Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Feri pertama aturan perjalanan bebas kuarantin S'pura-Bintan, Batam bermula 18 Feb: Menteri Indonesia

Feri pertama yang membawa penumpang di bawah aturan perjalanan bebas kuarantin antara Singapura, Batam dan Bintan akan berlepas dari Terminal Feri Tanah Merah pada Jumaat (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Feb 2022 03:13PM Dikemas Kini : 16 Feb 2022 12:46PM

JAKARTA: Feri pertama yang membawa penumpang di bawah aturan perjalanan bebas kuarantin antara Singapura, Batam dan Bintan akan berlepas dari Terminal Feri Tanah Merah pada Jumaat (18 Feb).

Dalam satu sidang media maya pada Isnin (14 Feb), Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto berkata: "Berhubung aturan khas perjalanan bebas kuarantin Batam-Bintan, pada 18 Februari ini, feri dari Singapura akan mula memasuki kawasan itu." Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

Mengulas tentang pengumuman itu, Pengerusi Nongsa Sensation Anddy Fong memberitahu Mediacorp pada Isnin: "Sekarang ini kami hanya mengendalikan satu khidmat feri setiap hari sebagai permulaan."

Nongsa Sensation merupakan sebuah kumpulan pusat peranginan di Nongsapura, Batam.

Feri tersebut boleh menampung sekitar 240 penumpang namun Encik Fong berkata disebabkan protokol kesihatan COVID-19, ia hanya boleh membawa sehingga 120 orang.

"Saya tidak dapat memberikan jumlah sebenar penumpang pada Jumaat kerana semua orang masih menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tempahan dan menjawab pertanyaan, banyak pertanyaan dan panggilan telefon... ramai yang berminat untuk datang," kata Encik Fong.

Semasa di Batam Nongsapura, pelancong dari Singapura akan diasingkan daripada pelawat dalam negeri untuk memastikan protokol kesihatan dilaksanakan, katanya.

Feri pertama dari Tanah Merah akan berlepas pada pukul 3.00 petang waktu Singapura dan tiba di Nongsapura pada sekitar 2.40 petang waktu Batam pada Jumaat, kata Encik Fong.

Terdapat juga khidmat feri harian dari Nongsapura ke Tanah Merah yang berlepas pada pukul 1.00 tengah hari waktu Batam.

Masih tidak jelas ketika ini sama ada terdapat sebarang khidmat feri secara langsung antara Singapura dengan Bintan di bawah aturan khas perjalanan bebas kuarantin itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad (13 Feb), gabenor Kepulauan Riau, Ansar Ahmad berkata beliau secara peribadi akan menyambut ketibaan kumpulan pertama pelawat dari Singapura di Nongsapura, Batam pada 18 Februari.

"Tentu sekali kami sangat gembira kerana usaha kami sepanjang 1.5 tahun lalu (untuk membangunkan aturan khas perjalanan bebas kuarantin ini) akhirnya dapat dilaksanakan. Saya akan menyambut sendiri ketibaan pelawat asing sambil diiringi dengan teman-teman saya dari persatuan yang lain," katanya.

Kenyataan itu menambah bahawa pelawat harus mematuhi beberapa peraturan, termasuk notis jangan keluar rumah selama tujuh hari selepas mereka pulang dari perjalanan ke Nongsapura.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan