Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fasa seterusnya SGSecure tekankan peranan individu terhadap ancaman pengganasan

Anggaran Waktu Membaca:
Fasa seterusnya SGSecure tekankan peranan individu terhadap ancaman pengganasan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 28 Jul 2023 08:56PM Dikemas Kini : 28 Jul 2023 08:57PM
SINGAPURA: Penggemar sukan lasak Sheila Hassan hampir lemas semasa melakukan aktiviti air di Australia pada 2000. Namun, beliau berjaya diselamatkan oleh responder.

Pengalaman tersebut mendorong wanita berusia 52 tahun itu untuk menjadi responder SGSecure berdaftar. Latihannya terbukti berguna tahun lalu, apabila beliau dikerah selepas seorang lelaki mengalami serangan jantung dekatn gimnasium tempat dia bekerja.

Cik Sheila melakukan resusitasi kardiopulmonari ke atas lelaki itu, yang telah rebah di dalam tandas, dan menyelamatkan nyawanya.

"Saya amatmenggalakkan semua orang untuk tampil ke depan buat perubahan dalam hidup," katanya kepada Mediacorp.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (28 Jul) melancarkan fasa seterusnya pergerakan SGSecure, yang menggesa rakyat Singapura memperdalam perpaduan sosial dan memainkan peranan aktif untuk melindungi masyarakat daripada pengganasan dan ekstremisme.

Pergerakan SGSecure diperkenalkan pada 2016 untuk menyedarkan, melatih, dan menggerakkan rakyat Singapura agar memainkan peranan dalam mencegah dan menangani serangan pengganas.

Cik Sheila adalah antara lebih 140,000 responder masyarakat dalam rangkaiannya.

Fasa seterusnya SGSecure akan meneruskan fokusnya untuk menggerakkan masyarakat, serta melibatkan belia dan memperkukuh perkongsian masyarakat.

"Kesukaran sebenar di Singapura ialah cuba meyakinkan orang ramai bahawa ancaman pengganasan itu sangat nyata," kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Merujuk kepada contoh serangan pelampau di negara lain, beliau berkata sekiranya berlaku serangan di Singapura, akibatnya akan "agak luas".

Serangan pengganas, walaupun jika berjaya digagalkan, boleh meningkatkan rasa tidak percaya antara kumpulan berbeza dan mewujudkan sekitaran diselubungi rasa takut, kata Encik Shanmugam.

“Ia bukan sahaja serangan pengganas, tetapi apa yang ia lakukan kepada masyarakat kita dan perpaduan kita,” tambah beliau lagi.

Fasa seterusnya SGSecure menampilkan cogankata baharu, "Apakah Peranan Anda" atau "What's Your Role?", yang bertujuan untuk mendorong rakyat Singapura agar mengetahui peranan yang boleh mereka mainkan dalam memerangi pengganasan, kata MHA dalam satu kenyataan media.

Ini mungkin termasuk orang yang menunjukkan perhatian terhadap rakan yang berpotensi menjadi radikal, atau orang yang melaporkan berita palsu untuk menghentikannya daripada merebak.

Ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi, dengan menjadi radikal sendiri online menjadi pemacu ancaman utama, menurut laporan tahunan ancaman pengganasan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang dikeluarkan pada Isnin.
Sejak 2015, 49 individu yang menjadi radikal sendiri ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Daripada jumlah itu, 11 adalah belia berusia 15 hingga 20 tahun ketika dikesan pihak berkuasa.

Laporan itu juga menekankan bahawa hanya kira-kira 37 peratus responden dalam tinjauan itu berkata mereka akan menghubungi pihak berkuasa jika mereka percaya bahawa orang kesayangan mereka menunjukkan tanda-tanda menjadi radikal.

Lebih 9 daripada 10 orang merasakan mereka mempunyai peranan untuk memastikan Singapura selamat, tetapi bimbang kerana tidak dilatih dan tidak pasti bagaimana mereka boleh menyumbang, kata Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan