manakala terdapat tiga hingga empat tayangan pada hujung minggu.

"Ada pelbagai filem berbeza yang bakal ditayangkan. Ada filem komedi ringan, dokumentari yang berat dan juga filem-filem yang memberi inspirasi dan menyentuh hati. Jadi penonton ada pilihan berbeza apabila datang menyokong festival filem dan usaha mengumpul dana ini," kata beliau kepada BERITA Mediacorp.

Tiket-tiket mula dijual pada 21 Disember 2023, pada harga S$25 pada hari biasa dan S$30 pada hujung minggu.

BERSUARA GESA GENCATAN SENJATA

Yang pasti, filem-filem yang ditayangkan ini diharapkan akan menyuntik rasa empati dan semangat persaudaraan dengan warga Palestin.

"Mereka (warga Palestin) adalah orang biasa seperti kita, punya harapan, impian dan kehidupan biasa sebelum pendudukan ini berlaku.

"Kami mahu menyerlahkan sifat kemanusiaan yang kita kongsi bersama, dengan harapan ia akan menekankan betapa pentingnya untuk kita menggunakan suara kita bersama-sama bagi menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan demi mengakhiri pertumpahan darah orang-orang awam yang tidak berdosa," kata Cik Azira.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan