Festival dan Pameran Warisan Silat tampilkan pelbagai aliran silat nusantara
SINGAPURA: Ruang serbaguna Wisma Geylang Serai, Anjung@WGS bukan hab untuk masyarakat Melayu sahaja tetapi wadah bagi berkongsi kekayaan budaya Melayu dengan masyarakat lain.
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim menekankan demikian di majlis pelancaran Festival dan Pameran Warisan Silat 2022 pada Ahad (31 Julai).
Festival dan Pameran Warisan Silat anjuran Jabatan Jalur Budaya Wisma Geylang Serai bersama Pencak Bawean Dheun bertujuan menghimpunkan pesilat-pesilat dan berkongsi tradisi dan budaya Silat kepada masyarakat am.
Pesta yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan lebih 200 pesilat daripada 24 kumpulan yang beraksi untuk menunjukkan kehandalan masing-masing.
Guru Utama Pencak Bawean Dhuen, Encik Abdullah Bari Makli, juga dikenali sebagai Pak Dollah berkongsi tujuan pelbagai aliran Silat dipersembahkan.
Pak Dollah berkata: "Memang kita sedang menarik generasi muda. Harapan saya untuk silat ialah teruskan dengan perguruan-pergururannya dengan istilah adab-adab yang baik-baik itulah yang saya harapkan untuk pesilat-pesilat."
Selain dapat menikmati pelbagai jenis persembahan silat, para pengunjung turut berpeluang mengenali lebih mendalam lagi mengenai budaya Melayu.
Dr Faishal berharap menerusi program-program di Anjung@WGS, ia dapat mendekati lebih ramai penduduk, sekaligus mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Menurut Dr Faishal: "Dengan adanya Anjung di Wisma Geylang Serai kita dapat meluaskan pendekatan kita kepada pelbagai lapisan masyarakat dan juga pelbagai aktiviti-aktiviti yang boleh dilakarkan. Kita dapat menitikberatkan dan memikirkan aspek-aspek kepelbagaian masyarakat Melayu di Singapura bersama-sama dengan masyarakat berbilang bangsa dalam kita membangunkan negara kita yang mempunyai kepelbagaian bagi penduduk-penduduk di Singapura."
Dr Faishal turut menyampaikan sijil penghargaan dan tanda penghargaan kepada para peserta yang terlibat dalam pesta Silat hari ini.
Festival itu sekaligus menyimpulkan acara sambutan selama sebulan sempena pembukaan Anjung@WGS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.