Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fatwa Tudung: Kesedaran masyarakat dan keluarga harus dipertingkat agar lebih faham

Fatwa tentang Tudung: Kesedaran masyarakat dan keluarga harus dipertingkat supaya mereka lebih memahami fatwa baru yang mengupaya wanita membuat pilihan mengenai soal pemakaian tudung dengan pakaian seragam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesedaran masyarakat dan keluarga harus dipertingkat supaya lebih memahami fatwa baru yang mengupaya wanita membuat pilihan mengenai soal pemakaian tudung dengan pakaian seragam.

Demikian menurut Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) dan para jururawat, berhubung panduan yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa kelmarin.

Mengikut fatwa baru itu hukum syariah membolehkan jururawat Muslim mendedahkan sebahagian lengan mereka semasa bekerja dalam konteks klinikal dan juga atas sebab-sebab keselamatan.

BACA: Pejabat Mufti keluarkan fatwa baru mengenai pemakaian tudung dalam khidmat beruniform
Secara keseluruhannya, fatwa tersebut mengupaya dan membimbing wanita Muslim dalam perkhidmatan beruniform untuk menimbangkan keadaan unik masing-masing. Ia juga mengupaya mereka dengan prinsip-prinsip Islam untuk membolehkan mereka membuat keputusan yang seimbang dan baik bagi diri sendiri.

MHPA: FATWA BANTU JURURAWAT IMBANGI KEWAJIPAN AGAMA DAN TUGAS

MHPA mengalu-alukan fatwa tersebut dan mengajak agar diperkasa golongan jururawat sendiri bahawa dengan adanya fatwa itu, mereka dapat mengimbangi kewajipan agama dengan tugas mereka.

"Bagi pihak MHPA, ia merupakan satu langkah yang dialu-alukan kerana ia memberikan satu kelapangan kepada kakitangan kesihatan yang selama ini telah dilanda konflik di antara kewajipan agama dan juga kewajipan pekerjaan," kata anggota MHPA, Dr Elly Sabrina Ismail.

"Setiap kali mereka pergi kerja, mereka kena buka tudung. Jadi dengan ada fatwa ini, jika mereka memilih untuk meneruskan memakai tudung, mereka dapat menjalankan kewajipan ugama dan menjalankan pekerjaan mereka tanpa ragu-ragu."

LEBIH PENTING UBAH TANGGAPAN ORANG TERDEKAT DENGAN JURURAWAT

Namun, Dr Elly menekankan lebih penting lagi adalah mengubah tanggapan orang-orang yang terdekat dengan para jururawat.

"Terutamanya suami, ibu bapa, adik-beradik, saudara dan juga sahabat handai untuk memperkasakan mereka bahwa tudung tidak menjadi hambatan untuk jururawat untuk berjaya dalam kerjaya mereka dan juga memberikan yang terbaik untuk para pesakit tak kira ugama tak kira bangsa," kata Dr Elly.

Dengan ini, beliau berharap lebih ramai lagi wanita yang berkebolehan dapat ditarik untuk menceburi kerjaya dalam sektor jagaan kesihatan. Mentelah lagi sektor jagaan kesihatan kini memerlukan lebih ramai kakitangan dalam keadaan pandemik sekarang.

Sentimen yang sama turut disuarakan Penolong Pengarah Kejururawatan Hospital Besar Singapura (SGH), Dr Juriyah Yatim.

"Lebih banyak kesedaran harus diwar-warkan sebab kalau apa yang kita sudah belajar dalam situasi pandemik, memang kakitangan kesihatan tidak mencukupi. Ia akan membawa kepada kesedaran yang pekerjaan mulia sebegini di dalam perkhidmatan kesihatan akan menarik lagi orang-orang yang berminat dalam bidang ini setelah mereka mendapat tahu yang tudung boleh digunakan di dalam tempat kerja," kata Dr Juriyah.

Para jururawat Muslimah di hospital boleh mula memakai tudung dengan seragam mereka mulai 1 November ini, jika mereka mahu.

Para anggota MHPA kata Dr Elly yang turut terdiri daripada para jururawat akan berusaha meningkatkan kesedaran tentang kelonggaran yang diberikan kepada para jururawat untuk tidak menutup aurat sepenuhnya semasa menjalankan tugas agar tidak berlaku sebarang salah faham.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan