Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FAST anjur majlis buka puasa; hargai sumbangan pembantu rumah hijrahan

Anggaran Waktu Membaca:
FAST anjur majlis buka puasa; hargai sumbangan pembantu rumah hijrahan

Lebih 50 pekerja pembantu rumah hijrahan menyertai acara berbuka puasa di Hab FAST pada 24 Apr 2022. (Gambar: FAST)

SINGAPURA: Setiap Ahad pada bulan Ramadan, Cik Surti - seorang pembantu rumah hijrahan berusia 35 tahun - akan membuat perjalanan ke Hab Persatuan Pekerja Pembantu Rumah bagi Sokongan Sosial dan Latihan (FAST) untuk mengikuti sesi kelas Zumba.

Selepas itu, bersama rakan-rakannya, beliau akan berbuka puasa di sana dengan bekalan makanan yang disediakan dari rumah.

Namun pada Ahad lalu (24 Apr), suasana berbuka puasa di FAST meriah dengan dihadiri lebih 50 pembantu rumah hijrahan dari empat negara - Indonesia, Filipina, India serta Sri Lanka.

maid buka puasa FAST
(Gambar: FAST)

Inisiatif berbuka puasa itu dianjurkan untuk menyediakan peluang bagi para pembantu rumah hijrahan dari berlainan latar belakang, terutamanya yang bukan beragama Islam, menikmati pengalaman berbuka puasa secara beramai-ramai.

Sebelum berbuka puasa, Cik Surti mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan semua hadirin - termasuk kakitangan, anggota dan tetamu jemputan FAST - tentang cabaran yang dilalui masyarakat Muslim sepanjang Ramadan.

"Jadi ada yang bertanya bagaimana kami boleh bertahan dan pada masa yang sama, melakukan kerja-kerja kami. Saya juga sangat beruntung kerana mempunyai majikan yang bertimbang rasa dan saling memahami. Mereka juga menasihati saya agar tidak bekerja terlalu keras sewaktu Ramadan," kata Cik Surti yang sudah bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura selama 12 tahun.

"Mentelah lagi, dengan pelonggaran Langkah-Langkah Pengurusan Selamat (SMM), seronok untuk melihat semua orang duduk makan bersama-sama," ujarnya lagi.

Bagi pembantu rumah bukan Islam seperti Cik Mary Ann Pedrigal, beliau gembira dapat turut serta dalam acara berbuka itu bersama teman-temannya yang lain. Bahkan, pembantu rumah warga Filipina berusia 48 itu menyumbang kudapan popular dari negaranya iaitu turon - hirisan pisang dan buah nangka goreng yang disiram sos karamel manis - untuk dijamu selera.

"Saya dapat mencuba hidangan yang belum pernah saya lihat atau dengar sebelum ini. Selain itu, saya juga dapat mengetahui lebih banyak tentang bulan Ramadan," ungkapnya.

maid buka puasa FAST
(Gambar: FAST)

Selain menjadi wadah untuk mempromosikan masyarakat majmuk serta berbilang agama di Singapura, majlis itu juga membuka mata mereka menghargai semangat penerimaan, saling percaya dan kerjasama di negara ini, menurut FAST dalam kenyataan medianya pada Ahad.

Presiden FAST Lim Fang Sung berkata majlis berbuka puasa itu diadakan bagi mengiktiraf sumbangan pembantu rumah hijrahan dan memupuk hubungan lebih mesra sesama mereka.

"MDW (pekerja pembantu rumah hijrahan) berkongsi bahawa mereka rindu untuk berbuka puasa dengan keluarga mereka di kampung halaman. Ada yang tidak pulang ke tanah air selama lebih tiga tahun dek COVID-19. Maka itu, acara bersifat "kekeluargaan" ini sedikit sebanyak membuatkan mereka berasa dekat dengan kampung halaman. Ini sesuatu perkara kecil yang kami di FAST lakukan untuk menghargai sumbangan serta pengorbanan mereka di Singapura," kata Encik Lim.

FAST melanjutkan waktu operasi premisnya semasa bulan Ramadan untuk memberi ruang kepada para pembantu rumah hijrahan berbuka puasa dalam persekitaran yang selamat lagi selesa pada hari-hari cuti mereka.

Menurut Encik Lim, premis FAST dipasangkan dengan CCTV dan persatuan itu tidak membenarkan pelawat lelaki untuk memasuki pekarangannya. Namun sekiranya pelawat lelaki masuk ke dalam premisnya, mereka harus mematuhi dengan tegas peraturan yang ditetapkan.

"Pada siang hari setiap Ahad, FAST menganjurkan pelbagai kegiatan seperti Zumba, yoga dan kursus latihan untuk dinikmati MDW. Kami juga menghulurkan sokongan perkhidmatan sosial kepada kedua-dua MDW dan majikan mereka," kata Encik Lim.

Beliau menambah lebih banyak kegiatan boleh dinikmati di FAST sebaik sahaja hab itu beroperasi pada skala penuh pada November nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan