Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Bangsawan dekati masyarakat di kawasan kejiranan, tarik generasi muda

Anggaran Waktu Membaca:
Festival Bangsawan dekati masyarakat di kawasan kejiranan, tarik generasi muda

Festival Bangsawan Singapura di Kelab Masyarakat Keat Hong (Gambar: Opera Academy)

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, Festival Bangsawan Singapura dibawa lebih dekat kepada penonton di kawasan kejiranan.

Inisiatif itu merupakan usaha Opera Academy untuk memperluaskan akses kepada seni Bangsawan, khususnya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan perumahan, agar lebih ramai dapat mengenali dan menghargai warisan seni itu.

Edisi kedua festival tersebut yang dilancarkan pada Ahad (9 Feb) di Kelab Masyarakat Keat Hong mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan lebih 200 penduduk mengambil bahagian.

Festival Bangsawan Singapura. (Gambar: Zainal Yahya)
Selain di Kelab Masyarakat Keat Hong, ia juga diadakan Hab Tampines Kita pada Sabtu (15 Feb) dan Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias pada Ahad (16 Feb) ini,

"Kami menerima maklum balas dari sesetengah golongan masyarakat bahawa mereka inginkan Bangsawan dipentaskan berdekatan dengan mereka, lebih-lebih lagi pementasan Bangsawan yang ditujukan kepada golongan muda dan kanak-kanak.

"Kami berterima kasih kepada pihak-pihak MAEC yang telah bekerjasama dengan Opera Academy," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Opera Academy, Encik Noor Azhar Mohamed kepada BERITA Mediacorp.
Festival Bangsawan Singapura. (Gambar: Zainal Yahya)

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan untuk merapatkan jurang antara masyarakat Melayu dan seni Bangsawan yang diterajui oleh Opera Academy, yang berpusat di kawasan Kampung Gelam.

"Secara kebetulan, edisi pertama Festival Bangsawan Singapura pada 2022 telah kami adakan di Taman Warisan Melayu Singapura yang mungkin sedikit jauh dari para penduduk kawasan perumahan am di Singapura. Dalam mendekati para penduduk Singapura di barat laut, timur laut dan juga timur, kami berbesar hati dapat mempersembahkan kecantikan seni Bangsawan ini kepada lebih ramai lagi rakyat Singapura," tambahnya.

BAWA BUDAYA DAN BAHASA BERSAMA UNTUK GOLONGAN MUDA
 

Anggota Parlimen, Zhulkarnain Abdul Rahim bersama para pelakon cilik Bangsawan. (Gambar: Opera Academy)

Tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim, memuji inisiatif tersebut dalam menggabungkan budaya dan bahasa untuk golongan muda.

“Mendengar kisah para peserta muda (pelakon) Opera Academy ketika mereka mula-mula menyertai program ini dan menyaksikan persembahan mereka yang luar biasa di atas pentas, saya melihat bagaimana mereka telah mendapat manfaat daripada program ini serta berkembang menjadi individu yang lebih yakin, baik dalam penggunaan bahasa Melayu mahupun dalam kemahiran berucap di hadapan khalayak ramai.

"Tahniah kepada Opera Academy dan Festival Bangsawan Singapura kerana berjaya menghidupkan budaya dan bahasa untuk penonton muda melalui penyertaan yang penuh semangat,” kata Encik Zhulkarnain.

PERSEMBAHAN, BENGKEL BANGSAWAN DAPAT DINIKMATI PENDUDUK PELBAGAI USIA

Para pengunjung daripada pelbagai peringkat umur berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik sepanjang festival, termasuk bengkel-bengkel dan persembahan bangsawan yang disusun khas untuk mendekatkan seni warisan ini kepada masyarakat.

"Untuk generasi muda yang tidak mengenali Bangsawan ataupun belum pernah menonton persembahan bangsawan, kami mempersembahkan Bangsawan secara langsung atau 'live' yang mengetengahkan cerita pendek seperti 'Bangsawan Burung Bulbul', yang turut dipersembahkan oleh anak-anak berusia lima hingga 13 tahun," kata Ketua Pegawai Eksekutif Opera Academy, Encik Noor Azhar Mohamed.

Para peserta di festival. (Gambar: Opera Academy)

Selain itu, festival itu turut menyediakan aktiviti interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.

"Acara-acara interaktif seperti persembahan boneka (hand puppets) juga diadakan sebagai aktiviti keluarga," tambah beliau.

Bagi golongan dewasa bengkel khas bagi mendalami seni lakonan Bangsawan telah diadakan.

"Kami mengetengahkan bengkel-bengkel membaca dengan lenggok Bangsawan agar mereka dapat mempelajari ilmu lakonan Bangsawan dengan lebih mendalam. Dalam memberikan kepelbagaian dalam acara-acara festival, para penonton dapat melihat bangsawan daripada pelbagai lensa dan mula meminati seni Bangsawan ini," jelas Encik Noor Azhar.

Persembahan patung tangan. (Gambar: Opera Academy)

Antara yang hadir ialah Cik Atiqah dan anaknya.

"Saya suka elemen interaktif yang diterapkan dalam persembahan patung tangan. Saya rasa penglibatan penonton meningkatkan akses kepada kanak-kanak dan menjadikan pengalaman ini lebih menarik," kata Cik Atiqah.

Para peserta turut menekankan kepentingan memupuk kesedaran terhadap budaya Melayu, khususnya bangsawan, dalam kalangan generasi muda.

"Dalam masyarakat hari ini, anak-anak muda semakin mengabaikan budaya Melayu akibat kepelbagaian budaya dalam masyarakat. Oleh itu, adalah sangat penting untuk memelihara budaya Melayu dalam kalangan generasi muda agar ia dapat diteruskan kepada generasi seterusnya," ujar Cik Maya.

Opera Academy juga akan mengendalikan sesi-sesi pembentangan oleh para pengamal Bangsawan dan Opera Cina di kampusnya di 15A Bussorah St pada 17 Februari ini.

TAMPILKAN PRODUKSI BANGSAWAN; SUNTIK ELEMEN BAHARU

'Bangsawan Sri Wikrama Wira' akan dipentaskan di Esplanade.(Gambar: Zainal Yahya)

Festival Bangsawan Singapura bakal mencapai kemuncaknya dengan produksi utama bertajuk 'Bangsawan Sri Wikrama Wira', yang akan dipentaskan dari 21 hingga 23 Februari.

Karya itu mengisahkan perjalanan serta cabaran Raja Sri Wikrama Wira dalam mempertahankan Singapura daripada ancaman kerajaan-kerajaan jiran.

Lebih istimewa, produksi itu melibatkan seramai 102 pelakon dan tenaga produksi, menjadikannya antara pementasan Bangsawan terbesar anjuran Opera Academy.

Dalam usaha mengekalkan keaslian seni Bangsawan sambil menarik minat generasi muda, Opera Academy mengimbangi unsur tradisional dengan elemen moden yang relevan.

Ketua Pegawai Eksekutif Opera Academy, Noor Azhar Mohamed (Paling kanan). (Gambar: Opera Academy)

"Sebagai kumpulan yang memartabatkan seni Bangsawan agar tidak lupus dari praktik asalnya sebaik mungkin, Opera Academy bekerja keras untuk menitikberatkan ketulenan persembahan Bangsawan, di samping menerapkan beberapa elemen baharu agar dapat memancing penonton generasi muda. Yang kami kekalkan termasuk pertuturan teliti Bangsawan yang dilafazkan dengan nada dan lenggok; segmen 'Extra Turn'; dan juga busana-busana yang gah," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Opera Academy, Encik Noor Azhar Mohamed.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan bakat muda dalam seni Bangsawan.

"Salah satu peningkatan elemen yang kami berikan adalah penglibatan ramai para pelakon muda di bawah umur 35 tahun. Lebih separuh dari para pembawa watak 'Bangsawan Sri Wikrama Wira' berusia di bawah 35 tahun dan ini jarang dilihat oleh mana-mana persembahan Bangsawan di rantau ini.

"Dengan ramainya para pelakon muda yang mula menceburi bidang Bangsawan, Opera Academy dan Anggerik Temasek Bangsawan selaku pelopor Bangsawan tanah air, telah berjaya menambat hati generasi muda untuk terus melestarikan seni ini," tambah beliau.

Produksi itu merupakan kesinambungan kepada 'Bangsawan Sang Nila Utama', yang dipentaskan pada 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan