Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fatimah Mohsin kaji tembusi pasaran Australia, Malaysia sedang khidmat perkahwinan luar negara berkembang

Syarikat Fatimah Mohsin The Wedding Gallery tidak asing lagi dalam industri perkahwinan setempat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat Fatimah Mohsin The Wedding Gallery tidak asing lagi dalam industri perkahwinan setempat.

Sebagai salah satu peneraju dalam industri tersebut, syarikat ini terkenal dengan busana-busana pengantin yang direka secara ekslusif dan mewah.

Selepas 22 tahun berkhidmat dalam pasaran tempatan, pengasasnya, Fatimah Mohsin, mempunyai ura-ura untuk membawa jenamanya menembusi pasaran antarabangsa, khususnya ke Australia dan Malaysia.

"Misalnya di Perth, Australia, kami akan menawarkan kemahiran kami dari segi khidmat gaun pengantin ditempah dan pakej pengantin khas kepada pelanggan kami di sana.

"Kami lihat terdapat pasaran yang besar di sana tetapi ia masih belum dipenuhi. Jadi bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga masyarakat Asia di Australia," kata beliau kepada BERITAmediacorp semasa ditemui di pameran Royal Walimah Showcase yang diadakan di Hotel The Fullerton Bay pada Ahad (19 Jun).

Sebagai persiapan, Fatimah kini sedang giat mengadakan rundingan sebelum meneruskan dengan keputusan untuk menebarkan sayap ke luar negara.

"Saya sedang lakukan banyak kajian pasaran, pergi ke negara itu untuk lakukan sedikit uji cuba.

"Saya juga adakan sesi perjumpaan untuk bertanya tentang pendapat ramai jadi kami betul-betul sedang lakukan proses R&D," kongsi Fatimah lanjut.

MAHU JENAMA FATIMAH MOHSIN DIKENALI DI MALAYSIA DAN AUSTRALIA

Malah, selain daripada perniagaan andamannya, Fatimah turut merancang untuk mengembangkan perniagaannya yang lain ke luar negara.

Ini termasuk jenama barangan hiasan rumah milik beliau, Propupstore dan salun kecantikan, The Right Look yang dibuka tahun lalu.

"Kalau di Singapura, semuanya masih berasingan. Misalnya, Fatimah Mohsin The Bridal Gallery, The Right Look. Tetapi matlamat kami adalah untuk menawarkan semua perniagaan ini di bawah satu bumbung.

"Jadi di Malaysia kami lebih tertumpu terhadap menubuhkan sebuah pejabat pemasaran bagi menjual nama 'Fatimah Mohsin' sebagai sebuah jenama, dan juga mengembangkan perniagaan 'Propupstore'.

"Di Australia pula kami ingin menawarkan khidmat andaman dan salun kecantikan di bawah satu bumbung," kata Fatimah kepada BERITAmediacorp.

TETAP MAHU KEKAL RELEVAN, IKUTI TREND TERKINI

Sebagai seorang usahawan, Fatimah turut akui tentang perlunya mengikuti trend terkini dan sentiasa mencabar diri supaya lebih menyerlah daripada syarikat-syarikat lain.
"Saya sudah berkecimpung dalam industri perkahwinan ini selama 22 tahun. Dahulu pengantin panggil saya 'Kak' atau 'Fatimah', kini mereka panggil saya 'Aunty'.

"Jadi saya tidak mahu digelarkan sebagai 'Aunty designer', saya masih Fatimah dan saya mahu kekal relevan.

"Sebagai seorang pereka fesyen couture, kalau saya buat sesuatu yang biasa, meniru itu tidak menarik.

"Jadi saya perlu cabar diri saya buat benda itu memang nampak susah, rumit, tidak semua orang boleh buat lah," kata Fatimah kepada BERITAmediacorp.

Bersemangat tinggi dan sentiasa terbuka kepada cabaran baru, ini barangkali salah satu rahsia usahawan Fatimah Mohsin dapat bertahan begitu lama dalam industri perkahwinan, bahkan juga meneroka pelbagai jenis perniagaan lain.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan