Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fenomena ChatGPT: Karyawan keselamatan siber gesa langkah lindungi pengguna daripada jenayah siber

Dengan keupayaan menjawab soalan dan mengeluarkan kandungan dalam masa beberapa saat sahaja, generasi chatbot ini membantu pengguna mencari, menerangkan, menulis, malah juga mencipta apa sahaja jenis kandungan.

Anggaran Waktu Membaca:
Fenomena ChatGPT: Karyawan keselamatan siber gesa langkah lindungi pengguna daripada jenayah siber

Dibangunkan oleh syarikat OpenAI San Francisco, ChatGPT mencipta rekod sebagai pangkalan pengguna yang paling pantas berkembang dengan anggaran 100 juta pengguna aktif setiap bulan pada Januari tahun ini.

SINGAPURA: Program perisian Kecerdasan Buatan (AI) untuk berinteraksi dan berbual dengan pengguna, ChatGPT, semakin dimanfaatkan di rumah serta pejabat segenap dunia.

Dengan keupayaan menjawab soalan dan mengeluarkan kandungan dalam masa beberapa saat sahaja, generasi chatbot ini membantu pengguna mencari, menerangkan, menulis, malah juga mencipta apa sahaja jenis kandungan.

Bagaimanapun, para pakar memberi amaran bahawa peningkatan pada penggunaan teknologi berkuasakan AI itu wujud dengan risiko - ia boleh memudahkan penipu dan sindiket jenayah siber.

Para karyawan keselamatan siber menggesa agar rangka kerja kawal selia dilakarkan dan pengguna bersikap berwaspada demi mencegah individu daripada menjadi mangsa.

KEBANGKITAN CHATBOT AI

Kelebihan ChatGPT adalah kebolehannya menghasilkan huraian yang mudah, langsung dan pantas, kata pengguna, Encik Lester Ho.

Kurasi kandungan kelihatan seperti disusun khusus bagi setiap individu adalah antara sebab mengapa sesetengah pengguna kini memilih untuk menggunakan ChatGPT sebagai alat carian berbanding wadah carian tradisional seperti Google atau Bing.

"Kelemahan Google adalah pengguna perlu menekan pautan berbeza untuk mencari apa yang sesuai bagi mereka. Dibandingkan dengan ChatGPT, di mana pengguna diberikan respons lebih pantas, dengan satu jawapan dikeluarkan pada satu masa," jelasnya.

Satu lagi kelebihannya adalah keupayaan chatbot untuk menyelaraskan kajian dalam terma yang senang difahami, lantas menjadikannya lebih mudah buat pengguna untuk mencerna maklumat, kata Encik Tony Jarvis, pengarah keselamatan perusahaan di firma teknologi pertahanan siber, Darktrace.

Topik-topik sulit seperti hal ehwal undang-undang, misalnya, boleh dirumuskan dan diolahkan ke dalam terma lebih mudah difahami.

Kebijaksanaannya untuk menulis esei yang lengkap sudah terbukti dalam kalangan pelajar yang menggunakannya bagi membantu mereka dalam tugasan sekolah. Ini menyebabkan institusi-institusi pendidikan bergelut untuk menangani penyalahgunaannya, dengan sesetengah pihak melarang sama sekali chatbot tersebut.

Perniagaan juga memanfaatkan chatbot dek terpikat dengan penciptaan kandungannya dan keupayaannya memproses bahasa, lantas membolehkan syarikat-syarikat untuk menjimatkan tenaga manusa, masa serta wang.

KEKHUATIRAN TERHADAP KES GODAM, PANCING DATA

Dibangunkan oleh syarikat OpenAI San Francisco, ChatGPT mencipta rekod sebagai pangkalan pengguna yang paling pantas berkembang dengan anggaran 100 juta pengguna aktif setiap bulan pada Januari tahun ini.

Kebolehcapaian, populariti dan penggunaan meluas chatbot bagaimanapun menimbulkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pakar keselamatan siber berhubung pertimbangan etika dan keselamatan.

“Sesetengah orang mungkin menggunakan ChatGPT untuk mencipta emel memancing data. Yang lain mungkin menggunakannya untuk menjana kod hasad atau bagi tujuan penggodaman," kata Dr Alfred Ang, pengarah urusan penyedia latihan di Tertiary Infotech.

Emel memancing data bukanlah sesuatu yang baru. Ia merupakan teknik semasa yang menduplikasikan satu pencontoh buat berjuta-juta kali dan menghantarkannya secara besar-besaran kepada para pengguna. Disebabkan pencontoh tetap itu, ia lebih mudah untuk sistem emel mengesan dan memberi amaran kepada pengguna atau menyekat mahupun memindahkan secara automatik emel itu ke dalam 'folder spam'.

“Namun dengan mesej yang dihasilkan oleh AI, ia akan menjadi lebih sukar untuk mengesannya kerana kandungan itu kelihatan seperti mesej yang ditulis oleh manusia dan setiap emel boleh kelihatan berbeza," jelas Profesor Lam Kwok Yan dari Sekolah Sains Komputer dan Kejuruteraan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Emel penipuan itu kini boleh dicipta jauh lebih pantas dengan menggunakan chatbot. Ia malah boleh ditulis dalam gaya yang meyakinkan, bebas daripada kesilapan ejaan mahupun tatabahasa berbanding yang kerap kali dilihat dalam emel memancing data sekarang ini.

Selain pemancingan data, para pakar juga memberi amaran bahawa teknologi itu boleh digunakan untuk menulis kod perisian hasad yang menyerang sistem komputer.

TADBIR URUS DAN PERATURAN

Gergasi-gergasi teknologi termasuk Google, Microsoft serta Baidu kini mengikut jejak langkah sama dengan menawarkan produk serupa dan merancang untuk memajukannya di tengah-tengah perlumbaan untuk menyediakan program perisian AI tercanggih.

Dengan jenayah siber dijangka meningkat seiring penggunaan chatbot berkuasakan AI, para pakar menggesa pihak berkuasa supaya meneroka inisiatif untuk mewujudkan benteng pertahanan terhadap ancaman tersebut di samping melindungi para pengguna.

“Demi mengurangkan semua masalah ini, (badan-badan kawal selia) seharusnya melakarkan suatu rangka kerja etika atau tadbir urus serta juga menambah baik Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) atau memperkukuhkan keselamatan siber," kata Dr Ang.

Pihak berkuasa berkata penipuan memancing data tahun lalu melonjak sebanyak lebih 41 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain pemerintah dan pengawal selia mengejar masa untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan, pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk mengikuti perkembangan berita dan meningkatkan kemahiran teknologi bagi memastikan diri mereka selamat, tekan para pakar.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan