Feri penumpang dari SG ke Batam terbakar di perairan Pulau Kusu

(Gambar: MPA)
SINGAPURA: Kebakaran tercetus di bilik enjin sebuah feri berdaftar Singapura di perairan Pulau Kusu (juga dikenali sebagai Pulau Tembakul) pada Jumaat (5 Mei).
Para penumpang feri itu dipindahkan ke sebuah kapal lain.
Kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh enam anak kapal QUEEN STAR 2 yang sedang dalam perjalanan dari Singapura ke Batam apabila insiden itu berlaku.
Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam kenyataan medianya menyatakan, ia dimaklumkan mengenai insiden berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari Jumaat.
"MPA, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Polis Pengawal Pantai (PCG) dengan serta-merta mengerahkan kapal dan bot mereka untuk menghulurkan bantuan," menurut pihak berkuasa, sambil menambah bahawa bot tunda turut dikerahkan untuk membantu dan menunda feri tersebut.
Kesemua 62 penumpang feri, termasuk rakyat Singapura, Malaysia dan Indonesia, dipindahkan ke sebuah kapal lain, MERBAU ERA yang dalam perjalanan ke Terminal Feri Harbourfront di Singapura.
Kapal itu kemudian menuju ke Batam di Indonesia dan sejak itu selamat tiba dengan semua penumpang.
"Kebakaran di QUEEN STAR 2 dipadamkan oleh enam anak kapal yang kekal berada di feri tersebut sebelum pasukan SCDF tiba di tempat kejadian," menurut MPA.
"Pasukan bomba SCDF turut berada di atas feri untuk memastikan api sudah dipadamkan sepenuhnya."
Tiada kecederaan atau pencemaran dilaporkan.
Para pegawai dikerahkan oleh MPA di Terminal Feri Harbourfront untuk membantu penumpang yang memerlukan sokongan.
MPA turut mengeluarkan siaran makluman kepada kapal-kapal untuk menjauhi tempat kejadian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.