Fenomena cuaca 'luar biasa' punca serpihan berterbangan di tapak binaan Changi East
SINGAPURA: Satu fenomena semula jadi yang 'luar biasa' menyebabkan serpihan berterbangan di tapak binaan Changi East pada Ahad (30 Apr), menurut jurucakap Changi Airport Group (CAG).
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (2 Mei), jurucakap CAG berkata tiada seorang pun yang mengalami kecederaan akibat insiden pada pagi Ahad lalu di tapak binaan tersebut yang turut merangkumi tapak Terminal 5 Lapangan Terbang Changi (T5).
Jurucakap itu bagaimanapun tidak dapat menentukan sama ada tapak yang terjejas adalah tapak binaan T5.
"Kontraktor kami juga telah memastikan barang-barang di sana tidak mudah berterbangan dengan menyediakan sokongan tambahan dan kerja-kerja di tapak itu disambung semula selepas penilaian keselamatan dijalankan," tambah jurucakap tersebut.
Video yang dimuat naik ke TikTok oleh pengguna "yeothuang1968" pada Ahad menunjukkan serpihan-serpihan berterbangan di tapak binaan tersebut akibat tiupan angin kencang. Tapak itu turut merangkumi zon perindustrian Changi East yang sedang dibina.
Tiupan angin cukup kuat untuk menggerakkan beberapa hadangan dan tiang tanda besi.
Mediacorp sudahpun menghubungi Jabatan Kaji Cuaca Singapura mengenai insiden tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.