Skip to main content

Singapura

Feri elektrik pertama SG sedia berlayar bulan depan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Feri elektrik pertama Singapura sudah bersedia untuk berlayar bulan hadapan.

'The Penguin Refresh' akan mula mengangkut kakitangan, kontraktor Shell dan pengunjung antara Terminal Feri Pasir Panjang dengan Pulau Bukom pada Mei.

Kapal itu dipamerkan di acara yang diadakan di Taman Tenaga dan Kimia Shell di Pulau Bukom pada Isnin (17 Apr). Ia merupakan langkah penting ke arah permintaan pemerintah yang ingin menjadikan armada kraf pelabuhan di Singapura lebih mesra alam.

Encik Nick Potter, pengurus besar Shell Shipping and Maritime bagi Asia Tenggara dan Timur Tengah berkata semasa pelancaran itu: "Menjelang Ogos tahun, kami akan mempunyai tiga feri berkuasa elektrik sepenuhnya yang beroperasi, dan kami akan pantau dan belajar daripada feri tersebut dan memahami apa yang mungkin berlaku sedang kami bergerak ke hadapan dalam pengunaan elektrik."

PENGANGKUTAN LEBIH BERSIH

Shell bekerjasama dengan syarikat pembina kapal dan pemilik kapal Penguin International dalam projek feri elektrik itu. Ia adalah feri elektrik pertama di dunia bagi Shell.

Apabila kesemua tiga feri akhirnya dikerahkan, ia dapat mengangkut kira-kira 3,000 penumpang setiap hari antara tanah besar Singapura dengan Pulau Bukom, yang terletak di pantai selatan Singapura.

Kapal yang boleh mengangkut 200 penumpang menjanjikan perjalanan lebih bersih dan cekap.

Ia boleh berlayar selaju 21 knot, atau hampir 40 kilometer sejam, iaitu "jauh lebih laju daripada beberapa feri elektrik yang dilancarkan di Eropah", kata Encik Potter kepada CNA938.

Setiap perjalanan mengambil masa 12 minit, tambahnya.

Shell menyatakan bahawa kapal itu memiliki saiz bateri dua kali ganda daripada kebanyakan feri elektrik yang sama saiz. Namun ia melepaskan karbon dioksida yang renda, dan tidak melepaskan nitrogen oksida dan sulfur oksida.

Syarikat itu menganggarkan feri elektrik tersebut boleh menjimatkan lebih 6,000 tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun. Jumlah itu bersamaan dengan pelepasan daripada 18,000 perjalanan sehala di darat dari Singapura Ke Bangkok.

Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran menyifatkan pelancaran feri itu sebagai kejayaan yang penting dalam usaha penyahkarbonan negara.


MOMENTUM MENINGKAT UNTUK JADIKAN SEKTOR LEBIH MESRA ALAM

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) sedang bekerjasama dengan Shell untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mengecas bagi kapal-kapal lain di perairan Singapura pada masa hadapan. Syarikat itu juga sedang meneroka kemungkinan untuk mengembangkan kemudahan mengecas selain daripada di pantai Pulau Bukom.

Lebih banyak lokasi juga sedang dikenal pasti bagi ujian perintis e-cas untuk kapal-kapal sebagai sebahagian daripada pelan induk kemudahan mengecas, menurut MPA.

Ia akan dikuatkuasakan secara progresif untuk menyokong usaha penggunaan elektrik dalam sektor maritim.
 

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita