Skip to main content

Singapura

Fasa pertama pembukaan Tanjong Katong Complex dijangka pada Ramadan 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Fasa pertama pembukaan Tanjong Katong Complex dijangka pada Ramadan 2026

Lakaran artis bagi luaran Tanjong Katong Complex selepas ia diperbaharui. (Gambar: Jun Jie Development Pte Ltd)

SINGAPURA: Pembukaan semula Tanjong Katong Complex (TKC) akan dilakukan secara bertahap-tahap dengan fasa pertama kerja-kerja pembangunannya dijangka selesai menjelang Ramadan akan datang.

Ini bermakna masyarakat boleh menjangkakan fasa pertama pembukaan TKC pada sekitar pertengahan Februari 2026.

Demikian dikongsikan oleh Pengarah Urusan Elegant Group, David Cheong apabila dihubungi BERITA Mediacorp.

Lakaran artis dari pandangan udara bagi Tanjong Katong Complex selepas ia diperbaharui. (Gambar: Jun Jie Development Pte Ltd)

Jun Jie Development Pte Ltd, yang merupakan anak syarikat kepada Elegant Group, menang tender untuk pembangunan semula TKC oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA), dengan nilai bidaan berjumlah S$90,000,888.

"Kami akan menjalankan beberapa pengubahsuaian dalaman dan penataan semula unit-unitnya, mengubah cara pengunjung bergerak dengan tangga gerak baharu, memasang sistem M&E (pemantauan dan penilaian) baharu untuk Fasa 1 (di blok TKC sedia ada) sambil kita meneruskan pembinaan bagi Fasa 2 (di blok tambahan baharu) dalam masa yang sama," menurut Encik Cheong dalam satu jawapan bertulis.

"Kami memahami ada beberapa penyewa sebelumnya yang ingin kembali secepat mungkin. Jadi sebaiknya, kami ingin Fasa 1 siap untuk Ramadan tahun hadapan," tambahnya.

Pembangunan semula TKC pula dianugerahkan kepada konsortium berkumpulan yang terdiri daripada Elegant Group, CALX Consulting dan SMCCI Enterprise Pte Ltd (SEPL), iaitu cabang perniagaan bagi Dewan Perniagaan Melayu Singapura (DPPMS).

REKA BENTUK INKLUSIF, MUDAH DIAKSES, CERMINAN IDENTITI JALUR BUDAYA GEYLANG SERAI

Lakaran artis bagi luaran Tanjong Katong Complex selepas ia diperbaharui. (Gambar: Jun Jie Development Pte Ltd)

Encik Cheong berkata bahawa pihaknya sedang bekerja rapat dengan kumpulan itu untuk melakarkan kalendar yang dinamik bagi kegiatan-kegiatan yang berteraskan masyarakat, terutama semasa musim perayaan seperti Ramadan dan Hari Raya.

"Aktiviti-aktiviti ini akan tertumpu kepada warisan, budaya dan keusahawanan, mencipta peluang bagi perniagaan tempatan dan meningkatkan lagi pengalaman pengunjung. Reka bentuk ruang ini bertujuan untuk kekal inklusif, mudah diakses dan mencerminkan identiti Jalur Budaya Geylang Serai," menurut Encik Cheong.

"Kami juga akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan akar umbi dan sivik seperti Persatuan Rakyat (PA) untuk menyelaraskan dan usaha pendekatan untuk impak masyarakat yang lebih meluas," tambah beliau.

SEPL yang merupakan cabang perniagaan DPPMS akan menyumbang kepakarannya bagi ruang seluas 1,500 meter persegi di Tingkat 4 yang dikhususkan bagi tujuan-tujuan perdagangan budaya Melayu dan/atau inkubasi keusahawanan.

Ini dengan melakarkan atau menyelia perdagangan budaya Melayu dan/atau inkubasi keusahawanan di ruang yang ditetapkan serta memastikan ia selaras dengan identiti Jalur Budaya Geylang Serai.

Lakaran artis bagi luaran Tanjong Katong Complex selepas ia diperbaharui, menghadap Tanjong Katong Road. (Gambar: Jun Jie Development Pte Ltd)

Baru-baru ini, DPPMS mengadakan satu sesi 'Townhall' yang dihadiri sekitar 80 peniaga Melayu/Islam untuk memahami minat dan keprihatinan mereka terhadap perancangan serta inisiatif masa hadapan DPPMS.

Dalam satu kenyataan bersama oleh konsortium itu, ia menyatakan: "Pembangunan semula TKC menampilkan satu peluang unik untuk menggabungkan pemerkasaan ekonomi dengan keaslian budaya. Tidak seperti ruang-ruang lain, DPPMS terlibat dalam fasa perancangan untuk memastikan TKC menjadi lebih daripada sekadar satu lagi pusat runcit - ia akan menjadi ekosistem yang dinamik untuk perniagaan-perniagaan Melayu/Islam."

"Apa yang membezakan TKC ialah pendekatan kami yang berstruktur: dipandu oleh maklum balas daripada sesi 'Townhall' kami baru-baru ini dengan 80 usahawan (Melayu/Islam). Kami mengenal pasti Kerjasama, Peluasan dan Penasihat sebagai tunjang utama. TKC tidak hanya menjadi tempat untuk urus niaga perniagaan bahkan juga sebuah landasan untuk meningkatkan skala, bimbingan dan menampilkan kecemerlangan perusahaan Melayu dengan jangkauan nasional dan serantau."

ADAKAH PENYEWA LAMA TKC AKAN KEMBALI?

Ditanya pula sama ada penyewa dan peniaga lama daripada TKC akan kembali sebagai sebahagian daripada pembangunan semula bangunan itu, mereka menjawab: "Terdapat sentimen dan minat yang kuat dalam kalangan bekas penyewa untuk kembali dan DPPMS menyokong penglibatan mereka di mana yang sesuai. Peniaga-peniaga ini menyumbang kepada kesinambungan dan kesetiaan masyarakat yang merupakan nilai-nilai penting yang kita junjung."

"Namun, semua penyewaan akan dinilai berdasarkan kriteria yang dikemas kini menerusi proses yang adil dan telus untuk memastikan keselarasan dengan visi baharu TKC, hab bertenaga dan siap sedia untuk masa depan yang menyokong perniagaan legasi sambil mendakap inovasi dan keusahawanan belia."

PROSES PEMILIHAN PENYEWA YANG TELUS AKAN DILAKSANAKAN

Lakaran artis bagi pandangan dalaman Tanjong Katong Complex selepas ia diperbaharui. (Gambar: Jun Jie Development Pte Ltd)

Mengulas tentang kriteria bagi mengenal pasti perniagaan Melayu kali ini bagi TKC, konsortium itu berkongsi bahawa mereka akan mendekati ahli-ahlinya, terutama mereka yang mempunyai Sijil Perusahaan Milik Muslim (MOE).

"Perniagaan-perniagaan ini sudah memenuhi kriteria yang ditakrif bagi pemilikan Melayu/Islam dan keaslian operasi. Bagi TKC, satu proses pemilihan penyewa yang telus dan betul akan dilaksanakan, termasuk panggilan terbuka untuk yang berminat, kriteria yang jelas, dan panel penilaian bebas," menurutnya.

"Kami akan mengutamakan perniagaan yang membawa nilai kepada masyarakat, mencerminkan warisan budaya dan menunjukkan keupayaan untuk berkembang bagi memastikan TKC menjadi destinasi yang rancak, pelbagai dan inklusif dengan teras cerminan identiti Melayu yang kukuh," tambahnya lagi.

Konsortium itu juga komited untuk memelihara dan meraikan warisan budaya masyarakat Melayu yang kaya dalam pembangunan semula TKC.

Seni bina tradisional, reka bentuk yang diilhamkan daripada warisan serta program-program yang mencerminkan nilai dan identiti Melayu akan disepadukan dalam ruang baharu itu.

Mereka juga akan memberikan tumpuan bagi "menerapkan perusahaan budaya yang mencerminkan tradisi Melayu daripada warisan kulinari hingga kepada kraf artisan untuk memperkukuh TKC sebagai hab budaya dan komersial".

SUDAH TERIMA PERMINTAAN BAGI PERNIAGAAN F&B, RUNCIT, PERUNDINGAN

Semasa melakukan sesi perbincangan dan mendampingi para peniaga, DPPMS berkata mereka sudah menerima permintaan kukuh khususnya daripada perniagaan dalam tiga industri iaitu F&B, Runcit dan Perundingan bagi fasa pertama pembukaan TKC.

"Kami telah menghubungi ahli-ahli sedia ada, perusahaan yang diiktiraf sebagai MOE dan lulusan program sebelum ini untuk memahami kesediaan mereka. Matlamatnya adalah untuk memastikan bahawa fasa pertama melibatkan satu gabungan perniagaan yang kembali lagi dengan yang baharu, menjanjikan para usahawan yang menawarkan kerelevanan budaya dan komersial yang kuat," kongsi DPPM dalam satu jawapan bertulis.

Seterusnya, kumpulan itu akan mengadakan satu sesi mendampingi para penyewa secara formal dengan proses bidaan yang terbuka dan adil.

Projek pembangunan semula TKC dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

TKC akan menempatkan pejabat-pejabat MENDAKI, MUIS dan juga perpustakaan Perpustakaan Awam Geylang East.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita