Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Belia M³ kembali secara fizikal selepas 2 tahun - sediakan pelbagai kegiatan untuk belia

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Festival Belia M³ kembali dianjurkan secara fizikal tahun ini setelah dua tahun diadakan secara online.

Di majlis pelancarannya hari ini (25 Jun), lebih 70 belia menyertai bengkel robotik dan sesi rangkaian sosial.

Selepas dua tahun tidak diadakan secara fizikal, kemeriahan dan semangat para belia ini kembali dirasakan semasa majlis pelancarannya.

Ini sejajar dengan tema baru kempen tersebut iaitu "Bangkit Kembali, Lebih Yakin".

(Gambar: PA MESRA) 

Usaha ini merupakan usaha M³ untuk menyokong belia Melayu/Islam bagi memastikan mereka kekal berdaya tahan dan dilengkapi dengan kemahiran di tengah-tengah peralihan dan perubahan trend yang timbul.

Ini di samping membolehkan para belia mengukuhkan lagi aset sosial mereka.

Majlis ini disertai oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam, serta Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Nadia Samdin.

"Melalui usaha-usaha ini, kita memberi sokongan kepada para belia untuk melihat apa yang mereka mungkin berminat dan memberi sokongan kepada mereka. Dalam masa yang sama, ada juga peluang untuk membina rangkaian dengan badan-badan ini dan badan-badan ini mempunyai aktiviti-aktiviti dan juga peluang untuk sukarelawan mengambil bahagian dan melibatkan diri dengan masyarakat," kongsi Cik Rahayu, yang juga Penasihat PA MESRA Belia.


(Gambar: PA MESRA) 

"Jadi dengan ini, kita, orang kata, menyelam sambil minum air. Kita memberi peluang kepada para belia kita tetapi juga pada masa yang sama, membina rangkaian dan memberikan mereka pendedahan kepada peluang-peluang untuk menyumbang di peringkat nasional dan di luar daripada apa yang mungkin mereka biasa melakukan," tambahnya lagi.

LEBIH 70 BELIA SERTAI PELBAGAI KEGIATAN DI MAJLIS PELANCARAN

Lebih 70 belia menyertai pelbagai kegiatan yang dianjurkan sempena pelancarannya hari ini (25 Jun).


(Gambar: PA MESRA) 

Antara aktiviti menarik yang para belia dapat mencuba termasuk senaman menggunakan basikal Spin, sesuatu yang semakin popular dalam kalangan anak muda.

Ini sebahagian daripada kursus PA Shiok Series untuk menggalak gaya hidup sihat.

Selain gaya hidup sihat, pelbagai kegiatan juga akan dianjurkan dalam kempen selama sebulan ini.

BELIA BOLEH PILIH PROGRAM DARIPADA ENAM TEMA

Para belia boleh memilih daripada enam tema termasuk Sains, Teknologi dan Pendigitalan, Alam Sekitar dan Kemampanan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Seni dan Budaya, Pembangunan Peribadi dan Kerjaya, Masyarakat dan Perpaduan.

Menurut Cik Rahayu, tema-tema ini disarankan sendiri oleh golongan belia yang sudah menandakan minat mereka.

Ia juga terdiri daripada apa yang dilihat sebagai "sektor-sektor yang sedang berkembang" di mana terdapat peluang dan manfaat yang boleh diraih belia.

(Gambar: PA MESRA) 

"Misalnya, dalam sektor Sains, Teknologi dan Pendigitalan, ini adalah sesuatu bidang yang kita lihat mungkin adanya lebih banyak peluang bekerja dan kita mahu para belia kita diberikan asas-asas dan juga pendedahan kepada sektor ini dengan lebih mendalam," ujar Cik Rahayu.

"Ini adalah cara kita membawa sumber-sumber yang kita ada dalam masyarakat kita, berkongsi dengan para belia kita agar mereka dapat mencuba dan mempelajari sesuatu yang baru, dan (dapat) masuk ke dalam ekonomi dan dunia baru ini iaitu pasca pandemik dengan lebih yakin," tambah beliau lagi.

PELBAGAI PROGRAM DITAWARKAN DI PELBAGAI LOKASI

Bagi Naib Pengerusi PA MESRA Belia, Qurratu’aini Abdul Rashid, yang merupakan sebahagian daripada Pasukan Media dan Sokongan buat acara ini, beliau amat teruja melihat ramai yang hadir dan berinteraksi secara fizikal.

Menurutnya, terdapat pelbagai program yang ditawarkan kali ini khas buat golongan belia dan di pelbagai lokasi.



"Tahun ini, lagi banyak program kerana kita dapat menghadiri secara fizikal. Jadi saya rasa lebih ramai belia akan berasa lebih gembira dan yakin untuk menghadiri program tersebut," kongsi Qurratu’aini, 22 tahun.

"Golongan belia (ini) dapat memperbaiki kemahiran mereka dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, teknologi dan juga media sosial," tambahnya lagi.

Kempen ini akan berlangsung hingga 24 Julai. Senarai kegiatan dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapatkan di Instagram "Mesra Youth."

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan